KONTRASEPSI menjadi antara strategi penting untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi. GAMBAR hiasan
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


MERANCANG keluarga antara perkara yang kerap diberi penekanan serius dalam memastikan wanita dapat menjalani kehamilan dan tempoh membesarkan anak dengan tenang serta sihat.

Kontrasepsi pula menjadi antara alat yang membolehkan suami isteri menjalankan hak reproduktif. Ia juga memberi kuasa kepada pasangan untuk mengawal jumlah dan jarak anak masing-masing.

Di seluruh dunia, kontrasepsi menjadi antara strategi penting untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi. Hal ini berikutan ramai pakar percaya setiap kehamilan perlu dirancang sebagaimana yang dimahukan.

Sempena Hari Kontrasepsi Sedunia bulan lalu, Persatuan Pakar-pakar Sakit Puan dan Ginekologi Malaysia (OGSM) menyatakan komitmen untuk turut serta mempertahankan hak setiap wanita di negara ini terutama membabitkan isu reproduktif dan kesihatan seksual.

Presidennya, Dr Haris Njoo Suharjono berkata, tarikh 26 September menjadi mercu tanda dalam kesihatan wanita.

“Ia diraikan setiap tahun sejak 2007 dan menjadi acara global. Adalah menjadi visi kami untuk menjana kesedaran mengenai kebaikan merancang keluarga dan memastikan wanita diberi peluang untuk bebas membuat keputusan berhubung kesihatan reproduktif dan seksual masing-masing.

“Kami percaya ini adalah hak asasi bagi wanita dan berharap supaya kesedaran mengenainya terus meningkat. Selain itu, kami juga mahu memastikan alat kontrasepsi mudah didapati, murah dan paling penting boleh diterima wanita di Malaysia,” katanya.

Jelas Dr Haris, setiap wanita perlu peka dalam soal penjagaan kesihatan diri dan berusaha mengurangkan kehamilan yang tidak dirancang.

“Ini termasuk kehamilan dalam kalangan remaja. Saya berharap setiap wanita diberi peluang mencapai potensi akademik dan mengelakkan diri daripada terus terjerat dalam kitar kemiskinan sementara memperkukuhkan kesaksamaan jantina. Ini adalah prinsip yang kami percaya sebagai satu kesamaan,” katanya.

Merujuk data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), walaupun penggunaan kontrasepsi moden naik dua kali ganda di seluruh dunia iaitu daripada 36 peratus (1970) kepada 63 peratus (2017), namun pengambilannya di Malaysia adalah statik sebanyak 52 peratus.

“Kira-kira 216 juta wanita di seluruh dunia mengalami kehamilan yang tidak dirancang dan Malaysia mencatat angka 25 peratus. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada kenaikan angka kehamilan dalam kalangan remaja, kehamilan yang tidak dikehendaki, keguguran, kematian bayi baru lahir serta kematian ibu mengandung di seluruh dunia.

“Walaupun kelaziman kontrasepsi di Malaysia pada kadar 52 peratus dan berlaku penurunan kadar kesuburan, tetapi kematian ibu hamil dan bayi serta kehamilan remaja masih tinggi. Inilah yang perlu diatasi.

“Peranan wanita harus diperkasa. Sebagai pakar sakit puan, kami percaya wanita memiliki peranan penting dalam membentuk keluarga sejahtera. Mereka juga perlu tahu bahawa kontrasepsi adalah hak asasi kaum wanita,” katanya.

PILIHAN PENCEGAH KEHAMILAN

Ada banyak jenis pencegahan kehamilan yang ada di pasaran iaitu:

1. Kondom dan penutup serviks

- Sesuai untuk ibu yang menyusu bayi

- Wanita yang tidak selesa mengambil hormon dan perokok

2. Pil

- Ia sesuai untuk wanita yang lebih selesa mengambil hormon

- Mempunyai kitaran haid tidak menentu

- Mengalami senggugut teruk ketika datang haid

- Ada masalah jerawat

- Bukan perokok

- Mahu bebas bersama suami tanpa perlu memasukkan atau mengenakan apa-apa pada badannya sebelum itu

3. Implan

- Sesuai untuk wanita yang mahukan pencegahan kehamilan jangka panjang

- Untuk ibu yang memberikan anak susu badan

4. Tampalan

- Sesuai untuk wanita yang selesa mengambil hormon

- Mempunyai kitaran haid yang tidak menentu

- Mengalami senggugut yang teruk semasa haid

- Mengalami tekanan sebelum haid

- Mahu bebas bersama suami

- Sering lupa atau malas untuk makan pil setiap hari

- Bukan perokok

5. Suntikan

- Sesuai untuk wanita yang selesa mengambil hormon

- Ibu yang memberi anak susu badan

- Sering lupa atau malas untuk makan pil setiap hari

- Pasti bahawa mereka tidak mahu hamil dalam masa setahun lagi

- Perokok

6. Sistem intrauterin (IUS)

- Sesuai untuk wanita yang selesa mengambil hormon

- Ibu yang memberi anak susu badan

- Sering lupa atau malas untuk makan pil setiap hari

- Perokok.

7. Alat intrauterin (IUD)

- Sesuai untuk ibu yang memberi susu badan

- Sering lupa atau malas untuk makan pil setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:00 AM