Aida Adilah Mat


MENDIDIK anak istimewa bukan mudah. Ahli syurga ini perlu dijaga hati mereka kerana mudah terguris.

Mereka juga perlu mendapat perhatian dan didikan yang sempurna seperti kanak-kanak normal.

Ketika ditugaskan menjadi guru Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama (SKSU), Nor Aslina Mohamad Adnan, 53, sedar akan tugas yang bakal digalasnya.

Bagaimanapun, beliau yang kini memegang jawatan Guru Penolong Kanan menyambutnya dengan hati terbuka malah mahu menamatkan tugasnya bersama anak istimewa yang didiknya itu.

Katanya, banyak dugaan dan rintangan yang dihadapi kerana mereka bukan seperti kanak-kanak lain dan ketika itulah kesabaran menjadi kunci utama.

Ditempatkan di sekolah dengan murid arus perdana yang sempurna antara cabaran perlu dihadapi.

Kata Nor Aslina, ejekan daripada kanak-kanak normal ada kalanya membuatkan segelintir murid istimewa ini menjadi tantrum (mudah mengamuk).

“Mengamuk itu perkara biasa dan inilah sebabnya kita perlu pandai mengawal emosi mereka.

“Inilah realiti yang kami hadapi. Pelajar arus perdana ada ketikanya tidak sensitif dengan murid ini.

Mengejek boleh menyebabkan emosimereka terganggu,” katanya.

Walaupun diberi perhatian khas, anak istimewa itu juga tidak dimanjakan. Sebaliknya mereka dibimbing sebaik-baiknya dan diberi latihan kemahiran agar apabila dewasa nanti tahu cara berdikari.

“Sekolah ini mempunyai tujuh guru dan tiga pembantu untuk murid pendidikan khas. Pelajar pula berumur tujuh hingga 14 tahun. Kami akan bantu pelajar yang tidak boleh menyuapkan makan sendiri.

“Pelajar lain pula akan ke kantin membeli makanan sendiri. Mereka diajar membeli makanan sendiri agar tahu cara menguruskan duit.

“Kami mahu mereka belajar corak kehidupan sebenar di luar nanti. Ada pembantu yang akan memantau pergerakan mereka,” katanya memaklumkan pelajar OKU di sekolah itu turut mendapatkan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Ketika ini kelas pendidikan khas di SKSU mempunyai 28 murid yang ditempatkan di empat kelas berbeza mengikut tahap dan antara pelajarnya termasuk pelbagai peringkat autisme, sindrom Down, hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD), palsi serebrum (CP), tumor otak, disleksia dan lembam.


MURID diajar mengenal huruf.

AJAR DENGAN IKHLAS

Pada masa dia mengerah keringat memberi yang terbaik kepada pelajar di bawah seliaannya, Nor Aslina sendiri berdepan ujian.

Dia tidak sekadar mengajar anak orang, malah turut berdepan pelbagai kerenah anak sendiri yang membuatkan dia lebih faham kesukaran dihadapi kebanyakan ibu bapa khususnya dalam mendidik mereka. Seperti ibu bapa lain, dia juga mahu anak kandung dan anak istimewa di sekolahnya dibekalkan kemahiran berguna.

Nor Aslina berkata, dia sangat bersyukur kerana keadaan sekarang sudah banyak berubah dan ramai ibu bapa yang mempunyai kesedaran tampil ke depan untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

“Saya tahu apa yang bermain di fikiran ibu bapa ini. Pada mulanya mereka malu untuk berkongsi cerita tapi apabila tahu saya juga ibu kepada anak OKU barulah ibu bapa ini terbuka mendedahkan masalah yang dihadapi.

“Saya nampak perbezaan itu sekarang. Jika dulu, ramai ibu bapa yang tidak boleh menerima hakikat. Akhirnya anak OKU terperuk di rumah dan tidak diberikan pendidikan sewajarnya.

“Memang tidak mudah untuk membimbing tapi semua boleh dilakukan dengan hati yang ikhlas, insya-Allah, Allah akan bantu kita,” katanya.


WAKTU rehat kanak-kanak istimewa.

UJIAN ISTIMEWA

Seorang daripada ibu yang mempunyai anak istimewa autisme, Nurashiqin Omar, 39, berkata, austisme bukan penyakit tapi ujian teristimewa kepada kita yang terpilih kerana hadiahnya terlalu mahal daripada Allah.

“Allah amanahkan saya untuk menjaga dan membesarkan ahli syurga,” kata Nurashiqin ibu kepada, Muhammad Ariq Afham Mohd Azizul, 7, yang disahkan doktor mempunyai ciri autism spectrum disorder (ASD).

Dia menyedari kelainan sikap anaknya itu apabila pada usia dua tahun, Afham belum mampu mengeluarkan sebarang perkataan menggunakan bahasa yang boleh difahami.

Bimbang perkembangan Afham yang berbeza daripada kakak dan abangnya, Nurashiqin membawa anaknya itu ke klinik berhampiran bagi mendapatkan nasihat doktor sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.

“Saya beruntung kerana mempunyai seorang sahabat baik yang turut memiliki anak autisme. Dia menyarankan supaya saya ke cawangan Persatuan Kebangsaan Autism Malaysia (NASOM) berdekatan untuk menjalani penilaian bagi mengenalpasti ciri autisme yang ada pada Afham,” kata Nurashiqin.

Dia yang menyifatkan Afham sebagai ‘happy baby’ menjelaskan, individu autisme unik kerana mereka mempunyai gabungan ciri yang tidak sama dan membentuk individu yang memiliki tingkah laku berbeza.

Tingkah laku ini, katanya berpotensi untuk berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada beberapa faktor termasuk pendidikan secara langsung di dalam bilik darjah selain paparan kelakuan daripada orang di sekeliling mereka.

Nurashiqin bersyukur kerana Afham yang kini belajar di SKSU menunjukkan perkembangan dan kelakuan yang positif serta semakin baik berbanding sebelum dihantar ke sekolah.

Katanya, jika sebelum ini anaknya itu sukar duduk diam dan sentiasa bergerak aktif termasuk ketika berada di meja makan, kini Afham lebih tenang dan fokus dalam melaksana serta melengkapkan tugasan diberikan kepadanya.


AKTIVITI ketika waktu rehat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:01 AM