TARANG mengagihkan set sarapan kepada pengguna LRT dalam kempen sarapan sihat baru-baru ini.
Oleh Nurul Husna Mahmud


DUTCH LADY Malaysia berkolaborasi dengan Kellogg’s mengagihkan 50,000 set sarapan percuma kepada orang ramai di stesen LRT sekitar Lembah Klang dalam memberi kesedaran mengenai pentingnya pengambilan sarapan untuk kesihatan.

Pengarah Urusan Jenama berkenaan Tarang Gupta berkata, kempen selama 10 hari itu kerjasama sulung pihaknya bersama syarikat bijirin berkenaan yang turut menekankan pengambilan sarapan perlulah seimbang mengikut keperluan nutrien seharian.

“Menurut kajian My Breakfast, satu daripada empat kanak-kanak Malaysia berumur enam hingga 17 tahun tidak mengambil sarapan sekurang-kurangnya tiga hari dalam seminggu atas faktor kesibukan baik kanak-kanak mahupun ibu bapa mereka yang perlu mengharungi kesesakan lalu lintas setiap hari.

“Penyediaan sarapan pada awal pagi dilihat bebanan dan biasanya mereka akan makan berlebihan pada waktu tengah hari. Tabiat ini boleh mendorong kepada masalah berat badan berlebihan atau obes.

“Sebenarnya pengambilan sarapan seringkas segelas susu bersama semangkuk bijirin sudah memadai. Saiz hidangan itu boleh mengisi perut untuk berasa kenyang sehingga waktu makan seterusnya,” katanya.

Apabila ditanya sejauh mana tabiat pengambilan susu sebagai sarapan, kata Tarang, sumber protein yang penting dan mudah itu sering diabaikan berbanding protein lain dalam makanan.

“Kebanyakan rakyat negara ini beranggapan mengambil sajian berat seperti nasi lemak atau roti canai untuk sarapan boleh membekalkan nutrien mencukupi. Anggapan ini kurang tepat kerana ia masih tidak memadai untuk membekalkan nutrien sihat. Jadi untuk melengkapkan diet, segelas susu boleh membekalkan nutrien diperlukan pada setiap pagi.

“Itulah antara minuman yang disyorkan Kementerian Kesihatan sebagai pelengkap diet seimbang harian. Namun rakyat Malaysia masih kurang mengambil susu untuk mendapatkan nutrisi yang berkhasiat.

“Hasil Kajian Nutrisi Dewasa Malaysia 2014, orang dewasa di Malaysia hanya mengambil 0.4 gelas susu setiap minggu berbanding cadangan Garis Panduan Pemakanan Malaysia yang menyarankan pengambilan satu hingga tiga gelas sehari,” katanya.

Sarapan adalah sajian paling penting untuk memulakan hari kita. Kepentingan sarapan dalam memulakan hari tidak dapat disangkal bahkan ada bukti menunjukkan pengambilan sarapan membantu kanak-kanak memberikan prestasi yang lebih baik di sekolah.

Selepas tidur malam, otak dan badan memerlukan ‘bahan api’ untuk beroperasi. Dari waktu tidur hingga bangun pagi, badan kita sebenarnya melalui satu tempoh yang panjang tanpa makanan. Walaupun sedang tidur, badan tetap ‘bekerja’ dan menggunakan tenaga yang disimpan untuk memastikan semua fungsi berjalan lancar.

Tanpa sarapan, badan akan kekurangan tenaga (mental dan fizikal) untuk menjalani hari. Bukan itu saja, tabiat bersarapan memudahkan usaha mengawal berat badan. Kajian menunjukkan individu yang bersarapan lebih berjaya dalam menurunkan dan mengekalkan berat badan seimbang.

Memulakan hari dengan sarapan bermutu tinggi dapat membantu meningkatkan kesihatan, menjaga keseimbangan hormon dan memberikan tenaga yang mencukupi. Ia juga cara yang sangat baik bagi mencegah obesiti dan mengekalkan Indeks Jisim Badan (BMI) yang sihat.

Pengarah Urusan Kellogg’s Asia Tenggara, Anoop Abraham melahirkan rasa gembira dapat bekerjasama dalam kempen itu yang berkongsi objektif sama mengenai penekanan amalan sarapan yang sihat.

“Tidak hanya memfokuskan kepada fakta semata-mata, kami mahu berkongsi keseronokan mengenai pengambilan sarapan menerusi kaedah mudah dan ringkas.

“Istimewa bagi penerima set sarapan percuma dalam kempen kali ini mendapat set bijirin Kellogg’s dalam pek konsep baharu untuk memudahkan mereka menikmati sarapan di mana saja. Hanya semangkuk kecil dan dicampurkan sekotak susu, mereka boleh menikmati sajian enak dan sihat,” katanya.

Selain kempen sarapan percuma itu, Dutch Lady turut melancarkan Program Cakna Susu bagi pemberian susu Pek Rakyat percuma selama enam bulan kepada keluarga miskin di PPR Lembah Pantai dan ia dilancarkan sendiri oleh Ahli Parlimen Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:00 AM