GAYA satria Jepun yang dimodenkan. Kanan, tampak ringkas,namun elegan.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


POLOS, namun tegas dan berani. Pesona koleksi Bushido Horizons yang dibawakan pereka fesyen tersohor, Amelia Hassan tampak begitu menyerlah di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW), baru-baru ini.

Berbeza dengan koleksi tahun lalu yang sarat perincian berat, batu berkilau, manik, labuci dan potongan renda berombak, kali ini Amelia menyatukan ciri alam dalam himpunan busana potongan elegan.

Sinonim menampilkan jalan cerita berbeza di setiap pentas peragaan, Amelia memilih mengangkat kisah kehebatan pahlawan Jepun yang menjadi simbol pembakar semangat orang Timur.

“Bushido Horizons bermaksud Satria Jepun. Mereka sentiasa menekankan kehematan, kesetiaan, penguasaan seni mempertahankan diri dan kehormatan sehingga mati.

“Jadi, saya terjemahkan semua ciri berkenaan dalam rekaan polos, tanpa manik mahupun renda untuk memperlihatkan gaya pahlawan wanita sejati. Berani, namun masih kekal dalam pesona tersendiri,” katanya.

Menurut Amelia, dia mahu memperlihatkan nilai ketegasan, keyakinan dan kesetiaan setiap wanita yang lazimnya nampak lembut dari luar.

“Dari sudut gaya, saya cuba bawakan elemen lama yang dimodenkan. Pahlawan Jepun dulu mengenakan pakaian yang longgar, sopan dan selesa. Tetapi mereka mempunyai identiti fesyen yang jelas iaitu bertali, ada lipatan atau pakaian berlapis.


BUSANA patuh syariah. Kanan, ropol lebar sinonim dengan kreativiti pereka.

“Oleh itu, koleksi kali ini mungkin lebih sesuai dilabel sebagai ‘effortless elegance’. Saya fokuskan pada rekaan pahlawan wanita yang bergaya dan berkeyakinan, tanpa perlu menonjolkan bentuk badan secara berlebihan.

“Ia sesuai untuk wanita kini yang sukakan gaya ringkas, elegan dan segar. Bahkan koleksi kali ini memang direka untuk semua golongan wanita tidak mengira faktor umur dan sosiologi.

“Perinciannya mematuhi kehendak syariah kerana longgar dan menutup aurat. Saya pilih fabrik istimewa yang diimport dari Jepun. Materialnya agak berat dan tidak panas, sesuai untuk digayakan pada pelbagai majlis keramaian,” katanya.

Melengkapkan perincian ringkas pagi setiap busana, Amelia berkata, dia memilih fabrik satin dan organdi serta butang berkilau. Rekaan turut diserlahkan dengan beberapa gabungan peplum, ves dan kolar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 5:00 AM