Oleh Siti Zarinah Sahib


JIKA dilihat penampilan susuk tubuh pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang ini bagaikan tidak percaya dia cemerlang dalam sukan tomoi.

Malah, Shamien Adriana Shamsul Bahri, gadis manis berusia 13 tahun ini sebenarnya sangat pemalu apabila berhadapan orang ramai. Namun sifat ini seakan-akan hilang sebaik saja berada dalam gelanggang perlawanan.

Dia menentang sesiapa sahaja yang menjadi lawannya termasuk mereka yang sudah berusia. Tenaga dikeluarkan kelihatan luar biasa berbanding tubuhnya yang kecil.

Menurut ibunya, Rosmawati Ab Rahman memang benar anaknya mempunyai dua personaliti berbeza. Jika dilihat dari luaran, dia seorang yang pendiam, manja dan degil, namun bertukar menjadi petinju yang galak dan tangkas menyerang lawan.

“Saya percaya kedegilan ini yang membawa dia sehingga berada pada tahap sekarang. Sesungguhnya dia degil untuk menang, degil tidak mahu menyerah kalah dengan mudah dan bersemangat menumpaskan lawan sehingga bergelar juara,” kata Rosmawati yang berbangga dengan pencapaian anaknya.


ADRIANA

Sambil merujuk kepada Shamien Adriana yang mesra disapa Adriana, jelas ibu empat cahaya mata ini, sama seperti dua abangnya, dia menghantar Adriana ke kelas Muay Thai kerana ingin memastikan anak gadisnya memenuhi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

Namun dalam masa tiga bulan bakat anaknya begitu menyerlah. Lalu jurulatih menghantarnya menyertai perlawanan pertama mewakili kelab Selendang Kuning Muay Thai di Kuala Lumpur.

“Tidak sangka Adriana muncul juara pada usia 11 tahun. Tidak terhenti setakat itu, dia kemudian terpilih untuk bertanding di peringkat kebangsaan pada tahun sama dan muncul juara. Bermula daripada situ bakatnya mula digilap sehingga sekarang,” katanya.

Menurut Rosmawati, disebabkan semangat dan kebolehannya, pada usia 11 tahun Adriana sering dihantar untuk menyertai pelbagai perlawanan bagi menguji tahap kecekapan serta ketahanan bertinju.

Sejak itu pelbagai kejuaraan dimenanginya antaranya muncul juara kebangsaan empat kali pada 2017, tahun lalu dan dua kali pada tahun ini.

“Sebagai ibu, saya anggap ia satu pencapaian membanggakan. Malah, jurulatih juga berasakan pada usia sebegini Adriana sudah menunjukkan kebolehan luar biasa dan perlu diberikan sokongan untuk mengekalkan kejayaannya,” katanya.

Tidak seperti remaja lain yang mungkin bebas melakukan aktiviti sendiri, sebagai ibu dia juga tidak mahu mengongkong anaknya. Apatah lagi Adriana juga perlu mengikuti persekolahan seperti biasa.

“Saya memastikan pelajarannya tidak terganggu dek latihan yang padat. Sekali-sekala saya benarkan dia membawa kawan balik ke rumah untuk mengulang kaji pelajaran, berenang dan keluar bersama rakan sekelas,” katanya.

LATIHAN KONSISTEN

Menyedari bakat yang menyerlah dalam sukan tomoi, Rosmawati banyak berkorban demi memastikan kejayaan Adriana. Sejak mula menghantarnya ke kelas, setiap hari bermula jam 8 malam hingga 11 malam dia bersama tiga anak yang lain berada di pusat latihan Selendang Kuning Muay Thai menemani Adriana sehingga tamat latihan.

“Selama dua tahun, di sini saya solat, membantu anak menyelesaikan kerja sekolah, makan dan minum. Tipu jika saya kata tidak letih, tetapi demi memastikan kejayaan Adriana saya sanggup berada bersamanya dan memberikan semangat asalkan dia berjaya mengejar cita-citanya dalam sukan ini. Pada setiap Sabtu saya membawa Adriana menjalani latihan dan bercuti pada Ahad sahaja,” katanya.

Adriana yang mewakili Malaysia dalam Kejohanan Muay Thai Asia di Abu Dhabi Disember ini giat mengikuti latihan bersama jurulatih.


ANTARA pingat yang dimenangi sepanjang dua tahun terbabit sukan tomoi.

Selain berjoging setiap hari bagi meningkatkan stamina, Adriana perlu menjaga pemakanan bagi mempercepatkan proses menurunkan berat badan. Dalam muay thai berat badan perlu diberikan perhatian.

“Paling utama dalam sukan ini ialah menjaga berat badan supaya kekal stabil bagi menentukan kategori yang akan disertai. Sekarang berat badan Adriana 54 kilogram (kg) dan dia perlu menurunkan kepada 50kg. Ia agak rumit kerana pada usia sebegini Adriana berselera makan dan saya perlu memilih makanan berkhasiat yang sesuai untuknya,” katanya.

Menurut Adriana, sukan seni mempertahankan diri itu banyak mengajarnya menjadi lebih berdisiplin, berani menghadapi cabaran dan tidak mudah berputus asa.

“Memang mulanya agak sukar namun selepas melalui pelbagai pertandingan dan sesi latihan saya semakin yakin. Malah, matlamat saya adalah ingin bergelar juara setiap kali berada dalam gelanggang,” katanya.

Sebagai pelapis Muay Thai negara, dia berharap mampu bergelar juara dalam kejohanan di Abu Dhabi nanti seterusnya menjadi atlet tomoi wanita berjaya di dunia.

Rosmawati juga berharap ada syarikat korporat yang menaja bagi membiayai perjalanannya bersama Adriana ke sana nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 5:15 AM