SEBANYAK 200 selimut akan disumbangkan kepada semua rumah kebajikan hujung tahun ini.
Oleh Aida Adilah Mat


TEKANAN dan kemurungan boleh membawa anda memasuki lorong gelap yang akan memusnahkan kehidupan. Dek tidak tahan dengan tekanan, muncullah suara yang mula berbisik untuk membawa anda yang berdepan masalah ini menyelesaikan kekusutan dengan cara mudah, bunuh diri.

Umum mengetahui terdapat peningkatan yang ketara dalam kes penyakit mental dan bunuh diri kebelakangan ini.

Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental.

Ini bermaksud, tiga daripada 10 individu berusia 16 tahun ke atas mempunyai masalah kesihatan mental apabila wanita menunjukkan kadar lebih tinggi berbanding lelaki.

Kegelisahan, terlalu banyak berfikir perkara yang belum berlaku, sering bertanya kenapa dan bagaimana perkara itu berlaku antara penyebab otak banyak bekerja seterusnya membawa kepada tekanan.

Minda yang sihat sebenarnya saling berkait dengan kualiti tidur setiap individu itu. Ia penting bagi menjamin kehidupan yang sihat seterusnya membuatkan anda menikmati hidup berkualiti.

JENTERA meratakan plot tanah yang dilengkapi peralatan komponen penentuan indeks perataan tanah.

Beberapa kajian sudah dijalankan untuk menyokong bahawa isu tidur dan kesihatan mental saling berkait.

Terbitan pertama Jurnal British The Lancet, menunjukkan bukti insomnia (kesukaran tidur) ialah punca atau faktor penyumbang kepada masalah psikologi.

“Tidur malam yang nyenyak membawa manfaat kepada kesihatan psikologi kita. Membantu orang ramai mendapat tidur lebih nyenyak ialah langkah pertama yang penting untuk menyelesaikan pelbagai masalah psikologi dan emosi,” kata Profesor Daniel Freeman, yang mengetuai kajian.

Pensyarah di University of Washington Christopher Barnes pula memberi tumpuan kepada kelesuan dalam organisasi, kekurangan tidur mempengaruhi bahagian otak yang digunakan untuk menguruskan emosi.

“Kekurangan tidur bukan saja menyebabkan emosi negatif dirasai, tetapi juga perbezaan lebih besar dalam 'mood' dan tindak balas emosi," kata Barnes.

Sebab itulah kesukaran tidur sering dialami bersama ketidaktentuan sikap dan tidak menentu.

Atas dasar kesedaran tanggungjawab sosial korporat (CSR) itulah, pakar tidur, AmLife cuba mendekati orang awam dan penghuni pusat jagaan warga emas untuk menguar-uarkan betapa pentingnya tidur dalam kehidupan harian.

Presidennya, Lew Mun Yee berkata, tidur selain berkait dengan kesihatan mental. Secara ringkasnya kekurangan tidur boleh mempengaruhi keadaan psikologi dan kesihatan mental.

Mereka yang mengalami masalah kesihatan mental lebih berkemungkinan dibelenggu masalah kekurangan tidur dan gangguan tidur yang lain.

“Kesihatan fisiologi dan masalah psikologi semakin ketara di peringkat global dengan seorang daripada lima orang mengalami satu bentuk kesihatan mental.

“Keadaan ini diburukkan lagi oleh gaya hidup dan tabiat moden yang menyebabkan orang ramai hilang kawalan terhadap emosi masing-masing,” katanya.

Warga emas antara komuniti paling diabaikan kerana mereka dikatakan individu yang mengalami masalah kesihatan sering terasing dan kurang diberi penjagaan.

Faktor umur juga boleh merentap nikmat hidup harian seperti tidur nyenyak pada waktu malam.

“Kempen ini bertujuan menimbulkan keprihatinan umum terhadap warga emas dan keperluan mereka untuk dijaga dengan baik. Ini termasuk menyediakan keperluan harian yang mencukupi.

“Kami memulakan usaha dengan mengunjungi beberapa rumah kebajikan termasuk Persatuan Orang-Orang Kurang Upaya dan Terbiar, Lovely Nursing Center serta Pusat Kebajikan dan Jagaan Warga Emas, Rumah Victory Homes. baru-baru ini.

“Kami bercadang memberi sumbangan berbekalkan kepakaran kami iaitu menggalakkan kesihatan tidur yang lebih baik. Pasukan kami yang terdiri daripada pasukan pengurusan kanan dan kakitangan operasi berhasrat untuk menyumbang 200 selimut secara keseluruhannya kepada semua rumah kebajikan yang kami kunjungi menjelang akhir tahun ini,” kata Lew.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 5:00 AM