PURI mudah disediakan dan baik untuk bayi.
HM Digital

MENYEDIAKAN makanan bayi tidak sama dengan masakan untuk orang dewasa. Anda perlu memikirkan mengenai pilihan makanan yang boleh diberikan kepada si manja. Makanan untuk bayi biasanya perlu dimasak hingga menjadi lembut atau puri, dikisar atau dilenyek terlebih dulu.

Membuat puri sendiri lebih sihat tanpa bahan pengawet pasti menjadikan bayi anda lebih sihat. Berikut beberapa jenis buah segar yang amat sesuai diberikan untuk bayi berusia enam bulan ke atas.

1. Epal

Epal terkenal sebagai buah yang pertama kali diperkenalkan kepada bayi. Puri daripada epal merah biasanya lembut dan manis rasanya dan disebabkan itu kebanyakan bayi menyukainya. Buah ini juga tinggi vitamin C dan serat. Buah serba guna ini sesuai dicampur dengan puri dari pada buah lain, sayuran atau daging ayam.

2. Pisang

Buah yang kaya potassium ini juga sangat ideal diperkenalkan kepada bayi sebagai makanan pertama mereka. Rasanya yang manis, berkrim dapat menyeimbangkan rasa dari buah yang masam seperti strawberi jika ingin dicampur bersama.

3. Pir

Rasanya yang manis pasti disukai kebanyakan bayi. Mempunyai pelbagai manfaat dan khasiat, buah ini sesuai dijadikan puri dan diperkenalkan kepada bayi.

4. Avokado

Buah ini kaya omega-3 dan membuat puri daripadanya amat mudah kerana tidak perlu dimasak. Ia sememangnya enak dimakan begitu saja atau dicampur dengan puri pisang untuk memberikan khasiat terbaik untuk bayi. Pilih buah yang masak dan lembut agar tidak pahit rasanya

.

5. Mangga

Buah tropika yang enak ini kaya vitamin A dan pastinya disukai semua peringkat umur dan tidak terkecuali bayi. Membuatnya pun mudah kerana tidak perlu memasak sebelum melumatkannya menjadi puri. Bagaimanapun puri ini sesuai untuk bayi berusia 10 bulan ke atas.

6. Labu kuning

Buah ini juga banyak mengandungi vitamin A, C, K, zat besi, protein yang baik untuk pertumbuhan tubuh bayi. Buah ini dapat diberikan kepada bayi berusia enam bulan ke atas. Ia boleh diberikan dalam bentuk bubur, dikukus lalu dikisar halus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 6:05 AM