Yusliza Yakimir Abd Talib


AGAK mustahil buat wanita tampil di khalayak ramai tanpa secalit solekan kerana penampilan memainkan peranan penting untuk menggambarkan personaliti diri.

Kuasa solekan sangat mengagumkan kerana ia boleh menjadikan wanita apa saja yang diinginkan sama ada kelihatan remaja, cantik semula jadi atau tampil aneh.

Solekan memberi kesan besar terhadap wajah manusia terutama jika ingin dilihat lebih muda daripada usia sebenar atau ingin menutup sebarang cela kecil.

Malah, solekan boleh menterjemahkan apa saja maksud yang ingin disampaikan dalam bentuk santai dan bergaya. Pokok pangkalnya, mainan warna digunakan boleh menzahirkan isi hati anda.

Bagaimanapun, solekan harian tidak perlu berlebihan kerana apa yang penting anda tampil segar dan berkeyakinan. Memperuntukkan 10 hingga 15 minit daripada waktu anda setiap hari sudah memadai untuk tampil berseri tanpa kelihatan berlebihan.




SHAH ALAM 07 SEPTEMBER 2019. Solekan by Nuex Rosli di di Beauty & Glam, Grand Premier Hall, Plaza Jelutong.. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

Seperti konsep ‘kurang itu lebih’ solekan ringkas ini bukan saja memudahkan wanita untuk bersiap, malah dengan teknik yang betul, solekan dapat dibuat pantas, tetapi hasilnya begitu menyenangkan hati.

Menurut jurusolek, Nuex Rosli, wanita hari ini beruntung kerana dengan teknologi terkini banyak pilihan alat solek yang mudah digunakan dan menjadikan solekan tahan lama.

Katanya, di samping menjimatkan masa ia juga menjadikan solekan lebih mudah dan pantas tanpa perlu membazir masa untuk bersiap.

Tambahan pula katanya, kebanyakan alat solekan boleh berfungsi pelbagai guna, misalnya gincu bibir jenis cecair juga boleh diguna sebagai pembayang mata.

“Paling penting adalah setiap wanita mula mengambil berat keadaan kulit mereka dan menjaganya dari awal agar terhindar daripada masalah seperti jerawat, bintik hitam dan pelbagai keadaan lain yang boleh ‘mencacatkan’ penampilan.

“Kulit wajah yang sihat dan terjaga lebih memudahkan proses solekan dan setiap orang perlu berdisiplin dalam melakukan rutin penjagaan kulit,” katanya.



Sebagai insan yang bertanggungjawab merias banyak wajah untuk tampil cantik, Nuex berkata, dia sering menekankan kepentingan memilih produk penjagaan wajah yang sesuai dengan kulit.

Katanya, memang perlu ambil masa sedikit untuk ‘prep’ atau menyediakan muka sebelum memulakan solekan kerana permukaan kulit yang baik dapat membuat solekan tahan lebih lama dan wajah pula tampak sihat semula jadi.

“Oleh itu, penjagaan kulit perkara utama yang perlu diambil kira setiap orang. Gunalah krim atau bedak yang mengandungi perlindungan tabir suria. Sekiranya mahu, sapu sedikit saja bedak asas untuk tahan sepanjang hari.

“Sediakan penyembur wajah untuk menjaga kelembapan dan mengekalkan kesegaran kulit. Gunakan bedak padat untuk menjimatkan masa bersiap sebelum ke pejabat,” katanya.

Nuex menunjukkan langkah solekan ringkas harian dengan hanya beberapa teknik mudah dan pantas.

1. Wajah sebelum disolek.

2. Ratakan pelembap pada seluruh wajah.

3. Sapukan bedak padat pada wajah.

4. Gunakan bedak padat dengan ton lebih gelap daripada kulit untuk teknik kontur.

5. Sapukan gincu bibir jenis cecair.

6. Menggunakan gincu bibir sama ratakan pada kelopak mata sebagai pembayang mata.

7. Wajah siap disolek.

8. Nuex bersama model.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 5:40 AM