KAK Yong ketika menyampaikan bantuan serta bertanya khabar kepada penduduk di sebuah pulau di Tumpat. FOTO Ihsan Faizah Qemerzaman
Muhamaad Razis Ismail

USIANYA sudah mencecah 51 tahun namun wanita ini tetap aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan membantu insan memerlukan sejak 24 tahun lalu di sekitar daerah Tumpat, Kelantan.

Nama Faizah Qemerzaman atau lebih dikenali sebagai Kak Yong cukup disegani dalam kalangan penduduk setempat kerana tidak pernah duduk diam dalam membantu mereka yang kesusahan di daerah ini. Perkhidmatan sukarelawan selama 24 jam yang dijalankan tidak dihadkan pada golongan tertentu sahaja.

Semua lapisan masyarakat termasuk anak yatim piatu, ibu tunggal, anak daripada keluarga bermasalah dan penghidap HIV akan dibantu.

Antara usaha dilakukan termasuk mendapatkan bantuan persekolahan, menyelesaikan masalah keluarga dan mendapatkan peruntukan untuk membaiki rumah.

Bukan itu sahaja, kediamannya yang dinamakan Villa Raudhah di Kampung Pasir Pekan dijadikan sebagai lokasi berkumpul untuk menjalankan pelbagai aktiviti bersama kanak-kanak dan remaja berdepan pelbagai masalah selain menjadi pusat sehenti untuk mengambil barang keperluan.

Lebih mesra dengan panggilan Umi, semua kanak-kanak dan remaja yang berada di bawah kelolaannya dipanggil sebagai anak prihatin.

PELAJAR sekolah mencuba kasut baru. FOTO Ihsan Faizah Qemerzaman

Dia juga menjaga seorang anak angkat menghidap penyakit Cerebral Palsy (CP) Muhamad Firdaus, 8, yang dijaga sejak kecil untuk membantu seorang ibu tunggal dalam kesusahan.

Hujung tahun lalu juga, Faizah sibuk membantu menyediakan pelbagai barang keperluan persekolahan untuk pelajar di bawah kelolaannya yang memulakan sesi persekolahan pada awal bulan ini.

Lebih mengejutkan, semuanya digerakkan sendirian tanpa bernaung di bawah mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) dengan dibantu beberapa individu yang mempunyai semangat sama. Bagi aktivis masyarakat itu, kerja sukarelawan ini sudah sebati dengan jiwanya sejak daripada kecil.

Katanya, dia sudah menanam cita-cita sejak kecil untuk menjadi seorang aktivis supaya dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Sejak kecil juga saya sudah hidup yatim piatu dan tinggal bersama moyang. Saya sudah terbiasa hidup susah dan terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan sekolah.

“Hasil daripada didikan sejak kecil itu saya cukup memahami bagaimana hidup dalam kesusahan.

“Oleh itu saya mengambil inisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan. Semua saya buat termasuk menampung perbelanjaan persekolahan asnaf, baiki rumah usang dan menyelesaikan masalah tidak memiliki sijil kelahiran,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Katanya, inisiatif ini dijalankan kerana rasa tanggungjawab yang perlu dipikul untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Dalam kalangan masyarakat, ramai yang mahu menjadi penonton daripada tampil membantu sedangkan ramai di luar sana dalam kesusahan namun pihak berkaitan tidak memainkan peranan sebaiknya.

“Malah ada dalam kalangan mereka terutama kanak-kanak menjadi mangsa cacian masyarakat kerana kesalahan dilakukan ibu bapa mereka.

“Dari situ tekad melakukan sesuatu untuk bantu mereka tanpa kerenah birokrasi, kerana anak-anak ini adalah aset negara yang tidak wajar diabaikan,” katanya.

AKTIVIS wanita ini tidak pernah mengenal erti lelah. FOTO Ihsan Faizah Qemerzaman

Malah dia bersyukur biarpun tidak bernaung di bawah mana-mana NGO, namun masih mampu dapat menjalankan kerja sukarelawan dengan bantuan banyak pihak.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerja sukarelawan yang dijalankan sentiasa dipermudahkan dan tidak berdepan banyak halangan besar.

“Mana tidaknya setiap kali saya memerlukan bantuan, ada sahaja individu yang dikenali dan tidak dikenali dari dalam serta luar negara tampil menghulurkan sumbangan. Kadangkala apabila bantuan segera diperlukan, saya jual barang kemas sedia ada,” katanya.

Faizah berkata, suaminya Zamzuri Ishak, 47, dan dua anaknya sentiasa memberi sokongan penuh terhadap kerja kemasyarakatan yang dijalankan.

“Mereka memberi semangat dan kekuatan kepada saya untuk meneruskan kerja kebajikan ini. Malah mereka juga turut terbabit secara tidak langsung membantu melancarkan aktiviti sukarelawan yang dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 7:00 AM