SIMPAN duit ikut warna.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


MENJALANI kehidupan seimbang ketika masih bergelar pelajar memang memberi cabaran besar. Tambahan jika melanjutk

an pengajian di universiti sekitar ibu kota atau bandar besar.

Bagi kelompok remaja berada, isu terlebih belanja tidak menjadi masalah. Namun petaka besar buat mereka yang menyambung pengajian menggunakan wang pinjaman, biasiswa atau bersandarkan pemberian ibu bapa.

Pokok pangkalnya, hidup berjimat memerlukan disiplin tinggi supaya tidak terjebak dalam perbelanjaan luar kawal. Kata orang, ukurlah baju di badan sendiri.

Kata jurugambar, Khairul Amri Daud, disiplin berbelanja sejak di bangku sekolah mendidik dirinya lebih rasional dalam membuat sebarang keputusan.

“Biasanya, apabila mendapat sejumlah wang di tangan, saya akan sediakan pelan untuk berjimat cermat. Sepanjang bulan berkenaan, saya akan ikut bajet yang ditetapkan dan hanya membeli mengikut keperluan,” kata.

Berikut beberapa tip yang diamalkan sejak mula tinggal di sekolah berasrama dan dikekalkan sehingga kini.

1. Pelan perbelanjaan

Senaraikan keperluan yang wajib disediakan dan rancang perbelanjaan mengikut apa yang perlu dan tidak perlu.

2. Asingkan wang

Berdasarkan pelan perbelanjaan dibuat, asingkan wang mengikut pembahagian tertentu. Hadkan jumlah perbelanjaan mengikut minggu.

3. Kawal perjalanan

Jika tiada kepentingan untuk keluar berjalan atau berkunjung ke pusat membeli-belah, hadkan pergerakan harian. Apabila kita keluar tanpa arah tuju, duit juga akan mengalir keluar tanpa sedar untuk menampung kos perjalanan atau jalan-jalan.

4. Hadkan kunjungan ke bandar

Jika terpaksa ke bandar atau mengunjungi pusat beli-belah untuk membeli barang penting, pastikan anda tidak terleka. Kawal nafsu membeli. Sentiasa berpegang kepada niat asal.

5. Kenali minat

Bukan semua orang mampu mencuba pelbagai hobi. Jadi, ketahui kecenderungan diri dan buat simpanan khas untuk tujuan berkenaan.

6. Bawa air

Membeli sebotol air minuman boleh mencecah harga RM2 hingga RM10, bergantung kepada lokasi dikunjungi dan selera diri ketika berada di luar. Jadi, bawalah bekalan air dari rumah untuk mengurangkan dahaga.

7. Kawal selera

Jangan mudah terpengaruh dengan iklan atau budaya menikmati hidangan hipster. Sudahlah mahal, rasanya mungkin tidak setanding dengan harga yang dibayar. Contohnya makanan laut yang dihidangkan lambak di atas meja. Lebih baik jika memasak sendiri di rumah. Dapatkan resipi di Internet. Pasti kosnya berbaloi.

8. Barang berjenama

Sesetengah orang sukar menidakkan minat terhadap barangan berjenama. Anda masih boleh membeli kasut atau baju berjenama. Tetapi pilihlah koleksi yang sudah lama di pasaran. Harganya lebih murah.

9. Simpan syiling

Elakkan membayar menggunakan wang syiling biarpun beza harga yang perlu ditambah hanya 10 sen. Gunakan wang kertas saja. Melalui cara ini, anda akan memperoleh baki siling untuk ditabungkan setiap hari.


MEMASAK sendiri di rumah untuk kawal perbelanjaan.

10. Simpan wang kertas berwarna

Mungkin ada yang sukar menyimpan wang pada awal usia bekerja kerana masalah gaji rendah atau mempunyai tanggungan keluarga yang ramai.

Jadi, mulakan menyimpan wang seringgit setiap hari. Sentiasa tambah nilai simpanan dari semasa ke semasa dengan menyimpan not RM5, RM10 atau RM20, mengikut kemampuan. Asingkan duit sama setiap kali menerima baki ketika berbelanja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 5:10 AM