BERSAMA ibu bapa yang menjadi kekuatan hidupnya.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


APABILA disahkan menghidap kanser limfoma tahap akhir, gadis manis ini hilang kata-kata, hanya terbayang wajah ibu bapa dan seluruh ahli keluarga di minda.

Dia mula mempersoalkan mengapa dugaan seberat itu menerjah kehidupannya. Apakah dosanya hingga diuji sedemikian rupa? Namun dia segera kembali ke realiti hidup, tidak ada sesiapa yang mampu lari daripada ujian.

Secara perlahan-lahan anak jati kelahiran Klang, Selangor ini cuba bangun mencari kekuatan, bukan saja untuk meneruskan kehidupan malah bagi memanfaatkan sisa hidup dengan sebaik-baiknya.

Walaupun berdepan ujian seberat itu, dia masih mampu bersyukur kerana berpeluang memperbanyakkan ibadat dan pada masa sama berbakti sesama manusia.

Pertemuan dengan gadis positif ini bulan lalu sungguh memberi inspirasi dan membuka mata penulis untuk lebih menghargai kehidupan.

Mana tidaknya, walaupun berdepan kenyataan menghidap kanser tahap empat, Nur Syafinaz Jaafar, 20, masih tersenyum manis. Sekali pandang, penampilan dirinya langsung tidak membayangkan kesakitan ditanggung.

Sungguh anak kelima daripada enam beradik ini sangat kuat. Bukan saja kuat menanggung kesakitan malah menerima suratan takdir yang sudah tertulis untuk dirinya.

Memulakan bicara, Nur Syafinaz berkata, semuanya bermula pada 2017 apabila dia menyedari berlaku perubahan di bahagian pahanya.

“Bermula daripada itu, satu persatu masalah kesihatan datang, muntah, sakit perut yang teramat selain sering berasa tidak sihat, namun saya langsung tidak menyangka itu petanda kanser.

“Hinggalah pada satu hari ketika saya sekeluarga bercuti di Port Dickson, Negeri Sembilan. Saya mengalami kesakitan perut yang teruk hingga tidak mampu bertahan. Keluarga segera membawa saya ke Hospital Port Dickson untuk menjalani pemeriksaan dan hari itu saya ditahan wad untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, disebabkan dia sekeluarga hanya datang ke situ untuk bercuti ibu bapanya meminta kebenaran untuk dia dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang berhampiran dengan rumah.

“Satu persatu pemeriksaan dan ujian dijalankan. Akhirnya saya disahkan menghidap kanser limfoma dan lebih menyedihkan ia sudah berada pada tahap akhir.

“Bayangkan ketika itu usia baru 18 tahun, ujian yang datang sangat berat hingga membuatkan saya menangis setiap hari. Macam-macam yang saya fikirkan - mengenai masa depan, pengajian yang berjalan dan keluarga,” ujarnya.

Nur Syafinaz berkata, dia segera mencari kekuatan terutama untuk menjalani rawatan kemoterapi.

“Saya terbayang wajah emak dan ayah. Kalau saya sedih, mereka tentu lebih sedih. Ketika itu fikiran buntu, apa yang saya tahu saya perlu kuat untuk diri sendiri dan mereka. Disebabkan itu, saya cuba positif, apabila sudah positif saya kumpul kekuatan untuk memastikan diri kekal kuat terutama melawan kesakitan.

“Hanya Allah SWT dan penghidap kanser tahu bagaimana sakitnya selepas menjalani kemoterapi. Hampir setiap kali selepas menjalani rawatan saya akan terlantar, hilang segala kudrat untuk bangun hinggakan untuk mengunyah makanan pun tidak mampu,” katanya.

Menurutnya, semua itu disebabkan kesan kemoterapi yang sangat kuat hinggakan dia tidak boleh bangun dan seluruh mulutnya seolah-olah terkoyak kerana ulser mulut.

“Semua ini saya perlu hadapi setiap kali sesi kemoterapi, namun cuba sedaya upaya kuatkan diri. Syukur, Allah SWT beri saya kekuatan untuk terus melawan kanser ini.

“Kini selepas selesai menjalani beberapa sesi kemoterapi, keadaan diri semakin menunjukkan tanda positif, saya sudah boleh hidup seperti insan normal selepas bertahun-tahun keluar masuk hospital. Walaupun belum bebas daripada kanser sepenuhnya, saya tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai sedikit kudrat ini,” ujarnya.

KONGSI KEKUATAN

Menurut Nur Syafinaz yang banyak membaca buku bagi melupakan kesakitan dirasai, selepas berdepan sendiri dengan dugaan kesihatan apabila disahkan kanser, dia menyedari semangat menjadi penawar paling mujarab untuk seseorang pesakit itu terus kuat.

“Semangat itu jugalah yang membezakan sama ada individu itu mampu bertahan atau sebaliknya kerana sudah terlalu ramai individu yang menjalani rawatan bersama saya di hospital sudah pergi buat selama-lamanya.

“Ya, sememangnya hidup dan mati adalah ketentuan Ilahi namun kita sebagai manusia perlu usaha dan kekal kuat,” katanya.

Katanya, dia juga tidak terkecuali pernah dilanda kemurungan hingga tidak mahu bertemu dengan sesiapa ketika dalam keadaan tidak bermaya.

“Saya sendiri sudah merasainya dan disebabkan itu, saya cuba berkongsi semangat. Saya juga pernah menerima kata-kata semangat daripada sahabat yang sama-sama menghidap kanser dan ia sangat bermakna buat saya.

“Bermula daripada itu, saya semakin kuat untuk menjalani kehidupan seperti insan lain terutama keluarga tercinta,” ujarnya.

Katanya, dia juga tidak segan untuk berkongsi perjalanan hidupnya apabila disahkan menghidap kanser limfoma tahap akhir pada usia yang sangat muda.

“Saya cuba beri kata semangat untuk semua insan senasib terus kuat. Jangan mudah putus asa dan serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa.

“Syukur, dalam pada saya semakin positif, secara automatik saya juga rasakan diri semakin tenang terutama ketika melihat senyuman yang terukir di wajah ibu dan ayah,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:15 PM