SEBAHAGIAN daripada pelajar yang terbabit kempen kesedaran kosmetik.
Fazurawati Che Lah

LAMBAKAN kosmetik tiruan di pasaran menarik perhatian sekumpulan mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor membincangkan topik berkenaan dalam usaha memberi pendedahan mengenai kesan produk itu.

Kempen Kesedaran Penggunaan Kosmetik dengan slogan Katakan Tidak Kepada Produk Kosmetik Tiruan! dijalankan 21 pelajar turut menampilkan beberapa pensyarah bagi membincangkan topik itu dengan lebih terperinci.

Menurut pensyarah daripada Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Yang Farina Abdul Aziz, kempen ini adalah inisiatif bagi memberi penerangan mengenai bahan terlarang di dalam sesuatu produk kosmetik yang boleh memudaratkan kulit dan organ dalaman.

Dia yang juga Ahli Lembaga Institut Kimia Malaysia berkata, terdapat dua bahan kimia yang membahayakan iaitu hydrokuinon dan merkuri.

“Jika sesuatu produk itu mengandungi dua bahan berkenaan boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk dan membahayakan.

“Dalam jangka panjang, penggunaan produk kosmetik yang mengandungi bahan kimia itu menyebabkan kulit lebih nipis, kemerahan dan seterusnya akan mengakibatkan kanser kulit,” katanya.

Katanya, produk yang mengandungi bahan berbahaya itu tidak akan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk dipasarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 7:30 AM