SHAIFUL ketika menjalani pembedahan rekonstruktif di MSUMC.
Oleh Siti Zarinah Sahib


SELEPAS melalui 22 jam yang mencabar, prosedur pembedahan membabitkan pengeluaran tumor dan rekonstruktif muka ke atas pesakit kanser kelenjar air liur (adenoid sistik karsinoma), Shaiful Afandi Musa, 44, berjaya dilakukan.

Shaiful yang didiagnosis kanser tahap empat sejak Mei 2015 melalui pelbagai prosedur rawatan termasuk kemoterapi sebanyak 18 kitaran yang berakhir pada awal 2018.

Bagaimanapun, usaha itu menemui jalan buntu apabila rawatan dijalankan kurang berkesan dalam mengawal dan menyembuhkan kanser yang dihidapinya. Akhirnya sel kanser menyerang bahagian muka, seterusnya mengakibatkan dia kehilangan separuh wajah termasuk penglihatan mata kiri.

Pembedahan dilakukan Pakar Bedah Rekonstruktif dan Plastik MSU Medical Centre (MSUMC), Profesor Dr Arman Zaharil Mat Saad turut disertai Pakar Bedah Neuro MSUMC, Profesor Dr Badrisyah Idris dan pakar bedah dari Hospital Kuala Lumpur, Hospital Toronto serta Hospital Queens Elizabeth, Kota Kinabalu yang terbabit melalui kaedah video tele-konferen.

Menurut Dr Arman Zaharil, proses pembedahan dianggap mencabar kerana kanser dihidapi Shaiful Afandi amat jarang berlaku dan membabitkan pertumbuhan sel kanser agresif serta di luar kawalan.

“Doktor terpaksa melakukan pembedahan membuang tumor, kemudian membina semula wajahnya menerusi pemindahan tisu yang diambil pada paha kirinya termasuk membina salur darah pada leher.

DR Arman

“Selepas pembedahan pertama berjaya dilakukan, pembedahan kedua pada 28 Ogos 2019 dibuat bagi penghasilan hidung dengan pembentukan dua tiub pernafasan untuk memastikan dia dapat bernafas seperti biasa. Pada masa sama dia turut menjalani rawatan prostesis pergigian bagi membantu Shaiful menelan makanan,” katanya.

Berkongsi pengalaman ketika melalui prosedur pembedahan dan rawatan, Shaiful Afandi mengakui dia bertuah kerana dikelilingi keluarga dan rakan yang sentiasa memberi dorongan tanpa henti ketika dia tidak berdaya melawan kanser.

“Kanser menyebabkan saya kehilangan pekerjaan dan bergantung kepada wang daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selain pendapatan isteri yang bertugas sebagai guru,” katanya.

PEMBEDAHAN PLASTIK REKONSTRUKTIF SELURUH BADAN

Kesulitan dan penderitaan dilalui Shaiful Afandi mendapat perhatian MSUMC melalui Yayasan MSU yang membiayai kos pembedahan dan perubatan dianggarkan bernilai RM150,000 hingga RM200,000.

Kini Shaiful Afandi melalui proses pemulihan yang menampakkan kesan positif. Daripada terbaring, dia sudah boleh berjalan dan berdiri tanpa bantuan iaitu perkara yang tidak dijangkakan sebelum ini memandangkan keadaan kesihatannya sangat kritikal ketika mula menerima rawatan di sini.

DARI kiri, Dr Arman, Pengasas dan Pengerusi Yayasan MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Shaiful bersama isteri serta dua anak mereka.

Apabila menyebut mengenai pembedahan plastik, ramai beranggapan ia berkaitan kosmetik iaitu pembentukan semula wajah bagi memberikan penampilan yang lebih cantik dan menawan.

Namun sebenarnya pembedahan plastik sangat meluas dan tidak tertumpu kepada kecantikan semata-mata. Pembedahan plastik rekonstruktif adalah untuk memperbaiki, membaik pulih fungsi, sekali gus memberikan kualiti hidup lebih baik kepada pesakit.

Menurut Dr Arman, dalam bidang perubatan, pembedahan plastik rekonstruktif membabitkan keseluruhan badan iaitu daripada kepala ke kaki.

Sebagai contoh, kecacatan kelahiran seperti bentuk kepala yang tidak normal, sumbing lelangit, kanser di bahagian muka dan kulit, kemalangan sehingga menyebabkan kerosakan anggota luar badan dan pembinaan semula payudara bagi memberikan bentuk seakan-akan normal dan mengimbangi payudara yang lebih stabil pada pandangan orang lain.

Selain itu, pembedahan plastik rekonstruktif juga dilakukan di pelbagai anggota badan seperti penyambungan kaki dan tangan akibat kemalangan, kehilangan tisu dan tulang, kelecuran yang teruk disebabkan kebakaran, penyakit seperti kaki gajah serta kecacatan kemaluan sejak lahir seperti tiada saluran vagina dan saluran kencing yang tidak normal untuk lelaki.

“Dalam apa juga pembedahan ia berfungsi membaik pulih dan memberikan fungsi yang sama seperti organ normal. Walaupun pembentukan dilakukan tidak sama seperti organ sebenar, ia dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada pesakit,” katanya.

Dr Arman berkata, sebelum pembedahan dibuat doktor akan melihat bahagian atau otot yang masih dalam keadaan baik dan bahagian yang perlu diberikan pemulihan.

CABARAN PEMBEDAHAN PLASTIK REKONSTRUKTIF

Aspek yang mencabar dalam setiap pembedahan jika ia membabitkan organ kritikal seperti salur darah utama yang perlu dibuang dan dibina semula.

“Sebagai contoh, membina semula saluran vagina. Saya akan melihat bahagian yang boleh diguna untuk pembentukan salur vagina dan bagaimana penyambungan terus ke rahim supaya pada akhirnya ia berfungsi sama seperti wanita normal.

“Paling penting dalam setiap pembedahan adalah melihat salur darah dan penyambungan dilakukan dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Kata Dr Arman, cabaran bagi pakar bedah rekonstruktif apabila melakukan pembedahan di bahagian muka. Ini kerana ia membabitkan anggota wajah seperti struktur mata, telinga, hidung, pendengaran dan otak.

Prinsip yang sering ditekankan dalam setiap pembedahan bina semula adalah menggantikan anggota badan seakan-akan sama dengan bahagian asal.

“Contohnya dalam pembinaan hidung memerlukan kulit dan tulang bagi membentuk menjadi seakan-akan hidung normal. Jadi anggota paling hampir digunakan adalah tulang rawan supaya ia dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Jelasnya, perkara paling penting dalam setiap pembedahan adalah memastikan penyambungan salur darah dapat dilakukan dan ia berfungsi dengan baik. Kebiasaannya pesakit akan menggunakan anggota badan mereka sendiri.

“Misalnya kulit diambil di bahagian kaki dan paha pesakit sendiri atau kulit yang diambil daripada bank kulit luar negara. Namun di Malaysia sudah terdapat penyimpanan kulit daripada pesakit yang pernah menjalani pembedahan.

“Kulit ini akan diproses dan disimpan dalam bank hospital. Ia akan diguna untuk pembinaan semula anggota badan pesakit. Namun apa yang pesakit perlu sedar ialah setiap pembedahan akan meninggalkan parut sama ada besar atau kecil. Dalam hal ini, pakar bedah akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan parut kelihatan kurang jelas atau tersorok,” ujarnya.

Kejayaan pembedahan plastik dan rekonstruktif banyak dipengaruhi perkembangan teknologi dalam bidang ini yang semakin ditambah baik bermula sejak 1960-an. Ini menjadikan semakin banyak pembedahan bina semula yang kronik dapat dilakukan dengan jayanya.

“Peralatan yang semakin terkini dan canggih memudah dan mempercepatkan proses pembedahan. Ditambah kepakaran pakar bedah dalam bidang plastik rekonstruktif membantu untuk menjadikan kehidupan pesakit bertambah baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 5:20 AM