SULAM pemerah pipi dan sulam bibir memberi kesan diinginkan.
Siti Nadirah Hafidzin


MUNGKIN ramai yang tahu atau sekurang-kurangnya pernah mendengar mengenai rawatan sulam bedak yang mencetus fenomena baharu dalam dunia kecantikan bukan saja di negara ini malah di seluruh dunia tahun lalu.

Kebanyakan wanita begitu taasub untuk memiliki kulit wajah putih gebu dan cantik hingga ada yang sanggup melakukannya tanpa memikirkan prosedur rawatan, soal hukum juga kesan sampingannya.

Selain sulam bedak, terdapat dua lagi rawatan hampir sama iaitu sulam bibir dan sulam pemerah pipi yang memberi kesan diinginkan dengan pantas.

Timbul pula pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat, adakah dua rawatan itu boleh dilakukan, bagaimana prosedur melakukannya juga, adakah kesan warna itu berkekalan atau sebaliknya.

Mengupas mengenai rawatan sulam bibir dan sulam pemerah pipi, pengamal perubatan estetika bertauliah Azliana Yusof berkata, sama seperti sulam bedak, kedua-dua rawatan itu boleh dilakukan sekiranya menggunakan jarum nano bukan melalui teknik sulaman atau tatu.

“Untuk sulaman pemerah pipi kesannya hampir menyamai dengan rawatan sulam bedak tetapi warna pemerah pipi daripada serum BB berwarna akan bertahan pada permukaan kulit selama beberapa hari, namun tidak melebihi seminggu.

Sekiranya ia dicuci dengan kerap dan kuat, kesan warna itu akan hilang.

“Bagi individu yang mempunyai masalah parut halus atau kulit tidak sekata di pipi, disarankan untuk mendapatkan rawatan ini kerana ia memberi fokus kepada masalah di seluruh pipi, tepi dahi, hidung serta dagu selain mencantikkan pipi,” katanya.

Menurutnya, kulit wajah akan kelihatan lebih sekata, cerah dan halus selepas rawatan terutama apabila warna pemerah pipi itu hilang.

“Warna pemerah pipi itu hanya berada di permukaan kulit wajah, bukan di dalam kulit dan boleh hilang dengan cepat sekiranya kerap dicuci.

RAMAI wanita mahu kelihatan cantik.

“Seperti yang saya katakan, rawatan ini bukan sekadar memfokuskan untuk meletakkan warna pada pipi tetapi dalam masa sama ia berfungsi sebagai kaedah merawat kulit wajah terutama parut di pipi,” katanya.

Sementara itu, untuk rawatan sulam bibir, Azliana berkata, rawatan akan dilakukan dengan menggunakan jarum nano bagi membuang sel kulit mati terutama kulit yang gelap dan kering.

“Bibir akan menggelupas sekiranya terdapat banyak kulit mati dan menjadi lembut selepas beberapa hari. Bibir akan berubah menjadi merah jambu kerana sel kulit mati sudah dibuang.

“Untuk rawatan ini, jarum nano akan digelek bersama serum BB di permukaan bibir bagi memberikan rona merah jambu sekali gus menjadikan bibir lebih sihat,” ujarnya.

WARNA TIDAK KEKAL

Katanya, untuk dua jenis rawatan itu, kedua-duanya tidak meninggalkan warna kekal pada kulit kerana bukannya menggunakan teknik tatu.

“Lima hari adalah tempoh maksimum warna akan kelihatan pada kulit. Bagaimanapun ia bergantung kepada jenis kulit kerana ada yang kesannya cuma sehari.

“Sama ada ia membazir atau tidak, bergantung kepada tujuan utama mendapatkan rawatan ini kerana selain kelihatan cantik, ia juga menyihatkan kulit terutama pada pipi dan bibir,” katanya.

Azliana berkata, paling utama individu beragama Islam yang mendapatkan rawatan ini perlu tahu jenis jarum digunakan dan ia bukanlah teknik tatu.

“Ramai juga salah faham, apa yang penting perlu tahu kaedah rawatan dilakukan kerana sememangnya ada pengusaha kecantikan yang menggunakan teknik tatu.

“Soal harga pula dalam lingkungan RM80 hingga RM200 untuk rawatan selama dua jam,” ujarnya.

Menurutnya, tidak salah untuk menjalani kaedah rawatan kecantikan ini kerana masing-masing mempunyai sebab tersendiri mengapa mahu kelihatan cantik.

“Asalkan tidak mengubah ciptaan Allah SWT dan tidak bersifat kekal, saya yakin rawatan ini boleh dilakukan.

“Setiap wanita perlu tahu rawatan yang dipilih dan jangan ambil keputusan disebabkan keterujaan mengikut trend tanpa mengetahui cara ia dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:10 AM