Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


MINGGU ini berakhir persekolahan untuk 2019. Tentu banyak perancangan disusun ibu bapa sepanjang musim cuti. Apa yang pasti, kurang sedikit tekanan untuk berkejar dan menempuh kesesakan trafik setiap pagi.

Bagaimanapun, bagi ibu bapa yang mempunyai anak bakal memasuki tahun satu atau memulakan prasekolah pada 2020, perasaan berdebar pasti sukar diketepikan.

Mereka bimbang dengan reaksi anak terhadap sekolah dan persekitaran baharu. Itu tidak termasuk rutin mengejutkan anak, menyiapkan sarapan, menghantar ke sekolah dan pelbagai kemungkinan lain sepanjang sesi pembelajaran.

Kata Pakar Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad, ini waktu terbaik untuk ibu bapa mula mengajar dan membiasakan diri anak dengan alam persekolahan.


PANTAU anak pada hari pertama persekolahan.

Memetik pelbagai senario dan situasi setiap kali bermulanya musim persekolahan, kata Zaid, adalah normal untuk kanak-kanak berasa takut, berdebar dan panik pada hari, minggu, bahkan bulan pertama mereka bersekolah.

“Apabila anak berdepan perubahan besar dalam hidup, pasti akan timbul perasaan takut, tidak yakin dan panik. Ini naluri bagi setiap manusia.

“Malah bagi orang dewasa sekalipun, mereka akan rasa berdebar apabila berada di tempat kerja baharu atau berpindah ke kejiranan baharu.

“Jadi, sebagai ibu bapa, kita kena terima hakikat anak memang takut. Jangan cuba nafikan perasaan mereka dengan reaksi negatif seperti marah atau mengugut.

“Selalu kita lihat ada ibu bapa marah apabila anak mereka nampak takut-takut. Ini yang membuatkan anak jadi lebih takut. Sepatutnya kita beri mereka sokongan. Dengan cara itu, ia boleh membantu menenangkan sedikit perasaan anak,” katanya.

DALAM FIKIRAN ANAK

Menurut Zaid, apabila tibanya alam persekolahan pertama bagi seseorang anak akan berlaku pertukaran suasana, rutin dan persekitaran baharu.

“Sebelum ini, anak mungkin bebas di rumah. Mereka boleh ke dapur, ruang tamu dan masuk bilik bila-bila suka. Jadi mereka sudah terbiasa.

“Di sekolah, segalanya akan nampak sangat besar pada penglihatan anak. Ruang kelas yang luas, ada pejabat, bilik guru, bilik guru besar, kantin dan padang. Mereka boleh jadi cemas dengan persekitaran baharu.


SEBAGAI ibu bapa, kita kena terima hakikat anak memang takut.

“Ketika ini biasanya timbul perasaan panik. Ke mana hendak pergi? Kemudian mereka bertemu ramai orang yang tidak dikenali. Ada ibu bapa orang lain, murid sekolah, malah cikgu sendiri.

“Apabila perasaan jadi makin takut dan panik, anak mudah menangis. Mereka seakan-akan lumpuh, enggan bergerak kerana tidak mampu menghadapi banyak perkara baharu sekali gus.

“Jadi, tidak hairan kalau ada anak yang cuba lari dari sekolah. Sebahagian mereka mungkin mampu mengawal perasaan, tetapi ada yang hanya fikir hendak lari saja,” katanya.

BANTU ANAK TENANG

Tidak kira bagaimanapun reaksi yang bakal ditunjukkan anak nanti, kata Zaid, elok sekiranya ibu bapa mengambil sedikit ruang untuk melihat kecenderungan anak terhadap dunia persekolahan yang bakal dihadapi nanti.

Ini kerana sebaik-baik persediaan, perlu dibuat bermula dari sekarang dan bukannya menanti sehingga sekolah dibuka awal tahun depan.

Antara yang boleh dilakukan ibu bapa, termasuk:

Mencuba pakaian seragam

- Belikan seragam, beg dan kasut sekolah lebih awal dan galakkan anak supaya mencuba. Biar mereka pakai dan rasa bagaimana perasaan hendak mula ke sekolah.

- Jadikan ia sebagai latihan dan ulang untuk beberapa hari sehingga anak rasa selesa dengan seragam miliknya.

- Beritahu anak bagaimana membuka dan menutup zip serta mengenakan butang supaya mereka tahu fungsi serta sedar kewujudannya.

Susun masa

- Di sekolah, lazimnya murid diterap dengan disiplin yang tinggi. Setiap masa dikira berharga dan ada loceng untuk menandakan perubahan waktu. Jadi, ibu bapa perlu menyedarkan anak mengenai ketegasan masa ini.

Ajar anak bangun pagi

- Bangun seawal mungkin. Bermula sekarang hingga tibanya musim sekolah nanti, latih anak bangun pagi supaya mereka terbiasa dengan rutin ke sekolah. Dengan cara ini, ibu bapa mungkin terselamat daripada risiko berdepan ‘drama pagi’ saban hari.

Perkenal persekitaran

- Jika ada kesempatan, bawa anak bersiar-siar berdekatan sekolah dan ceritakan perihal positif mengenai suasana pembelajaran yang bakal dihadapi.

- Jangan terlepas peluang mengikuti hari orientasi. Bawa anak melihat sekitar kawasan sekolah dan tunjukkan kemudahan yang ada. Beri jangkaan positif pada anak supaya mereka lebih bersedia.

Jangan takutkan anak

- Fahami situasi anak yang sememangnya dalam keadaan takut dan berdebar. Usah tambah input negatif dengan gambaran dimarah guru, diejek kawan dan sebagainya. Ini akan membuatkan anak lebih gementar untuk ke sekolah.

Suntik gambaran positif

- Jadikan anak tidak sabar ke sekolah dengan melayan kehendak mereka. Biar anak memilih jenis kasut dan beg yang dimahukan, selagi mengikut kemampuan.

- Beri sokongan dan galakan menerusi perkongsian pendapat. Biarkan anak bertanya dan beri jawapan bersesuaian.

- Anak mungkin takut pada guru kerana pengaruh rancangan televisyen yang mereka tonton. Jadi, beri mereka penjelasan mengenai fungsi dan tugas guru. Terangkan sekali mengenai adab, peranan dan nilai yang perlu ditonjolkan.

Semai kekuatan

- Yakinkan anak bahawa persekolahan adalah zaman menyeronokkan yang membolehkan mereka berjumpa rakan terbaik dan mengutip pengalaman indah.

- Ceritakan kisah positif. Dengan itu anak-anak akan rasa persekolahan bukan suatu yang menggerunkan pada diri mereka.

TIP PENTING

Berikut empat tip penting yang perlu diambil kira ibu bapa sebelum anak memulakan sesi persekolahan pertama mereka.

Proses jual beli di kantin

Jika anak tidak biasa membeli di kedai, ajar mereka asas urus niaga di rumah. Ibu bapa kena mainkan peranan dengan berlakon. Beri anak duit dan biar mereka kenal nilainya.

Jadikan ini latihan berulang sehingga anak yakin untuk membeli di luar. Sekiranya perkara ini diabaikan, anak mungkin berdepan panik apabila pertama ke kantin sekolah.

Menggunakan tandas

Ini mungkin masalah remeh bagi ibu bapa. Tambahan kalau anak sudah pandai menggunakan tandas di rumah.

Pertimbangkan situasi mereka. Boleh jadi anak tidak tahu di mana tandas dan bagaimana hendak menggunakan kemudahan yang berbeza dengan di rumah.

Ambil peluang untuk memperkenalkan kemudahan ini ketika hari orientasi atau hari pertama persekolahan. Ajar perbezaan tandas lelaki dan perempuan serta bagaimana untuk membersihkan diri.

Turun naik bas sekolah

Ini mungkin susah sedikit kerana anak tidak pernah menaiki bas sendirian. Jadi, pastikan maklumat penting dikongsi dengan mereka.

Ketahui nombor pendaftaran bas atau van sekolah, siapa nama pemandu dan dapatkan nombor telefon mereka.

Perkenalkan anak pada pemandu dan juga sebaliknya. Sentiasa ingatkan anak mengenai maklumat bas dan pemandu atau tulis dalam buku nota kecil jika perlu.

Nombor kecemasan

Pastikan ibu bapa meletakkan nombor telefon untuk dihubungi ketika kecemasan dalam poket beg sekolah anak.

Letak dua atau tiga nombor orang terdekat yang boleh diharapkan saat berlaku kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:10 AM