TAHIRA
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


PENCAPAIANNYA dalam bidang sukan lasak melayakkan figura ini digelar ‘wanita besi’ malah ibu muda kepada empat cahaya mata ini membuktikan status sebagai ibu bukan halangan untuk menggapai apa saja impian dan kejayaan dalam hidup.

Senarai kejayaan wanita ini sejak mula bergiat aktif dalam sukan lasak selepas tamat persekolahan tidak terhitung termasuk lakaran sejarahnya tersendiri terpilih sebagai wanita tunggal mewakili negara pada misi pertama merentasi Greenland dengan ski sejauh 550 kilometer (km) selama 27 hari dalam suhu negatif 40 darjah Celsius pada 2014.

Kesempatan menyaksikan Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, 30, dalam larian mendaki anak tangga Menara Kuala Lumpur baru-baru ini begitu mengagumkan. Wanita kacukan Melayu-Inggeris ini tangkas melengkapkan larian 2,058 anak tangga setinggi 288 meter dalam tempoh hanya 15 minit 55 saat.

Menurutnya, kesibukan menguruskan keluarga dan membesarkan empat anak yang masih kecil tidak pernah menghalangnya bergiat aktif dalam pelbagai sukan lasak termasuk climbathon, trailthlon, sky running dan ultra maraton.

Menariknya, wanita ini turut bertemu jodoh dengan suaminya, Abdul Rahman Abu Hassan, 37, selepas mereka menyertai acara maraton yang sama lebih 10 tahun lalu.

Tidak hairanlah Tahira bukan hanya mendapat sokongan Abdul Rahman, malah mereka sering berpasangan ketika menyertai acara climbathon atau larian cabaran serta pelbagai aktiviti lasak lain.

“Sokongan suami mendorong saya terus aktif walaupun selepas bergelar ibu. Suami yang berkhidmat sebagai Pasukan Khas Laut (Paskal) sentiasa sibuk menyebabkan saya memilih jadi suri rumah sepenuh masa bagi menumpukan perhatian kepada anak.

“Namun, saya tetap membahagikan masa untuk bersukan atau menjalankan latihan kerana tidak mahu gelaran isteri dan ibu mengubah diri.

“Saya hamil anak keempat pada Januari 2018, namun masih menyertai larian sehingga kandungan berusia tujuh bulan. Saya memang aktif dalam semua kehamilan saya sebelum ini. Selepas melahirkan (anak keempat) pada Oktober, saya mula berlumba lagi dua bulan selepas itu,” katanya.

Pelbagai kejayaan dikecapinya antaranya bergelar juara acara Ultra Trail Mount Hallasan, Korea 2019 (kategori terbuka wanita) dan juara Women Champion Asia Trail Master Series (2016).

Katanya, dia didedahkan aktiviti luar termasuk program perkhemahan sejak di bangku sekolah rendah bersama pasukan pengakap yang disertai sehingga menerima pengiktirafan King Scout.

Wanita yang dilahirkan di Tanjung Malim, Perak, ini mula berjinak dengan aktiviti mendaki gunung selepas tamat zaman persekolahan dan bekerja di syarikat pengembaraan sebagai jurupandu aktiviti lasak seperti mengharung jeram dan menerokai gua, selain jurupandu mendaki gunung pada 2007.

Selepas itu Tahira mula menyertai pelbagai sukan lasak seperti perlumbaan, cabaran eko, larian gunung dan jambori basikal bukit (MTB) serta turut terbabit sebagai Pasukan Simpanan KD Sri Manjung Tentera Laut DiRaja Malaysia dari 2009 hingga 2012.

Tidak cukup dengan itu, Tahira turut menjadi jurulatih renang pada 2011 dan menyertai aktiviti menyelam skuba. Dia yang memiliki lesen menyelam ‘open water’ menghadiri temu duga pemilihan bagi ekspedisi di Greenland pada 2013 dan terpilih sebagai satu-satunya penjelajah wanita dalam pasukannya mewakili Malaysia merentas Greenland bermula di Ammassalik dan berakhir di Sondre Stromfjord.

Menurutnya, dia memasang impian menawan tujuh puncak gunung tertinggi setiap benua di dunia (Seven Summit), puncak 8,000 meter seperti Everest di Tibet dan Nepal, K2, Kutub Utara dan Kutub Selatan serta pelbagai ekspedisi polar lain.

“Meskipun bergelar ibu, saya tetap bercita-cita mahu menjadi atlet elit teratas dalam cabaran-eko, perlumbaan pengembaraan, perlumbaan MTB, larian-ultra dan perlumbaan gunung mewakili Malaysia di dalam dan di luar negara.

TAHIRA pasang impian tawan tujuh puncak gunung tertinggi iaitu Seven Summit. FOTO: Aziah Azmee

“Saya memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dalam Urutan Sukan, SKM Tahan 2 dalam Terapi Urutan Spa selain Sains Sukan Tahap 1 dalam Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan Majlis Sukan Negara. Saya berhasrat untuk meneruskan pengajian dan menjadi jurulatih kebangsaan serta jurupandu pendakian tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tahira berharap pembabitannya dalam aktiviti kecergasan dapat memberi kesedaran mengenai gaya hidup yang sihat dan kepentingan sukan kepada semua terutamanya orang muda bahkan gelaran ibu sepertinya tidak halangan untuk bergiat cergas.

Katanya dia turut menyimpan impian melatih dan membina pasukan Malaysia yang kuat untuk bersaing dalam perlumbaan cabaran dan larian denai dalam perlumbaan siri dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:10 AM