Intan Mas Ayu Shahimi


KAGUM melihat kecekapan gadis ini menyiapkan hiasan kek yang ditempah pelanggan dalam tempoh tidak sampai 10 minit. Bermula daripada proses membahagi, meratakan krim hinggalah menghias mengikut tema pilihan, semuanya lancar tanpa sebarang kesilapan.

Gadis ini tampak yakin di dapur, menguruskan kerja pembuatan kek, menghias dan menghasilkan pelbagai jenis pencuci mulut enak untuk pelanggan kafe ibunya.

Namun apabila diminta beraksi di depan kamera, Nur Izzatul Mawaddah Zamberi, 14, hanya tersenyum simpul. Dia jadi malu bahkan teragak-agak apabila disogok pelbagai soalan.

Berbeza dengan kebanyakan gadis seusianya yang teruja berkongsi pelbagai aktiviti dan rutin harian di laman media sosial, Nur Izzatul Mawaddah atau senang dipanggil Adah lebih suka bersederhana.

Dia mahu fokus kepada tempahan di samping memperbaiki kemahiran menghias kek dan bereksperimen dengan kreativiti diri.

Berkongsi cerita mengenai diri, kata Nur Izzatul, selain belajar dan menghias kek, dia sebenarnya sukakan fesyen serta selesa menghabiskan masa menonton drama Korea Selatan.

“Saya mula mengaising kek sejak berumur sembilan tahun. Ketika itu saya kerap melihat ibu saudara menghias kek dan menghasilkan pencuci mulut. Di kafe ibu pula, saya tertarik melihat pekerja membuat kek.

“Yakin mampu melakukan perkara sama, saya mula menghias kek secara suka-suka ketika usia 10 tahun. Selepas sekolah, saya habiskan banyak masa di kafe untuk belajar menghias kek. Perkara ini berterusan sehinggalah pekerja yang bertanggungjawab menyiapkan kek di kafe ibu berhenti.

“Saya tawarkan diri untuk membantu ibu menyiapkan kek pelanggan dan kek yang hendak dipamerkan di peti sejuk. Saya fikir, kalau tak buat kek, macam mana nak mendatangkan pendapatan,” katanya.

NUR Izzatul bermula secara suka-suka sejak berusia 10 tahun kini bantu ibu siapkan tempahan

GEMBIRA PELANGGAN PUAS HATI

Hendak dijadikan cerita, kek pertama dihias sempurna adalah untuk pelanggan yang mahu meraikan hari lahir anaknya.

“Gementar memang ada. Tapi melihat penerimaan baik pelanggan, saya nekad untuk terus menghasilkan kek buat mereka yang datang ke kafe.

“Saya seronok setiap kali menghias kek. Teruja apabila hasil karya diterima pelanggan dengan baik. Rata-rata mereka berpuas hati, sedangkan saya memang tidak pernah mengambil sebarang kursus latihan pembuatan atau menghias kek.

“Semuanya belajar sendiri dengan teknik cuba jaya. Lama-kelamaan semua jadi mudah. Saya bukan saja pandai buat kek dan hias, tapi boleh hasilkan pelbagai hidangan pencuci mulut,” katanya.

Jelas Nur Izzatul, sejak bermain dengan aising, dia tidak pernah terbeban memikirkan konsep hiasan atau kreativiti yang perlu dihasilkan untuk menambat hati pelanggan.

“Kebanyakan kek yang saya hasilkan dihias secara spontan. Kecuali kalau dapat permintaan khusus daripada pelanggan yang mahukan tema dan perincian tertentu pada kek.

“Untuk memenuhi kehendak mereka, saya akan buat latihan dan sedikit kajian dulu, saya akan tengok cara dan dapatkan idea daripada tutorial di laman YouTube. Dari situ, saya akan cuba hasilkan hiasan yang memuaskan,” katanya.

HIAS 30 KEK SEHARI

Kebetulan penulis berpeluang melihat gadis ini menyiapkan tempahan kek. Langsung tidak kekok, malah kecekapannya boleh menyaingi golongan pakar.

Kata Nur Izzatul, lazimnya dia mengambil masa sekitar lima hingga enam minit untuk menyiapkan hiasan sebiji kek.

“Mungkin kerana sudah mahir mengendalikan krim dan aising, ilham untuk dekorasi kek akan datang secara automatik. Paling banyak, saya pernah menghias 25 hingga 30 biji kek dalam masa sehari.

“Kebanyakan tema hiasan adalah kartun dan gaya Barat. Bagaimanapun, untuk hiasan kek perkahwinan, baru sekali saya cuba,” katanya.

Menurut Nur Izzatul, biarpun sibuk di kafe ibu, dia tetap punya masa untuk keluar bersama kawan.

“Sejak kecil ayah dan ibu selalu menekankan batas pergaulan. Jadi, suka atau tidak, saya perlu bijak membahagikan masa untuk bersosial, belajar dan tolong ibu di kafe.

“Saya juga tidak pernah rasa bosan menghabiskan masa di kafe. Saya bangga apabila pelanggan memuji kek yang dihasilkan. Apabila mereka gembira, saya rasa hendak buat lebih baik lagi pada masa akan datang.

“Di kafe pun saya tidak harapkan pendapatan sampingan. Cukuplah kalau dapat menolong ayah dan ibu memajukan perniagaan mereka. Apa yang penting, saya dapat tajamkan kemahiran menghias kek setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 5:20 AM
SEBAHAGIAN kek yang dihias Nur Izzatul.