OKAZAKI (tengah) bersama Shinobu (kiri) dan Hiroshi (kanan) pada pameran itu.
Yusliza Yakimir Abd Talib


HAMPIR setiap masakan Malaysia dihidangkan bersama nasi yang menjadi makanan ruji rakyat berbilang bangsa di negara ini dan kebanyakan etnik lain di Asia.

Bahkan di Jepun juga, nasi adalah ‘bintang’ utama di atas meja, malah kecintaan terhadap bijirin ini dikongsi bersama dalam masakan serta sebagai pengambilan makanan harian utama oleh kedua-dua negara.

Sebagai peruncit utama di Malaysia, AEON CO (M) BHD secara eksklusif berkolaborasi dengan kerajaan wilayah Niigata, Jepun untuk menjadi tuan rumah Pameran Niigata pertama kali di Malaysia.

Pameran bermula 14 hingga 24 November lalu di AEON Mid Valley Store, Kuala Lumpur itu mempamerkan lebih 50 produk dari wilayah Niigata dalam usaha untuk memperkenalkan beras dan produk berasaskan beras dari wilayah itu.

Naib Presiden Eksekutif dan Pegawai Eksekutif Aeon Co Ltd, Soichi Okazaki berkata, Niigata adalah wilayah penanaman beras yang paling terkenal di Jepun dan disokong ramai rakyat sebagai jenama utama negara mereka.

“Sekiranya ada satu perkara yang boleh menyatukan rakyat Malaysia, ia sentiasa rasa cinta terhadap makanan. Malah, kita semua boleh bersetuju kebanyakan rakyat Malaysia tidak boleh hidup tanpa beras, begitu juga di Jepun.

“Niigata dikenali di seluruh Jepun sebagai kawasan pengeluaran unggul beras berkualiti dan diakui ramai rakyatnya sebagai yang terbaik di negara itu.

“Pameran ini dapat menarik perhatian ramai orang daripada semua lapisan masyarakat yang menyukai produk dari Jepun, terutama makanan. Kami berharap mereka dapat mengetahui lebih lanjut mengenai nasi Niigata,” katanya pada majlis pelancaran pameran itu, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Gabenor Niigata Prefecture, Hiroshi Masuda dan Pengarah Urusan AEON CO (M) BHD, Shinobu Washizawa.

Dalam pameran itu, pengunjung diperkenalkan kepada lebih daripada 50 produk dari wilayah itu antaranya beras koshihikari (jumlah pengeluaran tertinggi), kek nasi mochi premium, pelbagai keropok dan makanan ringan daripada beras Jepun, makanan segar seperti le lectier, pir terkenal dengan tekstur halus dan wangi berkualiti tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 5:50 AM