MASALAH kejang kaki dalam kalangan wanita hamil. FOTO hiasan
Yusliza Yakimir Abd Talib


KEJANG kaki adalah masalah biasa ketika hamil dan ia biasa berlaku terutama dalam trimester kedua dan ketiga namun, ia bukan masalah yang perlu dibimbangkan ibu hamil.

Antara punca yang mengaitkan kejang kaki adalah kekurangan nutrisi dan ibu hamil digalakkan mengambil makanan tambahan secukupnya terutama magnesium dan kalsium.

Kekurangan pergerakan disebabkan perut yang semakin membesar hingga ramai antara mereka banyak berehat dengan berbaring atau tidur.

Tabiat ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan kerana kurang pergerakan boleh menjadikan wanita cenderung diserang kekejangan dan lenguh-lenguh.

Selain itu, pastikan minum air kosong secukupnya kerana kekurangan air menyebabkan mereka mudah mendapat kejang kaki terutama pada betis.

Terdapat beberapa langkah boleh diambil bagi mengatasi masalah kejang atau lenguh kaki oleh ibu hamil:

• Berjalan perlahan-lahan dan lakukan aktiviti ringan di rumah.

• Elak memanjakan diri dengan tidur sepanjang hari kerana ia menyebabkan peredaran darah tidak lancar.

• Lakukan senaman regangan kaki yang ringan.

• Elakkan tidur dengan jari-jari kaki menghala ke bawah.

• Minum air secukupnya sekurang-kurangnya dua liter sehari atau lebih bagi memastikan pengaliran darah berlaku dengan lancar.

• Rendam kaki dalam air suam atau menggunakan alat tuaman panas bagi mengurangkan kesakitan dan otot lebih rilaks.

• Tinggikan hujung kaki ketika tidur dengan gunakan bantal tambahan yang diletakkan di bawah kaki.

• Pastikan postur badan sentiasa dalam keadaan yang baik.

• Ketika duduk, elakkan tabiat melipat kaki supaya darah dapat mengalir ke bahagian kaki secara lebih menyeluruh.

• Pakai stoking bertekanan yang mampu mencegah kaki daripada kejang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 4:30 AM