ELAK kanak-kanak mengambil minuman berperisa buah-buahan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

TANPA sedar setiap hari kita mengambil lebih lima sudu gula sama ada yang dimasukkan terus ke dalam minuman dan makanan atau gula tersembunyi.

Walaupun hakikatnya gula putih dianggap musuh utama kesihatan kerana mendatangkan pelbagai penyakit, ramai tidak tahu gula fruktosa moden terutama dalam bentuk

tersembunyi iaitu sirap jagung tinggi fruktosa (SJTF) adalah gula toksik yang mengganggu aktiviti metabolik badan sekali gus mengakibatkan penyakit diabetes, obesiti, gangguan hormon seperti sindrom polisistik ovari (PCOS) dan juga gout.

Menurut Doktor Pemakanan, Dr Hafiz Sulaiman, gula jagung adalah gula sintetik murah yang dicipta pada abad ke-20. Ia dihasilkan bagi memenuhi permintaan kerana harga gula mahal yang dulu hanya menjadi makanan raja dan bangsawan.

"Sehingga kurun ke-18, gula menjadi makanan orang atasan (istana) disebabkan harganya yang mahal. Namun kemajuan dalam teknologi pertanian dan pembuatan menyebabkan gula sintetik mula dihasilkan.

“Daripada situ industri makanan proses mula berkembang disebabkan penggunaan gula fruktosa yang mengambil alih peranan gula semula jadi,” katanya.

Namun pakar pemakanan mengatakan jika gula fruktosa diambil secara berlebihan ia boleh menyebabkan ketagihan yang teruk. Ini diakui pakar hormon kanak-kanak dan obesiti Amerika Syarikat, Dr Robert Lustig yang mengumpamakan gula ini seperti alkohol, tetapi tidak mabuk. Malah kesan gula berlebihan hampir serupa dengan pengambilan alkohol.

“Buah-buahan mengandungi gula yang dipanggil glukosa dan fruktosa. Gula buah juga dikaitkan dengan ketagihan yang lebih teruk daripada kokain. Sebab itu pakar perubatan dan saintis menyarankan individu yang mengalami ketagihan terhadap gula diberikan rawatan yang sama seperti merawat penagih dadah.

“Malah saya sendiri mempraktikkan protokol tidak mengambil gula langsung bagi mereka yang ketagihan gula atau berpuasa. Alhamdulillah ia sangat berkesan," kata Dr Hafiz yang mengaitkan gula dengan masalah kolesterol jahat seterusnya menyumbang kepada penyakit jantung.

AIR bikarbonat mengandungi gula tambahan.

BAHAYA GULA FRUKTOSA

Menurut Dr Hafiz, dalam kajian terbaharu mengenai fruktosa turut menyebut asid urik yang ada di dalamnya. Ia berlaku disebabkan makanan yang diproses ini mengandungi gula tambahan secara berlebihan untuk membuatkan minuman dan makanan boleh bertahan lama untuk berada di pasaran.

"Kebanyakan jus buah-buahan yang labelnya tidak menyatakan ia adalah jus buah asli biasanya menggunakan gula berperisa tiruan. Contohnya perisa oren yang memberikan rasa seperti oren atau perisa jambu dan epal. Ini bagi memastikan minuman tahan lebih lama.

"Inilah sebabnya saya menyarankan mereka yang sering mengambil minuman berperisa buah-buahan supaya mengurangkannya kerana ia boleh mendatangkan kesan kepada tubuh sekiranya diambil secara berlebihan,” katanya.

Kesan kepada kanak-kanak lebih ketara. Minuman manis boleh menyebabkan kanak-kanak yang menjadi penggemar minuman ‘segera’ ini ketagih dan mudah mengamuk apabila tidak memperolehnya.

Menurut Pertubuhan Jantung Amerika Syarikat, kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak sepatutnya dibenarkan mengambil gula tambahan fruktosa manakala mereka yang berusia dua hingga 18 tahun hanya dibenarkan mengambil kurang daripada 25 gram atau tidak lebih lima lima sudu teh sehari.

“Makanan manis akan menyebabkan ketagihan dan individu terutama kanak-kanak memerlukan jumlah gula yang banyak bagi menghilangkan ketagihan mereka," katanya.

Adalah amat penting bagi individu normal (bukan pesakit diabetes) mengambil buah-buahan semula jadi bagi menggantikan jus buah kerana di dalam minuman segera ini mengandungi gula sahaja dan langsung tiada serat.

“Serat di dalam buah-buahan akan mengurangkan kadar penyerapan gula dalam darah. Gula dalam jus buah yang tidak mengandungi serat gula akan terus diserap ke dalam darah seterusnya boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Kalau mahu minum jus buah, buat sendiri dan pilih buah yang rendah indeks glisemik seperti jambu batu yang kaya serat. Paling penting, jangan tambah gula dalam jus anda,” jelasnya.

CARA KURANGKAN PENGAMBILAN GULA

Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan pengambilan gula antaranya:

1. Kurangkan jumlah gula yang diambil setiap hari sedikit demi sedikit.

2. Gantikan gula putih dengan stevia atau sukralos yang terhasil daripada ekstrak tebu.

3. Berpuasa sunat atau mengamalkan puasa bersela. Ketika berbuka, ambillah minuman panas yang kurang manis.

3. Minum kopi, teh atau coklat tanpa gula.

4. Banyakkan minum air kosong.

5. Dalam tempoh ini (sebulan) anda dilarang bersenam bagi mengelak tertekan. Tekanan akan meningkatkan hormon yang menyebabkan tenaga diperlukan. Apabila ini berlaku badan akan memberi isyarat untuk mengambil gula sebagai sumber tenaga.

6. Baca label makanan dan pastikan kandungan gula fruktosa bukan senarai dua bahan utama yang ditulis pada label makanan. Dalam senarai kandungan, bahan utama biasanya ditulis mendahului bahan lain yang disusun mengikut keutamaan dan kuantitinya.

JENIS MAKANAN TINGGI GULA FRUKTOSA:

1. Minuman dalam tin dan kotak termasuk jus buah.

2. Bijirin

3. Koktel buah.

4. Gula-gula dan coklat

5. Dadih

6. Aiskrim

7. Roti dan pastri

8. Minuman tiga dalam satu

9. Susu berperisa

10. Makanan bayi

SEBAB FRUKTOSA DISAMAKAN DENGAN ALKOHOL

1. Menyebabkan ketagihan

2. Menyebabkan obesiti

3. Hanya diproses di hati

4. Meningkatkan asid urik yang menyebabkan gout

5. Menyebabkan penyakit hati berlemak dan merosakkan hati

6. Meningkatkan trigliserida dan kolesterol lemak jahat (lipoprotein berketumpatan sangat rendah)

7. Masalah metabolik dan penyakit jantung

8. Peningkatan radikal bebas yang merosakkan badan

9. Meningkatkan produk glikasi (AGEs) yang merosakkan organ dan mempercepatkan penuaan

NAMA LAIN GULA JAGUNG

Pada label makanan dan minuman, gula jagung juga ditulis dengan nama:

- Sirap Agave (Syrup Agave)

- Sirap jagung (maize syrup atau corn syrup)

- Sirap glukosa/fruktosa (glucose/fructose syrup)

- Sirap jagung pepejal (corn-syrup solids)

- Pemanis jagung (corn sweetener)

- Sirap ubi (tapioca syrup)

- Sirap dahlia (dahlia syrup)

- Fruktosa buah (fruit fructose)

- Kristal fruktosa (crystalline fructose)

- Gula jagung

- Pekatan jus kismis

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:15 AM