KANAK-kanak berpeluang merasai sendiri cara membuat snek Mamee.
KANAK-kanak berpeluang merasai sendiri cara membuat snek Mamee.
Yusliza Yakimir Abd Talib

MENGHASILKAN snek sendiri nyata sesuatu yang cukup menggembirakan. Tidak mengira usia, aktiviti seumpama ini bukan saja memberikan keseronokan, tapi juga sesi pembelajaran bermanfaat.

Bayangkan keseronokan anak anda dapat merasai sendiri pengalaman membuat snek hidangan kegemaran bermula dari asas hingga membawa pulang hasil masakan yang dibuat sendiri, pasti lebih mengujakan!

Mengunjungi Mamee Jonker House di Mont Kiara, Kuala Lumpur, anda pasti berasakan ia bukan hanya kedai yang menjual pelbagai barangan cenderahati dan kafe dengan aneka jenis makanan.

Malah terdapat keunikan tersendiri yang mana si manja anda berpeluang menjadi cef Dapur Lil Monster dan membuat snek Mamee sendiri bermula dengan memproses menguli tepung, merebus, menggoreng hingga snek itu siap dibungkus.

ANEKA hidangan tempatan dan antarabangsa disediakan.
ANEKA hidangan tempatan dan antarabangsa disediakan.

Semua teruja mengikuti bengkel 90 minit bersama kru Mamee Jonker House dan pelajari penyediaan bahan serta langkah penghasilan snek Mamee Monster. Menariknya, proses yang sama diguna pakai dalam skala kilang yang lebih besar.

Aktiviti yang mengambil masa satu jam setengah ini juga hanya mempunyai tiga sesi iaitu antara 11 pagi, 1 tengah hari dan 3 petang.

Selesai membuat snek, anda mahupun anak berpeluang mencipta resipi mi cawan Mamee sendiri di Noodle Doodle.

Dibekalkan satu mi cawan tanpa isi, anda diberi peluang menghias cawan mi mengikut kreativiti sendiri sebelum ke bahagian dapur dan mencipta resipi mi cawan sendiri.

Selesai menjelajah dan menikmati hidangan istimewa di sini, membeli produk terpilih Mamee serta cenderahati termasuk kemeja-T edisi terhad sebagai kenang-kenangan melengkapkan penjelajahan anda di kafe Mamee.

Jurucakap Media Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd Nadia Jasmon berkata, selepas pembukaan Mamee Jonker House Melaka di Banda Hilir, syarikat itu membuka cawangannya yang kedua di 163 Retail Park, Mont Kiara yang beroperasi sejak September lalu.

Mamee Jonker House yang asalnya dibuka di Melaka pada Ogos 2013 adalah stor konsep jualan ulung di bawah kumpulan ini selama hampir 50 tahun berkecimpung sebagai penggiat industri pembuatan makanan dan minuman di Malaysia.

“Cita rasa dan dekorasi kafe ini di ibu kota adalah lebih kepada sentuhan moden bagi menepati cita rasa pengunjung tempatan dan dari luar negara khususnya kanak-kanak.

“Selain itu kami menganjurkan servis dan pakej menarik bagi sambutan hari jadi atau pelbagai acara bagi pengunjung yang berhasrat untuk meraikan sambutan ulang tahun anak mereka mahupun acara lain yang berskala kecil di sini.

“Kami mahu kekal sebagai peneraju utama dalam industri makanan dan minuman di Malaysia sempena sambutan ulang tahun ke-50 tahun syarikat tahun ini dan sejajar dengan itu, kami ingin terus memelihara hubungan baik sesama masyarakat tempatan mahupun pengunjung dari luar negara dalam menjadikan kafe ini sebagai pemangkin dalam mendekatkan kami ke arah usaha ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 6:01 AM