KAMSIAH bersyukur ada ibu dan adik-beradik sebagai penguat semangat.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin siti_

HIDUP tidak lekang dengan ujian. Ada kalanya diuji dengan kesempitan harta benda, ada juga yang belum dikurniakan zuriat walaupun menanti sejak sekian lama, tidak kurang ada yang ditarik nikmat kesihatan.

Begitulah lumrah kehidupan, yang menguji sejauh mana kekuatan insan itu saat dilanda masalah, adakah mampu bertahan atau hati mula menyalahkan takdir?

Kisah wanita berusia 37 tahun ini sungguh meruntun jiwa, satu demi satu dugaan bertandang dan terba

haru dia disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga penghujung tahun lalu yang benar-benar memberi tamparan hebat buatnya.

Mana tidaknya, sejak puluhan tahun dia menderita pelbagai masalah kesihatan termasuk obesiti, bengkak jantung, asma, paru-paru berair dan masalah buah pinggang kronik.

Apabila disahkan menghidap kanser dan ia sudah berada di tahap tiga, Kamsiah Mohd Zaki hilang kata-kata. Semuanya seakan-akan gelap gelita, terbayang wajah anak angkat tersayang yang kini berusia lima tahun, Siti Nur Alishaqilla Rania Ali Roszamsari.


KAMSIAH (kiri) diberi nasihat daripada pejuang kanser, Zaki Yahya. FOTO: Nurul Adibah Izam

“Ketika doktor memberitahu mengenai kanser, saya hanya ingat mati. Entah kenapa saya rasakan hidup ini akan berakhir dalam waktu terdekat dan ia membuatkan saya sangat lemah ketika itu.

“Sungguh terkejut dengan berita ini, mana tidaknya saya langsung tak mengalami perubahan melainkan menyedari adanya beberapa ketulan di sekitar payudara kanan. Disebabkan ketulan itu tidak sakit saya melengahkan pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, apabila ketulan semakin membesar, dia segera menjalani pemeriksaan.

“Saat dipanggil untuk menerima penerangan laporan kesihatan hanya seminggu selepas pemeriksaan, saya datang seorang diri kerana langsung tidak menyangka ia kanser. Saya ingat ia cumalah bengkak biasa dan dalam masa sama, sudah biasa dengan hospital kerana seperti rumah kedua buat saya.

“Apabila mendapat tahu mempunyai kanser dan ia bukanlah di tahap awal membuatkan saya takut dan terkejut. Banyak yang bermain di fikiran, bagaimana mahu teruskan hidup, kos rawatan yang sangat mahal dan apa penerimaan keluarga. Saya juga sangat bimbang memikirkan nasib anak yang masih kecil,” katanya.

Katanya, dia tidak terkecuali menyalahkan takdir dan mula mempersoalkan mengapa ujian diterimanya bertimpa-timpa.

“Ketika itu saya hanya memikirkan apakah dosa saya. Mengapa saya diuji begitu hebat, sudahlah mempunyai banyak penyakit sejak sekian lama, kini satu lagi tamparan hebat datang menyinggah.

“Walaupun terlalu sedih, saya tetap bersyukur kerana ibu dan adik beradik setia ada di sisi, merekalah yang menjadi tulang belakang memberi kekuatan, berkongsi suka duka,” katanya.

Kamsiah berkata, sokongan keluarga itu menguatkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan dan dia setuju menjalani pembedahan membuang payudara kanan hingga ke bahagian ketiak ke belakang.

“Saya juga dimaklumkan pembedahan itu sangat berisiko kerana saya mempunyai berat badan mencecah 166 kilogram dan beberapa masalah kesihatan lain. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi termasuk boleh pergi buat selama-lamanya dan semua itu sudah diterangkan doktor.

“Saya kuatkan diri, saya mahu terus hidup demi anak. Walaupun saya tidak mengandung dan melahirkannya, saya menjaganya sejak hari pertama dia dilahirkan dan kini berusia lima tahun. Dia adalah kekuatan sebenar untuk saya terus hidup selain ibu sendiri,” ujarnya.

Berkat doa ibunya, Fatimah Ibrahim dan seluruh ahli keluarga, Kamsiah selamat menjalani pembedahan beberapa bulan lalu.

“Pakar menjangkakan saya akan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) beberapa minggu selepas pembedahan namun syukur, saya hanya ditempatkan di ICU dua hari sebelum dimasukkan ke wad biasa.

“Benarlah kata orang, kekuatan semangat itu sangat penting dalam mengharungi apa juga keadaan. Pesakit kanser seperti saya juga perlu kuat dan positif kerana ia adalah senjata utama yang ‘berganding tenaga’ dengan rawatan yang kita terima untuk melawan kanser,” katanya.

BELAJAR KENAL KEKUATAN DIRI

Kamsiah berkata, selepas pembedahan, dia sudah menjalani dua kali sesi kemoterapi dan ia sangat menguji kesabarannya.

“Paling penting, ahli keluarga perlu kuat memberi semangat dan memahami emosi pesakit kanser terutama selepas menjalani kemoterapi kerana ia bukanlah satu perjalanan mudah, emosi saya sangat terganggu dan ia menyebabkan saya mudah marah.

“Boleh katakan hampir setiap masa saya cepat marah, ada saja perkara tidak kena yang membuatkan emosi saya terganggu. Syukur ibu memahami keadaan diri dan dia sangat bersabar melayan setiap kerenah saya, ibu juga banyak menerangkan keadaan diri saya kepada anak dan adik beradik yang tinggal serumah dengan saya supaya lebih banyak bersabar dengan sikap saya,” katanya.

Menurutnya, semua itu bukan dibuat-buat kerana kemarahan dirasai sangat sukar dikawal.

“Mujur, saya menemui seorang pejuang kanser yang saya kenali sebagai Encik Zaki, dia banyak membantu memberi semangat dan tunjuk ajar kepada saya terutama cara mengawal emosi, makanan yang sesuai diambil juga kekuatan diri. Dia juga memberi penerangan kepada ibu kaedah sesuai yang perlu dilakukan dalam tempoh menjaga saya.

“Ternyata pesakit kanser seperti kami sangat memerlukan sokongan semangat daripada insan terdekat. Kini saya tekad untuk lebih kuat, bukan saja dalam melawan kanser, malah semua penyakit lain yang saya hadapi ini,” ujarnya.

Katanya, dia juga berusaha untuk fokus dalam menjalankan perniagaan dalam talian bagi menambah pendapatan.

“Atas faktor kesihatan, saya tidak mampu bekerja apatah lagi masalah berat badan membataskan pergerakan harian saya. Jadi saya cuba menjual apa saja secara dalam talian untuk mendapatkan duit belanja.

“Saya juga kini menjaga pemakanan, hanya ambil makanan berkhasiat kerana bimbang didekati penyakit lain kerana pemakanan sangat mempengaruhi kesihatan seseorang,” katanya.

Kamsiah berkata, dia juga berharap kesihatan dirinya akan beransur baik selain menasihati wanita lain untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara konsisten.

“Tiada siapa mahu sakit tetapi apabila kita sudah terpilih dengan ujian ini, kita perlu kuat. Walaupun ia terlalu sukar, namun percayalah kita tidak akan diuji melebihi kemampuan diri sendiri.

“Jangan salahkan takdir, terima dugaan hidup dengan hati terbuka, tidak salah untuk bersedih, namun jangan terlalu lama kerana soal hidup dan mati bukanlah disebabkan penyakit semata-mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 5:00 AM