BERSAMA trofi kemenangan yang diterima selepas Prestige Media Studios dipilih pemenang Perkhidmatan Fotografi Konvokesyen Terbaik bagi kategori perkhidmatan untuk Asia Halal Brand Award (AHBA).
Oleh Redzuan Muharam


EMPAT tahun lalu, Suffian Othman ditawarkan RM1 juta oleh sebuah syarikat yang berminat mengambil alih perniagaannya.

Namun, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkhidmatan fotografi, Prestige Media Studios Sdn Bhd nekad menolak tawaran lumayan diterima kerana berat melepaskan empayar dibina sejak 2002.

Ternyata, keputusan dibuat itu tepat dan kini, syarikatnya sentiasa menjadi pilihan agensi kerajaan dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara yang saban tahun mendapatkan khidmat fotografi setiap kali menganjurkan majlis seperti anugerah kecemerlangan serta konvokesyen.

Secara tidak langsung, Suffian, 45, turut membuka peluang kerja kepada jurugambar amatur dan profesional yang berminat untuk mengembangkan kerjaya mereka.

Berkongsi latar belakangnya, Suffian berkata pembabitannya dalam bidang fotografi didorong oleh minat dan keyakinannya selepas melihat peluang yang boleh diteroka untuk mendapatkan pulangan.

“Sebenarnya, saya adalah graduan ijazah lulusan Perancangan Bandar dan Wilayah serta pernah bekerja sebagai pegawai penyelidik dan perancangan bandar di sebuah syarikat arkitek selepas tamat pengajian pada 2000.

SUFFIAN bersama ibu, Hasnah; isteri, Noor Fadlina dan anaknya, Puteri Sofea Az Zahra serta Yusoff Iskandar Al Harith yang menjadi pembakar semangatnya untuk berjaya.

“Selepas dua tahun menimba pengalaman bekerja, timbul keinginan menjalankan perniagaan dalam bidang fotografi pada 2002 dan saya berusaha ke arah itu dengan menyertai kursus serta memohon skim usahawan siswazah bagi mendapatkan dana pembiayaan daripada kerajaan.

“Berbekalkan pinjaman diterima, duit simpanan dan pertolongan keluarga akhirnya merealisasikan impian saya membuka outlet pertama di Seri Kembangan, Selangor yang masih beroperasi sehingga ke hari ini.

“Tidak lama selepas outlet dibuka, saya diuji dengan kehilangan ayah, Othman Ali yang meninggal akibat sakit dada pada tahun sama dan sejak itu, saya membawa emak, Hasnah Zakaria serta dua adik tinggal bersama di ibu kota,” katanya.

Selepas 13 tahun menetap bersama, Suffian mengambil keputusan pulang ke kampungnya di Kuala Rompin, Pahang dan membuka cawangan di situ.

Beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk cawangan berkenaan pada awalnya kerana lokasinya di luar bandar, tetapi rezeki berpihak kepadanya apabila perniagaan disitu mendapat sambutan memberangsangkan.

“Idea membuka cawangan di Kuala Rompin itu sebenarnya tercetus selepas emak meluahkan hasrat untuk pulang ke kampung dan rupanya, ia membuka pintu rezeki yang lebih luas buat saya.

“Buktinya, pelanggan bertambah dan banyak projek besar diperoleh syarikat selepas membuka cawangan di situ yang menjadi outlet terbesar setakat ini.

“Bilangan pekerja di situ (outlet Kuala Rompin) juga yang paling ramai tetapi setiap dua minggu, saya masih berulang-alik ke Seri Kembangan kerana outlet di situ masih beroperasi seperi biasa,” katanya.

Di sebalik kejayaan dilalui, Suffian tidak dapat lari daripada cabaran, tetapi enggan cepat berputus asa kerana sedar apa yang berlaku adalah asam garam dalam dunia perniagaan.

Baginya, walaupun diuji dengan masalah, beliau perlu bersikap profesional dan memberi perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan yang memberi kepercayaan.

SUFFIAN menguruskan syarikat dengan bantuan dua adiknya yang juga Pengarah Urusan Prestige Media Studios Sdn Bhd, Muhamad Ali (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi, Mohd Fairuz Amee Othman (kanan).

“Saya pernah terduduk apabila mata wang jatuh kerana keadaan itu menyebabkan kos ditanggung meningkat dan ia bergantung kepada kebijaksanan kita untuk mengendalikan situasi berkenaan.

“Ini kerana pelanggan mahukan harga rendah tetapi perkhidmatan berkualiti jadi saya perlu memikirkan strategi untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Selain emak, saya bersyukur kerana isteri, Nor Fadlina Mohamad sentiasa menjadi tulang belakang dan sanggup berhenti kerja demi membantu menguruskan syarikat begitu juga adik ipar, Muhamad Ali yang menjadi pengarah urusan selain dua adik saya iaitu Mohd Fairuz Amee dan Nor Izyanee ,”katanya yang pernah membintangi drama siri Mahligai Gading dan Kolej bersama pelakon terkenal Indonesia, Anjasmara.

Mengenai perancangan masa depannya, Suffian berharap impiannya untuk menawarkan perkhidmatan fotografi di pusat pengajian luar negara menjadi kenyataan.

Sasaran itu diletakkan sebagai penanda aras untuk Suffian membuktikan bidang fotografi diceburinya berupaya pergi lebih jauh.

“Syarikat saya pernah diberi kepercayaan untuk mengendalikan fotografi bagi majlis penyampaian anugerah untuk graduan lulusan Doktor Falsafan (pHd) di Universiti Oxford, England pada 2014.

“Baru-baru ini, syarikat menerima anugerah Perkhidmatan Fotografi Konvokesyen Terbaik dan kejayaan itu menyuntik semangat saya untuk berusaha lebih keras bagi meningkatkan lagi prestasi serta mutu perkhidmatan.

“Jika tiada aral, syarikat akan bekerjasama dengan pusat pengajian di Indonesia dan Thailand pula pada 2020 dan tawaran itu diterima bukan untuk menyaingi mana-mana pihak, tetapi membuktikan tiada sempadan dalam bidang fotografi.

“Malah, saya beranggapan kejayaan bukan diukur daripada jumlah outlet dibuka, tetapi jenis cabang fotografi dipilih dan disebabkan itu, syarikat masih bertahan sehingga kini ,” katanya yang mempunyai lima outlet di Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:00 AM