MEMILIH rona tanah dan lembut dalam berfesyen.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


TANYALAH kepada mana-mana remaja perempuan mengenai fesyen, hampir semua menunjukkan minat untuk tampil cantik bergaya mengikut cita rasa masing-masing.

Ada yang gemar tampil feminin, ada pula memilih gaya ringkas dan tidak kurang juga ada yang suka kelihatan memukau.

Seiring peredaran masa, remaja kini semakin bijak berfesyen walaupun sekadar untuk menghadiri kuliah atau keluar pada hujung minggu bersama rakan dan keluarga.

Golongan itu sangat menitikberatkan pemilihan busana, tudung dan aksesori termasuk kasut dan beg tangan. Pendek kata, kebanyakannya gemar bergaya!

Penampilan manis gadis kelahiran Klang, Selangor ini menarik perhatian. Mana tidaknya pada usia muda, dia bijak memilih busana harian yang dipadankan dengan selendang, beg tangan atau aksesori dalam rona sesuai bagi melengkapkan gaya anggunnya.

Apabila ditanya mengenai fesyen harian, Raja Mariah Jameelah Raja Badri Shah, 21, tidak lokek berkongsi pandangan kerana baginya fesyen yang menarik akan membuatkan dia lebih berkeyakinan.

Tidak hairanlah jika semua gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram peribadinya kelihatan sangat cantik.

Menurutnya, dalam memilih busana atau aksesori, perkara pertama yang dititikberatkan adalah soal warna dan keselesaan.

“Bagi saya semua individu itu akan tampak cantik jika menggayakan fesyen yang sepadan dengan diri. Saya lebih selesa memilih seluar denim yang dipadankan dengan kemeja-T untuk memudahkan pergerakan harian. Sesekali jika bercuti bersama rakan, saya akan menggayakan gaun labuh atau busana yang sedikit berbeza daripada gaya harian. Dalam soal ini, warna memainkan peranan dalam menentukan gaya yang terhasil.

“Saya sendiri mempunyai warna yang sinonim dengan diri iaitu rona lembut, tanah dan hitam. Bukan tidak berani menggayakan rona lain terutama yang terang, namun saya sudah biasa dengan rona sejuk mendominasi kebanyakan koleksi baju dan tudung dalam almari saya. Warna itu mudah dipandankan dengan rona lain,” katanya.

Bagi pilihan beg tangan dan kasut pula, Raja Mariah Jameelah berkata, dia lebih bersikap terbuka kerana gemarkan koleksi yang pelbagai.

“Saya seorang yang ringkas dan tidak cerewet dalam berfesyen. Cukuplah busana itu cantik dan selesa, paling utama diri sendiri perlu yakin dalam bergaya.

“Selain itu, saya juga tidak sukakan fesyen yang terlalu sarat, kerana bersederhana itu lebih manis dipandang,” ujarnya.

FESYEN SEIRING KERJAYA

Menurut usahawan muda ini, selain gemar bergaya, kerjayanya sebagai pemilik kedai pastri menuntut dirinya untuk sentiasa kelihatan kemas dan selesa.

“Sebab itu saya katakan perlu bijak berfesyen, saya sering berada di bahagian dapur kedai menyiapkan tempahan pelanggan yang memerlukan saya memilih busana yang sesuai supaya tidak membataskan pergerakan.

“Walaupun cuma di kedai, saya tetap mahu tampil kemas bukan saja untuk keselesaan diri malah supaya berasa lebih yakin apabila berdepan dengan pelanggan,” katanya.

Katanya, cantik dan keyakinan itu berkait rapat dengan fesyen dan disebabkan itu dia perlu pastikan diri sendiri mempunyai koleksi busana, tudung dan aksesori yang pelbagai.

“Disebabkan sudah bekerja tentu saja saya menggunakan wang poket sendiri untuk menambah koleksi busana, namun tidaklah terlalu obses.

“Fesyen ibarat lambang dan personaliti diri. Lain individu lain kecenderungan fesyennya. Bagi saya asalkan fesyen digayakan itu cantik, selesa dan tidak jarang, ia sudah memadai,” katanya.

Menurutnya, soal jenama tidak menjadi keutamaannya dalam membuat pilihan kerana tidak semestinya jenama murah tidak berkualiti.

“Saya kerap membeli baju, tudung atau aksesori secara dalam talian kerana lebih mudah dan tidak membazir masa. Soal saiz juga tidak menjadi masalah kerana saya akan pastikan terlebih dulu ukuran yang diberikan peniaga.

“Jangan menjadi hamba fesyen, cukuplah ia membuatkan anda selesa dan yakin berdepan orang ramai. Paling utama ia memudahkan pergerakan tidak kira di mana saja sama ada ketika bekerja, bersiar-siar atau sedang bercuti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:00 AM