KEADAAN usus yang diserang kanser.
Yusliza Yakimir Abd Talib


WALAUPUN statistik menunjukkan lelaki paling ramai menghidapi kanser kolorektum atau kanser usus, ia tidak bermakna penyakit itu tidak menyerang wanita malah ia berada pada kedudukan ketiga paling banyak di negara ini.

Kanser yang dihidapi kira-kira 60 peratus lelaki dan 40 peratus wanita itu juga kini menular dalam kalangan golongan lebih muda iaitu seawal usia 40 tahun meskipun dulu, mereka yang berumur 60 tahun ke atas lebih berisiko menghidap penyakit itu.

Ini disebabkan gaya hidup masyarakat yang kian berubah termasuk pemakanan tidak seimbang, diet mengandungi banyak lemak dan bahan kimia selain kurangnya aktiviti fizikal dan bersukan.

Kanser kolorektum mungkin boleh dicegah. Diet rendah lemak yang merangkumi sayur-sayuran dan buah-buahan serta bersenam secara kerap boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit berkenaan.

Menurut Pakar Bedah Laparoskopik dan Kolorektum, Dr Paul Selvindoss, memandangkan kebanyakan kanser kolorektum berpunca daripada polip tidak berkanser iaitu pertumbuhan pada pelapik kolon dan rektum, kaedah saringan boleh digunakan untuk mengesan dan membuang polip sebelum ia menjadi berkanser.

Katanya, jika dikesan awal, kanser itu boleh disembuhkan bahkan 91 peratus pesakit dengan kanser kolorektum setempat (terkawal dalam kolon atau rektum) masih hidup selepas lima tahun didiagnosis.

“Langkah pencegahan adalah sama untuk wanita dan lelaki. Diet yang kaya dengan sayur-sayuran dapat melindung kerana ia mengandungi bahan berunsur antikarsinogenik seperti karotenoid, folat, fenol dan flavonoid.

“Diet yang kaya dengan kanji, serat bukan kanji dan karotenoid boleh menurunkan risiko mendapat kanser kolon. Untuk mengurangkan risiko, pengambilan serat makanan harus mencapai 30 gram (g).

“Aktiviti fizikal terbukti boleh mengurangkan risiko mendapat adenoma kolon dan kanser kolon. Obesiti, tabiat merokok atau pengambilan alkohol dikaitkan dengan risiko berganda mendapat kanser kolon,” katanya.

Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) mengelaskan minuman alkohol sebagai karsinogen Kumpulan 1 (karsinogenik kepada manusia).

Mengambil 100g alkohol/minggu dikaitkan dengan kenaikan risiko kanser sebanyak 15 peratus. Daging merah dan daging diproses juga dikaitkan dengan risiko lebih tinggi mendapat kanser kolon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 5:50 AM