PUTERI Norafiah membantu mengagihkan makanan kepada pelarian, Misi Musim Sejuk 7.0 Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM).
Fairul Asmaini Mohd Pilus

JIKA diberi pilihan antara kepuasan diri dan gaji lumayan, pasti ramai memilih ganjaran dan tidak sanggup berkorban semata-mata untuk memenuhi keinginan serta ketenangan hati.

Namun ia berbeza bagi Puteri Norafiah Sulaiman, personaliti WM kali ini yang sanggup melepaskan jawatan dan gaji besar di syarikat swasta demi menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu sesama insan.

Kerjaya wanita berusia 32 tahun dari Puchong, Selangor itu kini berubah 360 darjah kerana sebelum ini dia adalah ‘fashion buyer’ dengan pelbagai jenama antarabangsa terkenal dan berada dalam industri peruncitan hampir lapan tahun.

Kata Puteri Norafiah, kerjayanya sebelum ini sesuai dengan jurusan teknologi tekstil yang dipelajarinya ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Katanya, ketika itu dia juga belum bertudung dan kehidupannya lebih terarah kepada dunia glamor aliran fesyen terkini selain sentiasa berada dalam tekanan.

“Namun, empat tahun lalu hati tergerak untuk keluar daripada bidang itu kerana memikirkan sampai bila perlu memikirkan keuntungan untuk syarikat semata-mata sedangkan hati sendiri sudah tidak tenteram.

BERSAMA sukarelawan yang terbabit dalam misi Musim Sejuk 7.0 CSM, baru-baru ini.

“Saya cuba istiqomah dan mengambil keputusan untuk ‘berhijrah’. Pada masa sama saya juga mula memilih rakan yang benar-benar membawa ke arah kebaikan selain bertekad meninggalkan dunia fesyen yang selama ini sebati dalam diri,” katanya di ibu pejabat Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM) di Bangi, baru-baru ini.

Menurut Puteri Norafiah, ketika itu dia juga tertarik dengan personaliti selebriti terkenal, Mizz Nina yang turut berhijrah dan kini aktif menabur bakti dengan pelbagai misi kemanusiaan.

Katanya, apa yang dilakukan Mizz Nina membuka matanya mengenai erti pengorbanan kerana tidak ramai yang sanggup bersusah payah berkunjung ke negara bergolak untuk menyampaikan bantuan kepada saudara Islam yang memerlukan.

“Saya tertarik melihat misi kemanusiaan serta aktiviti sukarelawan yang beliau sertai dan terlintas di fikiran mengenai keseronokan sama yang akan saya rasai jika menyertai NGO.

“Perasaan gembira dapat membantu golongan memerlukan itu sukar untuk diterjemahkan dan ketika itu saya berdoa supaya mendapat kerja yang dapat melapangkan dada,” katanya.

Bertitik tolak dari itu Puteri Norafiah mula meninjau peluang pekerjaan yang lebih dekat dengan program sukarelawan dan segera memohon sebaik sahaja mendapat tahu mengenai peluang pekerjaan di NGO itu pada September 2018.

Katanya, dia sedar gaji yang bakal diterima kelak jauh berbeza daripada pendapatan bulanannya sebelum itu namun demi mahukan perubahan yang lebih baik dalam hidup, dia membulatkan tekad dan keputusan itu turut disokong ibu bapanya.

BERBINCANG bersama pasukan sebelum melakukan sesuatu misi kemanusiaan. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Saya bermula sebagai koordinator projek dan Alhamdulillah, walaupun pendapatan tidak semewah dahulu namun ia tetap mencukupi.

“Masa untuk bersuka ria bagi saya sudah berlalu kerana selepas menginjak usia 30 tahun, fikiran kita sepatutnya sudah matang dan tidak lagi mengejar keduniaan.

“Kerana akhirnya apa yang penting adalah hidup dalam keberkatan selain mengumpul bekalan secukupnya untuk dunia akhirat sana,” katanya.

Dalam pada itu, anak sulung daripada empat beradik itu mengakui, selepas terbabit dengan NGO dan pelbagai aktiviti sukarelawan, jiwanya lebih tenang dan selain mempunyai lebih banyak masa untuk keluarga.

Puteri Norafiah kini menjawat jawatan sebagai ketua jabatan projek dan pengumpulan dana CSM dan menjadi individu yang bertanggungjawab mengumpul dana untuk Misi Bantuan Musim Sejuk 7.0 NGO itu ke Syria, Lubnan dan Turki, baru-baru ini.

Lebih menarik, ketika artikel ini ditulis, dia baharu sahaja pulang ke tanah air selepas hampir dua minggu berada di negara berkenaan untuk menyampaikan pelbagai bantuan di beberapa kem pelarian.

Kata Puteri Norafiah, tiada yang lebih bermakna selain melihat senyuman mangsa pelarian ketika menerima bantuan daripada rakyat Malaysia yang disampaikan menerusi pihaknya.

“Pengalaman menyertai misi seperti Misi Ramadan dan Misi Musim Sejuk jelas membuka mata supaya lebih bersyukur dan menghargai apa yang dimiliki.

“Melihat kesengsaraan mangsa perang yang terpaksa menjadi pelarian di negara bergolak seperti Syria cukup menginsafkan.

“Saya berdoa supaya diberikan kesihatan yang baik untuk terus aktif dalam bidang sukarelawan bagi membantu lebih ramai insan yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 7:30 AM