CEF Janice melakukan demonstrasi menyediakan frittata sambil diperhatikan Adele.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


WALAUPUN bersaiz kecil, kentang membekalkan khasiat pemakanan yang besar. Beberapa kajian menunjukkan pengambilan makanan menentukan tahap prestasi seseorang atlet.

Kentang membekalkan karbohidrat kompleks, kalium, serat dan vitamin C yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi.

Membekalkan lebih tenaga berbanding sayur-sayuran popular lain, kentang mengandungi lebih banyak kalium berbanding pisang.

Pada tahun kebelakangan ini, kajian yang dijalankan mendapati kentang ialah makanan semula jadi bermanfaat yang penuh dengan tenaga dan khasiat kebaikan kepada ahli sukan dan orang ramai untuk prestasi lebih baik baik. Kentang juga mudah dihadam dan lebih padat dengan tenaga berbanding sayur-sayuran lain.

Pakar Diet Sukan dan Pakar Pemakanan, Adele Wong berkata, karbohidrat antara nutrien penting dalam pemakanan untuk prestasi.

Atlet yang terbabit dalam latihan berat memerlukan jumlah karbohidrat secukupnya sebagai pemberi tenaga.

“Berasaskan kajian semasa, pengalaman saya berkhidmat dengan atlet dan sebagai atlet sendiri mendapati prestasi akan terjejas apabila pengambilan karbohidrat tidak mencukupi. Berapa banyak karbohidrat yang diperlukan itu bergantung kepada keadaan atlet dan aktiviti yang dilakukannya,” katanya pada kempen Real Food, Real Performance 2019 (Makanan Sebenar Prestasi Sebenar 2019) anjuran Potatoes US (Kentang AS) di Menara KL, baru-baru ini.

Pengambilan karbohidrat harian bagi atlet disyorkan pada lingkungan enam hingga 10 gram (g) setiap kilogram (kg) berat badan.

Kentang AS ialah contoh sumber karbohidrat yang baik kerana kaya dengan vitamin B6 dan C, kalium, folat, serat dan antioksidan.

Kentang bersifat serba guna dan mengenyangkan menjadikannya sebagai sumber makanan yang mudah diperoleh oleh atlet.

Pada program itu, Adele dan Cef Janice Lee berkongsi resipi frittata kentang dengan bayam untuk meningkatkan prestasi ahli sukan kompetitif.

Frittata mudah disediakan dan serba guna, malah boleh dijadikan makanan yang cukup seimbang, membuat anda rasa bertenaga sepanjang hari.

BAHAN

- 6 biji telur

- 50g keju parmesan

- 1 biji bawang besar, potong dadu

- 65g bayam halus

- 1/2 biji lada benggala merah, potong dadu

- 350g kentang

- 45g susu

- 30g mentega

- 1 sudu besar minyak zaitun

- 5g garam

- 3g lada hitam

Cara penyediaan:

1. Kupas dan potong kentang menjadi dadu kecil dan rebus hingga empuk. Panaskan mentega dalam kuali dan tumis bayam, bawang besar, lada benggala merah dan kentang rebus. Tambah garam dan lada hitam secukup rasa. Masak di atas api sederhana, angkat dan ketepikan.


LANGKAH 1

2. Campur telur, keju parmesan, susu dan perasa dalam mangkuk besar. Kacau rata.


LANGKAH 2

3. Masukkan sayuran tumis ke dalam mangkuk campuran telur, susu dan keju tadi dan kacau rata.


LANGKAH 3

4. Tuang campuran ke dalam kuali yang disapu mentega. Tutup selama tiga hingga empat minit di atas api sederhana supaya telur betul-betul masak.


LANGKAH 4

5. Frittata enak sedia dihidang.


LANGKAH 5

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:10 AM