BATRISYIA tidak memilih jenama, asal kena dengan tubuh dan warna kulit.
Oleh Siti Zarinah Sahib


MENGGAYAKAN pakaian mengikut acara atau majlis yang dihadiri sememangnya melatih diri menjadi lebih berketerampilan ketika memasuki alam pekerjaan.

Ini dipersetujui pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Polytech Mara, Bangi, Batrisyia Bilqis Asmadi, 20, yang sememangnya mementingkan penampilan terutama ketika menghadiri acara rasmi.

Sebagai contoh, pakaian untuk majlis makan malam dan ke kelas semestinya berbeza dengan padanan pada hari biasa. Pengetahuan untuk memilih seterusnya menetapkan apa yang sesuai bukan sahaja datang daripada pengalaman sebaliknya apa yang dilihat seharian.

“Untuk makan malam, saya selalu menggayakan gaun labuh berwarna gelap seperti hitam, biru atau merah hati kerana warna ini akan menampakkan saya lebih langsing dan elegan. Boleh juga memilih jaket dan slack untuk kekal formal.

“Untuk ke kelas pula saya selesa memakai baju kurung, seluar slack, palazo bersama blaus dan kemeja. Warna terang sering menjadi pilihan untuk serlahkan gaya ceria dan segar. Jika ada sesi pembentangan kertas kerja, saya mengenakan blazer bersama kemeja untuk tampak lebih kemas,” katanya.

Tampil dengan padanan gaya remaja ke Studio NSTP Balai Berita, baru-baru ini, jelas Batrisyia, dia menggemari gaya feminin seperti denim, skirt dan celana berkaki besar yang dipadankan bersama jaket dan blaus. Gaya yang sederhana, namun menawan.

Kata anak sulung tiga beradik ini, dia tidak memilih jenama sebaliknya pakaian itu haruslah kena dengan tubuh dan warna kulit.

“Untuk mendapatkan fesyen terkini, saya sering meninjau gaya fesyen artis tempatan dan luar negara seperti Neelofa kerana dia sememangnya bijak memilih apa yang sesuai dengan tubuhnya. Antara butik tumpuan saya

adalah Zara, H&M dan Zalora dan portal beli-belah Lazada

serta pusat beli-belah dalam negara,” katanya.


UNTUK acara formal jaket dipadankan slack.

Menurut Batrisyia, dia bersyukur kerana ibu sangat memahami dan menjadi teman setia untuk berkongsi pandangan. Selain memberi semangat dalam pelajaran ibu juga sentiasa menyokong Batrisya untuk mencipta nama dalam bidang peragaan di majalah.

“Setakat ini, bidang peragaan menjadikan saya lebih yakin dan mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Ibu juga menyediakan bajet untuk membeli pakaian dan alat solek pada setiap bulan.

“Saya pula tidaklah boros dan menggunakan sejumlah wang itu sebaliknya padanan yang ada dalam simpanan boleh disuai padan mengikut kesesuaian acara dan tema,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 5:10 AM