RAMAI yang memberi penekanan dalam pemilihan sayur organik.
Oleh Aida Adilah Mat


KONSEP organik kini sudah menjadi trend masyarakat yang mementing gaya hidup sihat.

Tidak hanya dalam makanan, kesedaran terhadap barangan organik ini semakin meluas dan ia turut digunakan dalam penghasilan bahan kecantikan selain produk komersial tertentu.

Perkataan ‘organik’ bermaksud cara makanan itu dihasilkan iaitu melalui proses semula jadi sepenuhnya dan mesra alam.

Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu tumbuhan dan haiwan.

Makanan organik ialah makanan yang berasal daripada tanaman yang ditanam tanpa racun serangga perosak, baja berasaskan petroleum dan baja berasaskan hasil kumbahan.

Tanaman organik pula mesti ditanam dalam tanah yang selamat, tiada pengubahan dan perlu diasingkan daripada produk makanan konvensional.

Manakala daging haiwan dikatakan organik apabila diternak tanpa menggunakan antibiotik, suntikan hormon pertumbuhan dan sebarang hasil keluaran haiwan.


NOR Alifah

Haiwan organik ini juga diberi lebih ruang untuk bergerak dan disajikan makanan organik.

Semakin ramai yang memilih barangan organik kerana beranggapan ia jauh lebih baik dan selamat berbanding barangan kelas ‘konvensional’, namun ia bukan satu keperluan khasnya buat golongan kelas pertengahan dan bawahan.

Pakar Pemakanan, Nor Alifah Mokhtar tidak menafikan bahawa makanan organik ini adalah pilihan yang baik dan selamat kerana ia dihasilkan sepenuhnya tanpa bahan perosak atau racun serangga.

Malah ia tidak tercemar kepada proses lain yang mungkin boleh memudaratkan kesihatan seseorang.

Beliau bagaimanapun berkata, untuk makanan sihat, kita tidak semestinya perlu mengambil sumber organik.

“Semua orang tahu makanan organik itu baik dan bagus untuk kesihatan. Tapi, tidak semua orang mampu kerana harganya yang agak mahal berikutan proses yang sukar.

“Tapi, bagi mereka yang kurang berkemampuan, mereka juga boleh menikmati makanan sihat, tapi perlu memastikan cara penyediaan yang betul.

“Sebagai contoh basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan teliti. Anda boleh menggunakan sabun yang mampu menyahkan racun perosak yang kini banyak dijual di pasaran,” katanya.

Katanya, kewujudan makanan organik ini memberi banyak pilihan kepada masyarakat zaman moden ini dan sebenarnya pilihan ada di tangan anda.

Tiada paksaan untuk anda atau tiada jaminan bagi mana-mana masyarakat yang mengambil makanan organik ini mempunyai kesihatan yang baik di kemudian hari.


SABUN antara produk yang menggunakan bahan organik.

KELEBIHAN MAKANAN ORGANIK

1. Nutrisi lebih banyak

Makanan organik memiliki lebih banyak nutrisi daripada makanan bukan organik. Makanan organik mengandung lebih banyak vitamin, mineral, enzim, magnesium, fosfor, polifenol dan zat besi. Nutrisi yang terkandung dalam makanan organik itu dapat meningkatkan sistem daya tahan tubuh anda.

2. Kadar antioksidan lebih tinggi

Makanan organik memiliki kadar antioksidan yang lebih tinggi daripada makanan bukan organik, bahkan mencapai hingga enam peratus. Antioksidan dapat membantu melindungi sel daripada rosak dan melancarkan sistem metabolisme tubuh. Bila metabolisme berada pada tahap terbaik maka tubuh mudah membakar lemak dan menghilangkan sisa makanan yang tidak berfungsi.

3. Kadar omega tiga kali lebih tinggi

Dalam susu dan daging organik, terdapat kadar lemak omega-3 yang tinggi hingga mencapai 50 peratus. Satu tinjauan terhadap 67 kes mendapati omega-3 yang tinggi dalam daging memberi banyak manfaat kepada kesihatan terutama untuk kesihatan jantung anda.

4. Lebih segar dan sedap

Makanan organik lebih segar kerana tidak mengandungi bahan pengawet. Selain itu, tiada bahan kimia yang digunakan mampu menjamin kesihatan anda dan terhindar dari zat kimia yang terdapat pada makanan bukan organik. Makanan organik yang segar tentu akan membuat rasanya menjadi lebih enak sedap dimakan.

KEKURANGAN MAKANAN ORGANIK DIBANDING BUKAN ORGANIK

1. Kesukaran mendapatkan makanan organik

Biarpun makanan organik sangat popular, namun ia masih sukar didapati kecuali di pasar raya besar. Jika anda ke pasar biasa kebanyakan penjual jarang menjual makanan atau bahan-bahan organik. Mungkin kerana permintaan yang terhad menjadi penyebab utama mengapa ramai peniaga tidak mengambil bekalan bahan organik ini.

2. Mahal

Jika melihat kepada proses bermula daripada penghasilannya, bekalan organik ini jauh lebih mahal dibandingkan dengan makanan bukan organik. Ini kerana kesukaran selain memerlukan usaha yang lebih terperinci termasuk proses penjagaannya dan penghasilannya. Selain itu, pengawasan daripada segi baja dan bahan lain juga dikawal dan antara sebab itu penghasilannya pada satu masa amat terhad.

3. Cepat rosak

Tidak seperti makanan bukan organik, buah-buahan dan sayuran organik kebiasaannya lebih cepat rosak. Ini kerana prosesnya yang tidak menggunakan bahan kimia untuk tampak segar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 5:20 AM