ANTARA peserta yang hadir bengkel kesedaran kanser.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


KETIKA ini kanser mempunyai impak yang besar terhadap ramai orang dan keluarga di Malaysia serta di seluruh dunia. Kira-kira 60 peratus daripada prognosis kanser dalam kalangan rakyat di negara ini hanya dikesan pada peringkat terakhir iaitu di tahap tiga dan empat.

Lebih membimbangkan, perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan kira-kira 70 peratus penduduk negara berpendapatan rendah dan sederhana terdedah risiko kanser dengan peningkatan 60 peratus dalam tempoh 20 tahun.

Statistik Kementerian Kesihatan (KKM) pula mendapati, satu daripada empat penduduk berisiko menghidap kanser pada usia 75 tahun, sekali gus menjadikan kanser sebagai punca kedua tertinggi kematian negara ini.

Oleh itu, setiap orang perlu peka terhadap sebarang perubahan atau gejala, berikutan keadaan terkini menunjukkan kanser boleh berlaku kepada sesiapa saja.

Malah pemeriksaan awal atau ujian saringan adalah penting kerana boleh mengesan kanser pada tahap awal dan ini akan meningkatkan peluang melawan penyakit dan sembuh.

Memandang serius terhadap ancaman kanser, Guardian Malaysia mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen ‘Respond to Reverse’ bagi meningkatkan kesedaran kanser dan menekankan kepentingan pemeriksaan serta pengesanan awal sekali gus menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Sejumlah RM10,000 dikumpul semasa kempen yang berlangsung daripada laman web e-dagangnya sepanjang September lalu, disumbangkan oleh jenama yang mengambil bahagian dalam kempen ini seperti Beyoutiful, Botaneco Garden, derma365, Happy Mask dan Nature's Heart.

Inisiatif untuk mengumpul dana semasa ketika kempen berlangsung termasuk satu peratus daripada jumlah keuntungan jualan jenama terbabit akan didermakan kepada Cancer Research Malaysia dan Locks of Hope Association.

Pengarah Pemasaran Kesihatan dan Kecantikan Guardian Asia Tenggara, DY Cho baru-baru ini menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada kedua-dua badan berkenaan.

Katanya, syarikat itu juga turut bekerjasama dengan salun rambut Number76 untuk menggunting dan mengumpul rambut daripada orang awam untuk Locks of Hope Association yang akan menghasilkan rambut palsu untuk pesakit kanser.

"Untuk menyokong kempen ini, salun rambut ini juga mengambil inisiatif untuk menawarkan diskaun RM20 kepada penderma rambut bagi sebarang perkhidmatan menggunting rambut dengan syarat rambut mereka mestilah sekurang-kurangnya 15 sentimeter panjang dan bebas daripada sebarang rawatan kimia selama enam bulan yang lalu.

"Ini berjaya menggalakkan lebih ramai lagi untuk mendermakan rambut mereka.

"Berakhirnya kempen ini, Guardian Malaysia komited untuk memperkasakan lebih ramai lagi ke arah kehidupan yang lebih sihat dan cantik dari segala aspek,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Cho menyerahkan 222 ikat rambut yang dikumpulkan dari semua cawangan salun rambut butik itu di seluruh negara kepada wakil Locks of Hope Association, Michelle Yeap.

Langkah awal pengesanan kanser amat penting bagi menyelamatkan nyawa. Antara kanser yang menjadi pembunuh nombor satu wanita, kanser payudara boleh dikesan awal melalui pemeriksaan sendiri payudara.

Berikut langkah yang boleh diambil wanita bagi mengenalpasti kelainan yang terdapat pada payudara. Berjumpa segera doktor jika terdapat tanda luar biasa pada anggota itu.

Pemeriksaan sendiri payudara

1. Lihat perubahan sekeliling fizikal payudara di hadapan cermin dan sentuh bahagian yang perlu dengan tangan.

2. Baring dan rasa perubahan dengan tangan. Letakkan bantal di belakang badan. Rasa perubahan di sekeliling payudara dan puting sama ada berlaku penebalan atau perubahan warna.

3. Picit puting secara perlahan sama ada berdarah dan sebagainya.

4. Lakukan perkara sama pada payudara sebelah.

5. Lakukan sekali sebulan antara tujuh hingga 10 hari selepas haid.

6. Jika terdapat perubahan, jumpa doktor segera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 5:10 AM