FESYEN hangat untuk musim sejuk.
UNIQLO

MUSIM luruh dan dingin penghujung tahun sering dikaitkan dengan suasana muram dan membosankan.

Bagaimanapun, ia bertentangan bagi label fesyen antarabangsa yang menjadikan musim sejuk itu sebagai medium untuk memperkenalkan koleksi lebih kreatif dan berkualiti ke pasaran global.

Tidak terkecuali bagi jenama pakaian terkenal dari Jepun, UNIQLO yang bekerjasama kali kedua dengan jenama tersohor Finland, Marimekko bagi menghasilkan koleksi edisi terhad sempena musim luruh dan dingin 2019.

Selepas sambutan hebat diterima pada tahun lalu, kolaborasi kali ini buat julung kalinya turut memperkenalkan koleksi untuk kanak-kanak perempuan dan bayi agar kekal hangat serta comel dalam persalinan istimewa ini.

Ketua Penyelidikan dan Pembangunan UNIQLO, Yuki Katsuta, berkata pihaknya berbesar hati dapat melihat mainan warna dan corak daripada Marimekko pada koleksi Uniqlo LifeWear seperti ‘cashmere’, Ultra Light Down dan HEATTECH untuk pertama kalinya.


“Kami sangat teruja memperkenalkan koleksi edisi terhad ini buat kali kedua. Ia adalah cara indah untuk kekal hangat pada musim sejuk yang bakal tiba dan waktu sama turut merasai serta meraikan tradisi masyarakat Finland menerusi pakaian digayakan,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Marimekko, Tiina Alahuhta-Kasko pula menyatakan, koleksi itu dipenuhi corak berani dan warna menarik yang dihasilkan untuk semua.

“Koleksi kali ini sesuai untuk semua dan kami percaya bersama-sama UNIQLO kami mampu mereka sesuatu yang istimewa dan memberi kegembiraan kepada kehidupan pelanggan di seluruh dunia,” katanya.

Kolaborasi terbaru itu menyaksikan beberapa pakaian wanita direka khas untuk menunjukkan corak popular Marimekko seperti Kivet (batu), rekaan Maija Isola pada 1956, Tasaraita (jalur) rekaan Annika Rimala pada 1968 dan Siirtolapuutarha (taman bandar) oleh Maija Louekari pada 2009.

Corak berani dan berwarna-warni Marimekko dapat dilihat pada Ultra Light Down Cocoon Coat, Wool Cashmere Hoodie, jumpsuit dan gaun kasual.


Item terbaru untuk kanak-kanak perempuan dan bayi termasuk aksesori menarik seperti seluar ketat untuk bayi, aksesori berkait serta stokin HEATTECH.

Sementara itu, misi Marimekko adalah untuk memperkasa orang ramai agar sentiasa riang dan memberi kegembiraan dalam kehidupan seharian mereka melalui corak serta warna.

LifeWear pula adalah komitmen UNIQLO dalam menghasilkan pakaian berkualiti tinggi yang praktikal dan mampu milik serta sesuai untuk gaya hidup seharian.

Koleksi edisi terhad ini boleh didapati di semua butik UNIQLO dalam negara dan UNIQLO.my pada hari ini (29 November).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 5:10 AM