Siti Zarinah Sahib


KES 1:

Seorang wanita di Pahang, maut selepas mengambil pil membesarkan payudara tanpa mengetahui dia tidak boleh mengambil ubat-ubatan sembarangan disebabkan ada masalah G6PD. Menurut rakan baik wanita itu, hanya selepas seminggu mengambilnya dia mengadu sakit perut dan terus tidak sedarkan diri.

Selepas pemeriksaan, didapati sel darah merahnya meningkat dengan banyak. Sebelum ini dia yang obses untuk cantik turut mengambil beberapa produk lain bagi mencantikkan kulit dan mendapat bentuk badan menawan.

KES 2:

Noraini, 26, terjebak mengambil pil membesarkan payudara disebabkan terpengaruh dengan rakan transgender (lelaki lembut) yang rata-rata mendapatkannya untuk memiliki payudara idaman.

Mulanya dia membeli produk tempatan sebanyak dua botol berharga RM69 sebotol. Malangnya ia langsung tiada kesan. Selepas ditanya kepada penjual mereka meminta Noraini meneruskannya untuk beberapa botol lagi.

“Namun saya menghentikan pengambilan kerana bimbangkan kesihatan diri. Selepas itu saya mencuba pula produk dari Thailand juga dalam bentuk kapsul yang harganya lebih murah berbanding produk tempatan. Malangnya selepas sebulan, haid tidak datang, pinggang pula sakit-sakit.

“Teruja mendengar nasihat rakan, saya meneruskan pengambilan selama empat bulan. Memang ada kesan pada payudara seperti membengkak, sakit dan terlalu sensitif terutama apabila berenang. Saya andaikan kesakitan ini disebabkan haid tidak keluar. Takut memikirkan kesan yang lebih buruk saya terus menghentikan pengambilannya,” katanya yang menasihati pengguna supaya berhati-hati mengambil makanan tambahan untuk cantik kerana ia sememangnya tidak berkesan, hanya taktik pemasaran sahaja.

Taip sahaja kata carian pil besarkan payudara atau montokkan dada di laman Google, puluhan jenis krim sapuan, kapsul dan jamu tertera di skrin.

Baca pula testimoni pengguna yang memberikan maklum balas positif. Adakah benar wujudnya krim dan makanan tambahan bagi membesarkan ‘aset’ wanita ini? Apakah kesannya kepada tubuh sehingga wanita berlumba-lumba memiliki ukuran payudara idaman mereka.

Menurut Pakar Kecantikan Estetika, Dr Shaharom Sulaiman, secara teori tiada sebarang krim atau makanan tambahan yang membantu membesar atau menganjalkan payudara wanita seperti yang diiklankan di laman media sosial.

Malah jika digunakan dalam tempoh lama, dikhuatiri akan memudaratkan kesihatan terutama wanita yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai kanser payudara disebabkan kebanyakan produk ini mengandungi hormon estrogen.


BACA kandungan produk sebelum mengambil sebarang pil kecantikan.

“Kajian yang pernah dibuat di luar negara menunjukkan produk mengandungi hormon akan menggalakkan lagi pertumbuhan sel kanser terutama mereka yang mempunyai keluarga menghidap kanser. Lebih malang ia boleh membawa maut bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti G6PD disebabkan kandungan yang tidak diketahuinya,” katanya.

Jelas Dr Shaharom, ukuran payudara dipengaruhi genetik sebelah ibu atau bapa juga hormon wanita (progesteron dan estrogen). Kanak-kanak yang mencapai usia akil baligh akan mengalami pertumbuhan payudara disebabkan perubahan kedua-dua hormon ini.

“Apabila datang haid, payudara akan membengkak begitu juga ketika hamil kerana persediaan menyusukan bayi. Namun saiznya akan kembali normal sekiranya tidak lagi menyusu.

“Dalam hal ini pengguna berasakan payudara mereka sedang membesar sedangkan ia disebabkan peningkatan progesteron ketika haid dan juga pertambahan cecair dalam payudara,” ulasnya.

Kebanyakan pil yang dijual juga berasaskan pil perancangan (mengandungi progesteron) yang kononnya boleh membengkakkan payudara selagi pengguna mengamalkannya. Namun pil ini menyebabkan haid tidak teratur dan pertambahan berat badan.

“Ada kesan pada payudara juga namun ia disebabkan pertambahan cecair dan bersifat sementara. Bagi ubat yang mengandungi fito-estrogen atau estrogen tumbuh-tumbuhan ia akan menghalang kehadiran estrogen secara semula jadi dalam badan. Ini sangat bahaya,” katanya.

Dr Shaharom menasihati wanita yang ingin mendapatkan maklumat mengenai payudara bertemu pakar pembedahan plastik bagi menilai sama ada mereka dibenarkan atau tidak untuk melakukannya.

“Di Malaysia dengan perkembangan teknologi kecantikan, pelbagai cara lebih selamat digunakan seperti pembedahan implan, suntikan ‘filler’ atau memasukkan lemak sendiri ke dalam payudara. Risikonya lebih rendah berbanding menggunakan produk yang tidak diketahui bahan-bahannya,” katanya.

Hal yang sama turut diakui Pakar Bedah Pusat Pakar Payudara, Dr Patricia Alison Gomez, yang menyatakan sebarang produk kecantikan mengandungi hormon termasuk krim atau pil membesarkan payudara boleh memberi kesan kepada payudara. “Sekiranya diambil terlalu banyak dan berpanjangan ia akan meningkatkan risiko kanser payudara.

“Ini kerana hormon estrogen diperlukan bagi memberikan ciri-ciri kewanitaan atau tampak cantik. Oleh itu bahan ini kerap digunakan dalam produk kecantikan bagi memberikan kesan kewanitaan tanpa disedari ia mampu meningkatkan risiko kanser,” katanya yang menasihati wanita berhati-hati dalam penggunaannya.


DR Shaharom

AMBIL KIRA HUKUM SYARAK

“Isteri dilarang membuka aib di hadapan orang ramai lebih-lebih lagi membabitkan hal seksual. Misalnya menceritakan mengenai kegembiraan selepas menggunakan produk membesarkan payudara secara terbuka sehingga membawa mudarat dan fitnah,” kata Ustazah Asmak Husin mengenai penjelasan testimoni produk yang keterlaluan dalam penjualan produk kecantikan di pasaran.

Selain itu apa yang perlu dilihat wanita adalah tatacara memilih produk mengikut hukum Islam. Ini termasuk tujuan pengambilannya dan adakah ia mengubah bentuk asal kejadian Allah.

“Penggunaan produk membesarkan payudara perlu dilihat daripada hukum syarak iaitu tujuan pengambilannya, adakah ia mengubah bentuk asal, berasaskan sumber halalan dan toyyiban serta tidak memudaratkan iaitu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua ini perlu diambil kira bagi menentukan sesuatu produk itu haram atau tidak digunakan,” katanya.

Jelas Asmak yang juga Ahli Jawatan Kuasa Pusat Persatuan Ulama Malaysia, walaupun kehidupan berumah tangga bukan berdasarkan hubungan seks semata-mata, perlu diingat pengabaian boleh menyebabkan konflik rumah tangga.

Namun kita perlu melihat kebahagiaan daripada pandangan Islam yang membabitkan pelbagai perkara supaya konsep keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah tercapai.

“Sakinah adalah mendapatkan ketenangan dan ketenteraman, mawaddah adalah kasih sayang, nafsu, berahi suami isteri manakala rahmah mendapat keampunan, rahmat dan rezeki Allah.

“Seks bukanlah penentu kebahagiaan kerana pasangan harus melihat kasih sayang secara holistik. Malah lebih penting dan harus dipegang punca kasih sayang sebenar adalah daripada Allah,” ulasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 4:50 AM
SECARA teorinya tiada krim atau makanan tambahan bantu besar, anjalkan payudara.