IBU BAPA perlu ambil perhatian serius, kawal penggunaan gajet anak.
Aida Adilah Mat


AWAS! Anak anda mungkin berdepan masalah mental sekiranya terlalu mendedahkan mereka dengan penggunaan gajet atau telefon pintar.

Hanya satu jam sehari menatap skrin sudah cukup untuk menjadikan kanak-kanak cenderung menjadi cemas atau tertekan seterusnya menyebabkan keadaan mereka sukar dikawal.

Perkara itu akan membuatkan rasa ingin tahu semakin berkurangan apabila tidak lagi mahu memikirkan mengenai keadaan persekitaran selain sikap malas atau tidak mahu menyelesaikan tugas diberikan kerana terlalu taasub terhadap gajet.

Fokus terlampau kepada gajet juga akan menyebabkan mereka menjadi kanak-kanak ‘zombi’ iaitu kanak-kanak yang menghabiskan lebih lima jam sehari.

Perkara itu secara tidak langsung akan menyebabkan mata menjadi lemah seterusnya gagal memberi tumpuan kepada perkara lain.

Satu kajian oleh Universiti San Diego dan Universiti Georgia mendapati masa yang dihabiskan untuk telefon pintar adalah punca masalah mental yang serius tetapi boleh dielakkan.

Pakar Perunding Oftalmologi dan Pediatrik Oftalmologi, Dr Fiona Chew Lee Min turut menyokong pandangan itu kerana selain masalah mata rabun (bukan atas faktor keturunan), masalah mental sememangnya juga perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa supaya tidak berlaku kepada anak mereka. Apatah lagi masalah mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin meningkat dan banyak dilaporkan.

DR Chew menunjukkan model bahagian dalaman mata. FOTO Saifullizan Tamadi

Lihat saja di sekeliling kita. Di mana-mana kita boleh melihat kanak-kanak yang begitu asyik dengan gajet masing-masing. Malah penggunaan gajet ketika waktu makan terutama di restoran bagi mengawal tingkah laku anak sudah menjadi senario biasa.

Katanya, memang tidak dinafikan keperluan gajet pada hari ini, namun ibu bapa perlu memainkan peranan mengawal penggunaannya kerana apa saja perkara jika dilakukan secara berlebihan akan mendatangkan keburukan.

“Setiap inovasi ada kebaikan dan keburukannya. Tahukah anda penggunaan gajet selama dua jam atau lebih akan menyebabkan anak lebih kerap mengamuk dan mengalami masalah konsentrasi. Mereka mudah menjadi marah, berasa risau dan bersikap antisosial.

“Mereka juga akan lebih berisiko menjadi gemuk kerana kurang bersukan. Kanak-kanak yang gemuk berisiko pula mendapat kencing manis, tekanan darah tinggi dan kanser apabila dewasa.

“Cara terbaik untuk mengekang perkara ini ialah dengan menjadi contoh kepada anak. Langkah paling utama ialah ibu bapa sendiri perlu mengehadkan penggunaan gajet di hadapan mereka kerana bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintik,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyarankan kanak-kanak berumur dua hingga empat tahun tidak boleh menggunakan gajet lebih satu jam dan berumur satu tahun ke bawah tidak digalakkan langsung melihat gajet.

“Jika bertanya pandangan saya, saya tidak menggalakkan kanak-kanak berumur tujuh tahun ke bawah menggunakan gajet. Sekiranya mereka diberi kebenaran menggunakan gajet, ia mesti tidak lebih satu jam sehari,” katanya.

BERMAIN di luar banyak manfaat kepada kesihatan mental dan fizikal

Manfaatkan sinar matahari

“Sebenarnya ibu bapa perlu menambahkan masa beriadah di bawah cahaya matahari untuk mata yang sihat. Kanak-kanak disarankan beriadah sekurang-kurangnya 11 jam seminggu di bawah cahaya 1,000 lux (koridor sekolah) atau enam jam di tempat teduh seperti di bawah pokok (3,000-7,000 lux) atau tiga jam seminggu 10,000 lux (bermain di padang),” katanya.

Tahukah anda, penduduk di Asia antara yang teramai mengalami masalah mata apabila 70 hingga 87 peratus kanak-kanak didapati rabun jauh berbanding rakan mereka di Amerika dan Eropah yang mempunyai peratusan rabun jauh lebih rendah iaitu 20 hingga 50 peratus.

Selalunya penggunaan gajet yang berlebihan dan tanpa kawalan dikaitkan dengan masalah rabun (bukan atas faktor keturunan) dan menyebabkan kanak-kanak terpaksa menggunakan kaca mata seawal usia lima tahun.

Malah Dr Chew berkata, masalah mata seperti rabun jauh, rabun silau, juling, mata kering, mata letih dan sukar fokus kini menjadi masalah biasa.

Ibu bapa sewajarnya memainkan peranan penting bagi mengelak anak daripada berdepan masalah mata yang memaksa mereka memakai kaca mata.

Perlu diingat apabila kanak-kanak ini sudah mula memakai kaca mata, ia akan menjadi satu keperluan dalam hidup dan bergantung kepada penggunaannya sehingga dewasa.

“Penggunaan kaca mata bergantung kepada jenis rabun. Bagi rabun jauh dan silau penggunaan kaca mata perlu dipakai seumur hidup.

“Anda tidak digalakkan menanggalkannya kecuali tidur atau mandi. Ini kerana ‘kuasa’ pada kaca mata akan meningkat 30 peratus sekiranya anda tidak memakainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 4:50 AM