SEBAHAGIAN murid Orang Asli bersemangat ke sekolah.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


ORANG Asli mewakili hanya 0.7 peratus daripada populasi rakyat Malaysia dengan sebahagiannya hidup di bawah garis kemiskinan.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, transisi pelajar Orang Asli daripada sekolah rendah ke sekolah menengah ialah 73.1 peratus berbanding purata kebangsaan iaitu 87.19 peratus pada 2017.

Sementara purata kadar kehadiran pelajar Orang Asli ke sekolah rendah ialah 87.4 peratus lebih rendah berbanding purata kebangsaan.

Bagi memberi motivasi dan meningkatkan semangat murid dan pelajar daripada kalangan masyarakat ini untuk ke sekolah, TOP bekerjasama dengan Tesco menerusi kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mengumpul dana sumbangan pakaian seragam dan keperluan persekolahan kepada kanak-kanak Orang Asli di Pahang dan Perak.


MURID Orang Asli di SK Pos Tenau mempunyai potensi besar.

Jenama ini percaya setiap kanak-kanak perlu mendapat pendidikan yang baik, oleh itu, kempen berkenaan menyokong kanak-kanak dari beberapa rumah anak yatim berusia tujuh hingga 17 tahun dengan kelengkapan sekolah menerusi program CSR, Cerahi Kehidupan Bersama TOP sejak empat tahun lalu.

Lebih 1,800 kanak-kanak daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan menerima sumbangannya.

Kempen itu kembali pada tahun ini dengan fokus baharu ke atas komuniti luar bandar membawa matlamat mengurangkan beban kewangan keluarga Orang Asli di Pos Tenau, Kuala Rompin dan Sungai Lembing apabila menyediakan pakaian seragam sekolah, kasut, stoking, beg sekolah dan alat tulis baharu.

Buat pertama kali, buku latihan turut menjadi sebahagian daripada sumbangan untuk

setiap pelajar.

Dalam kempen itu, 30 sen daripada jualan produk terpilih TOP di semua cawangan Tesco di seluruh negara dan menerusi Tesco Online bermula 15 November hingga 15 Disember 2019 akan disalurkan untuk membeli keperluan kembali ke sekolah kanak-kanak Orang Asli.

Pengurus Pemasaran (Divisyen Penjagaan Fabrik) Southern Lion Sdn Bhd, Ling Ai Li berkata, melalui inisiatif ini, jenama itu berharap dapat memberi motivasi kepada kanak-kanak Orang Asli apabila menyediakan mereka dengan kelengkapan sekolah.

Secara tidak langsung, katanya, ia akan menambah semangat ke sekolah, seterusnya menambah baik aspek kehadiran dan prestasi akademik mereka.

“Objektif kempen ini untuk menggalakkan kehadiran ke sekolah melalui sumbangan pakaian seragam dan kelengkapan sekolah yang dapat meningkatkan keyakinan dan imej diri.

“Selain itu, ia juga mendidik kanak-kanak Orang Asli kepentingan pendidikan dalam kehidupan dan mempunyai penampilan diri yang bersih serta kemas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 5:10 AM