SITI Salamah membelek pokok cili kesayangannya.
Norlaila Hamima Jamaluddin


KALA suami sibuk di perpustakaan kecil di depan rumah, dia pula asyik membelek tanaman subur di Kebun Komuniti Desa Impian yang diusahakan bersama jiran di kawasan perumahannya.

Bagi Siti Salamah Sarbini, kebun kecil di sebelah rumahnya itu bukan sekadar tempat mengasah bakat bertani tetapi menjadi lokasi pertemuan dengan rakan yang berkongsi minat bagi menghabiskan masa selepas bersara.

Meskipun kebun komuniti itu kecil saja saiznya, ia sudah menempatkan lebih 50 jenis tanaman seperti pegaga, kunyit, temulawak, kunyit hitam, kesum, serai wangi, timun, lengkuas, kantan, halia bara, geting, beluntas, terung, kacang telang, bayam Brazil, kacang kelisa, mulberi dan oregano.

Geram melihat terung, bendi dan timun yang mula berbuah. Malah pokok cili yang ditanam dalam pasu kecil juga galak berbuah hingga menarik perhatian ramai.

Di sebelah hujung kebun dibina pergola untuk timun melilit. Memang cantik untuk dijadikan lokasi fotografi.

Semuanya bermula apabila Majlis Bandaraya Shah Alam mahu mengadakan zon bersih dengan menggalakkan projek pertanian khususnya kebun komuniti.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk Siti Salamah dan rakannya membuka kebun komuniti berkenaan kerana tanah milik sahabatnya itu pada asalnya dipenuhi batu.

Kerja mengorek tanah untuk membuang batu mengambil masa yang agak lama tetapi keinginan untuk mempunyai kebun sayur membuatkan semangat tidak pernah luntur.

“Dari situlah saya mula belajar buat baja kompos menggunakan sisa dapur. Seronok apabila kita dapat memanfaatkan setiap bahan yang ada.

“Sebenarnya saya adalah pesakit buah pinggang kronik yang sudah sampai ke peringkat akhir. Syukur, dengan berkebun secara tidak langsung saya dapat beriadah dan penyakit juga terkawal.


PERGOLA timun yang cantik untuk dijadikan lokasi fotografi.

“Saya mahu mencabar diri sendiri dengan melakukan banyak aktiviti. Apabila berada di kebun kecil ini, saya jadi leka sebab selepas bersara baru saya betul-betul ada masa untuk berbudi kepada tanah,” kata bekas kakitangan bank itu.

Siti Salamah berkata, pembukaan kebun komuniti itu bukan sekadar untuk menuai hasilnya, tetapi dia mahu menjadikan ia sebagai lokasi pembelajaran tidak formal khususnya buat golongan muda.

Setiap tanaman diletakkan papan tanda untuk ditulis tiga nama - nama tempatan, nama saintifik dan panggilan dalam bahasa Inggeris.

“Saya juga mahu mengumpulkan sebanyak mungkin tumbuhan dalam kumpulan sama. Contohnya di sini kami ada tiga jenis pegaga, tiga jenis kunyit dan dua jenis serai.

“Ramai anak muda zaman sekarang tidak kenal tumbuhan yang sering kita gunakan dalam masakan seharian. Anak saya juga begitu, pernah disuruh ambil daun kunyit, tetapi daun serai yang dibawa ke dapur!,” katanya sambil ketawa.

“Perkara itu menyedarkan saya untuk melakukan sesuatu bagi memberi pendidikan kepada golongan muda dan ia bermula di kebun mini ini. Syukur, kini ramai anak jiran yang suka datang ke sini untuk membantu menjaga tanaman. Kami juga bekalkan biji benih untuk mereka tanam di rumah,” sambungnya.

Di kebun komuniti itu, diletakkan bangku dan meja kayu yang santai untuk kaum ibu berehat dan berbual. Malah mereka juga berbincang untuk memperbaiki kebun kecil itu supaya sama-sama menikmati hasilnya.

“Projek seterusnya ialah kami mahu memperkenalkan kegunaan tanaman di sini contohnya jenis masakan. Insya-Allah, kalau cukup tenaga kerja, mungkin boleh disenaraikan resipinya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 5:00 AM