MESKIPUN 2020 berteraskan warna kebebasan tetapi si pemakai perlu bijak menyesuaikan dengan situasi acara. FOTO Mustaffa Kamal
Hafiz Ithnin

FESYEN bergerak sangat pantas dan ia juga dilihat sebagai sesuatu yang subjektif untuk ditafsirkan.

Namun, bagi sesetengah individu terutama mereka yang berada di dalam industri berkenaan, sudah semestinya perlu peka kepada persekitaran dunia itu.

Dunia fesyen juga tidak lari kepada permainan warna kerana ia mampu memberi makna besar kepada penampilan si pemakainya.

Apatah lagi, setiap tahun pasti ada rona baharu diunjurkan pakar yang bakal menjadi ‘colour of the year.’

Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam, Faizal Hamid berkata, institusi pakar warna antarabangsa, Pantone Color Institute menjangkakan tahun ini biru klasik dijangka menjadi perhatian dalam dunia fesyen antarabangsa berbanding rona karang yang dipilih pada tahun lalu.

Katanya, setiap warna yang dipilih sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan isu semasa dunia seperti hubungan jantina, perubahan iklim dan isu sosial.

“Memandangkan 2020 menjadi era baharu kepada masyarakat dunia, rona biru klasik yang dilihat tenang turut mencerminkan mengenai hubungan, jaringan dan kebebasan yang baik kepada individu.

“Bagaimanapun, menerusi pemerhatian saya, sepanjang tahun ini dijangkakan ada tujuh warna yang bakal ditonjolkan kebanyakan pereka fesyen tempatan untuk diperagakan di pentas peragaan dan dijual kepada pasaran,” katanya.

Tujuh warna itu ialah merah menyala, warna denim yang pudar, hijau kebiruan, karang merah jambu, jingga kekuningan (safron), hijau gelap dan putih.

GABUNGAN warna hijau gelap dan jingga dilihat mampu menghasilkan gaya yang mewah kepada si pemakai. FOTO Saifullizan Tamadi

Faizal menjelaskan, setiap warna yang diunjurkannya turut bersandarkan kepada persekitaran semasa tempatan terutama membabitkan aspirasi 2020 mencerminkan kepada kemajuan.

“Contohnya, merah menyala membawa aura keberanian dalam menonjolkan cita rasa kerana sesetengah si pemakai lebih tampak menyerlah dengan warna itu.

“Selain itu, warna hijau gelap yang mencerminkan mewah sekali gus mampu menampilkan sesuatu yang elegan kepada sesetengah pemakai.

“Manakala, putih pula yang sering dikaitkan dengan keselesaan apabila berdepan dengan cuaca panas turut menonjolkan sesuatu yang ringkas dan kemas,” katanya.

KEYAKINAN dan keselesaan si pemakai sesuatu warna dan busana lebih penting dalam berfesyen. FOTO Hazreen Mohamad

Bagaimanapun, Faizal menegaskan setiap warna yang diunjurkan tidak semestinya sesuai kepada semua individu kerana ia bergantung kepada keselesaan, keberanian dan situasi si pemakai itu sendiri.

Namun, beliau juga berpendapat, memasuki tahun 2020 yang penuh dengan aspirasi, mencipta elemen warna baharu yang tidak klise atau sinonim dengan sesuatu individu dilihat lebih menarik dan mampu mencuri perhatian.

“Misalnya, sebelum ini kita hanya sinonim dengan menonjolkan rona lembut atau putih kosong, mengapa tidak menukar sesuatu penampilan yang tampak berbeza? Warna baharu yang ditonjolkan mampu mencerminkan identiti seseorang itu secara tidak langsung.

“Namun, perkara paling utama ialah selesa untuk memakainya dan tidak kekok untuk berdepan dengan khalayak disebabkan hanya menukar sesuatu warna yang sebelum ini bukan menjadi kelaziman untuk digayakan,” katanya.

WARNA merah menyala melambangkan keberanian si pemakai. FOTO Mustaffa Kamal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 7:00 AM