KUNING menyerlah dan anggun digayakan bersempena Gaya Fest 2019
KUNING menyerlah dan anggun digayakan bersempena Gaya Fest 2019
Siti Zarinah Sahib


PENAMPILAN 12 pereka fesyen dengan tiga persalinan bersempena Gaya Fest 2019 berjaya memukau hadirin dengan rekaan terkini dan memikat. Semua pereka berbakat ini adalah hasil daripada Program Pembangunan Usahawan Fesyen MARA in Fashion (MIF) yang dimulakan pada 2016.

Lantas ia dijadikan acara tahunan dalam melahirkan lebih ramai usahawan industri fesyen yang kreatif dan mampu menonjolkan rekaan sehingga peringkat antarabangsa.

Buktinya, Danial Arif penuntut Kolej Kemahiran Tinggi, Rembau Negeri Sembilan dihantar untuk menyambung pengajian ke Perancis dalam ijazah fesyen dan kembali ke Malaysia bagi mengembangkan bakat dan idea kreatif dalam seni rekaan fesyen.

Pada hari itu Danial memperkenalkan tiga persalinan berkonsepkan batik, namun dipermodenkan daripada segi potongan. Blaus dipadankan seluar dan skirt menjadi tanda pengenalan anak muda ini dalam menonjolkan rekaannya yang tampak segar menerusi corak dan warna.

INSPIRASI daripada wanita Timur dengan rona biru dan merah.
INSPIRASI daripada wanita Timur dengan rona biru dan merah.

Menggunakan fabrik kapas sudah pasti pemilihannya menepati cita rasa wanita yang inginkan keselesaan dalam penggayaan.

Bagi pereka, Ann Khan pula gabungan rona hitam dan warna bumi menjadi pilihannya. Hadir dengan tiga rekaan kasual sudah pasti apa yang menarik perhatian adalah rekaan seluar bercorak yang boleh digayakan ke pejabat atau aktiviti harian.

Rizal Latif menerusi jenama RL Menswear mengetengahkan gaya padanan urban dengan campuran rona pastel dan terang. Jaket dan kemeja-T didatangkan dengan potongan sederhana namun diberikan nafas segar pada mainan sisi dan corak. Ia sesuai untuk jejaka yang mementingkan gaya serta penampilan mereka ke majlis.

REKAAN Danial Arif mencuri tumpuan.
REKAAN Danial Arif mencuri tumpuan.

Keseluruhan persembahan yang ditonjolkan pada acara ini mampu mengangkat golongan muda, sekali gus menjadi pelapis kepada pereka sedia ada di Malaysia.

Majlis yang dirasmikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dr Hasnita Datuk Hashim turut menyediakan pelbagai program lain seperti Hair In Trend (HIT), Barber, Aora Spa, Beuty In Business (Biss) dan Pembangunan Usahawan Resort (Pure) yang berlangsung pada 5 hingga 7 Disember lalu.

Selain bertujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan program ini membuka peluang kepada usahawan, penyewa dan pelajar mewujudkan rangkaian dengan pemain industri, ejen pemasaran, pengedar dan pembekal barangan dalam bidang yang mereka ceburi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 6:10 AM