DR Siti Mariah (tengah) bersama peserta.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Golongan orang kelainan upaya (OKU) di negara ini turut berperanan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi negara malah dengan kemudahan yang sentiasa dipertingkatkan oleh kerajaan dan pihak berwajib, mereka kini semakin cenderung mencipta pelbagai kejayaan dari segi akademik dan profesional.

Bagaimanapun, masih ramai yang kurang jelas dengan kemampuan mereka sebagai pemimpin atau pembuat keputusan, maka sejak usia belia lagi seharusnya golongan ini didedahkan kepada pelbagai program kepemimpinan dan jati diri bagi membina keyakinan diri untuk bersaing di pasaran pekerjaan mahupun kepemimpinan.

Atas inisiatif itu, Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) baru-baru ini menganjurkan Kem Kepimpinan dan Transformasi Belia OKU Selangor 2019, bertujuan memberikan latihan kepemimpinan dan pembangunan belia OKU.

Latihan ini membolehkan belia OKU memiliki ciri-ciri kepemimpinan unggul dan mampu berperanan sebagai ‘advokator’ belia yang berkesan dalam masyarakat.

Kem yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 November lalu di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Sungai Merab, Bangi itu disertai 30 belia OKU Selangor berusia antara 18 hingga 30 tahun terdiri daripada kategori OKU pendengaran, penglihatan, fizikal, intelektual, kerdil, mental dan OKU pelbagai.

Peserta, Nur Syazalina Radzuan, 24, berkata, menerusi program itu dia dapat belajar banyak perkara terutama bagaimana membina keyakinan diri dan peranan yang boleh disumbangkan belia sepertinya.

Tambahnya, selain dapat berkenalan dengan ramai OKU dengan latar belakang berbeza, banyak yang boleh dipelajari daripada pengalaman masing-masing dalam kehidupan.

“Kem ini juga mencungkil potensi diri kami yang selama ini banyak terbeban dengan perspektif orang ramai bahawa OKU tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan kita tahu golongan seperti kami juga mampu menyumbang kepada negara dengan latihan dan galakan yang mencukupi,” katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengalami palsi serebrum sejak lahir itu berkata, sudah tiba masa masyarakat percaya golongan OKU juga ada peranan dan mampu memberi, bukan hanya dianggap penerima (bantuan) sahaja.

Peserta, Abbas Thaqif Mohd Nizam, 19, berkata, kem itu adalah program pertama membabitkan OKU yang disertainya namun memberinya pengetahuan lebih jelas terhadap hala tuju dan matlamat hidupnya.

Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, melihat rakan OKU yang lebih senior dengan pelbagai kelainan, tapi amat cemerlang dalam bidang masing-masing membuat dia lebih bersemangat untuk berjaya meskipun memiliki kekurangan fizikal.

“Ini kali pertama saya berjauhan daripada keluarga apabila masuk asrama dan perlu belajar berdikari. Program ini membuatkan saya lebih berkeyakinan selepas bergaul dengan ramai rakan OKU yang positif, malah ada dalam kalangan mereka mengalami kesukaran dari segi fizikal yang jauh lebih teruk daripada saya.

“Peluang mengenali mereka adalah pengalaman berharga kerana di universiti saya bergaul dengan rakan yang bukan OKU, memang saya terasa diri ini serba kekurangan.

“Pengajaran terbaik di sini apabila kami didedahkan bagaimana golongan OKU boleh menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MTOS Faiz Shuhaimi berkata, usaha memperkasakan golongan belia dinyatakan secara jelas di bawah matlamat kedua Dasar Belia Malaysia (DBM) iaitu menyerlahkan potensi setiap individu belia dengan meraikan kepelbagaian dan kelainan masing-masing.

Katanya, ia menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memperkasakan golongan belia, terutama bagi segmen belia OKU dan untuk itu, perancangan tersusun dan berterusan dari setiap pihak adalah perlu bagi memastikan pembangunan belia OKU dapat dilaksanakan secara berkesan.

Pemantapan aspek kepimpinan dan pemerkasaan potensi modal insan dalam kalangan belia OKU berkaitan isu ketidakupayaan, peranan ke arah memperkasakan komuniti OKU dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap komuniti OKU di Malaysia terutama di negeri Selangor.

“Selain kefahaman mendalam berkenaan isu OKU, kem ini juga melatih kelompok belia OKU sebagai ejen ke arah pemerkasaan kesedaran masyarakat dan menggerakkan program pembangunan belia OKU secara berterusan terutama di Selangor.

“Selepas program ini, kohort kepemimpinan belia OKU akan bertindak selaku penggerak kepada inisiatif Peduli OKU dan program pencaknaan OKU di bawah seliaan MTOS dan dengan kerjasama pelbagai agensi belia berkaitan seperti Majlis Belia Malaysia dan badan bukan kerajaan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 5:10 AM