BERCITA-CITA untuk menjadi juara dunia.
Hafiz Ithnin


Wajahnya yang sedikit ‘boyish’ ditatarias jurusolek profesional, Vie Xenddra nyata mengubah 180 darjah penampilan pemilik nama Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa, atlet paragliding negara yang sudah lima tahun terjun ke dunia sukan lasak itu.

Bukan mudah sebenarnya untuk meminta beliau yang lebih mesra disapa Nadiah untuk beraksi ‘lembut’ di hadapan lensa kamera kerana amat jarang sekali diberi peluang untuk menjadi penghias muka hadapan sesebuah penerbitan.

Lengkap berkebaya dan mekap sarat khas untuk paparan bahagian depan WM, ternyata sisi anggunnya terserlah walaupun begitu sinonim dengan aktiviti sukan lasak yang jarang disertai golongan hawa.

Bertanyakan mengenai permulaannya menyertai sukan paragliding, Sharifah Nadiah berkata, pada 2015 menjadi titik tolak beliau menyertai sukan itu secara serius yang pada mulanya hanya mencuba secara rekreasi.

“Apabila sudah timbul rasa minat untuk lebih serius saya terus berjumpa jurulatih profesional paragliding dari Indonesia, Andika Mountnear. Saya maklumkan yang saya ingin menjadi juara dunia.

“Dia agak terkejut dengan kenyataan itu. Namun, dia tidak menolak impian saya. Perkara lebih penting ialah dia perlukan saya memberikan komitmen sepenuhnya untuk bergelar atlet paragliding,” katanya yang menyasarkan 10,000 terjunan.

FAKTOR jantina bukan penghalang Sharifah Nadiah menjadi atlet sukan lasak.

Sharifah Nadiah berkata, tidak mudah untuk dia memulakan perjalanan hidup sebagai atlit paragliding negara. Rumah dijual dan kerjaya dalam bidang seni bina ditinggalkan demi mencapai cita-cita itu.

“Bukan mudah untuk serius dalam bidang ini kerana ia membabitkan kos yang tinggi untuk latihan dan lebih penting saya perlu berulang-alik dari ibu negara ke Indonesia untuk sesi latihan intensif.

“Namun, segala-galanya berbaloi hanya kurang setahun saya menjalani latihan, dalam kejohanan pertama yang disertai iaitu Jugra International Paragliding Accuracy Championship (JIPAC) pada 2016, saya berada di kedudukan kedua dan markah amat menghampiri juara wanita dunia, Jessica Goh dari Singapura,” katanya.

Memasang cita-cita untuk menjadi juara dunia dalam kejohanan Fai World Games 2022 di Turki, Sharifah Nadiah kini mampu tersenyum puas apabila syarikat penerbangan, Malaysia Airlines menjadi penajanya.

Menjentik soalan tidakkah pernah ‘diserang’ aura negatif mengenai pembabitannya sebagai wanita di dalam sukan itu? Dia hanya tersenyum dan mengangguk tanda mengiakan.

“Bagi saya perkara itu bukan sesuatu yang mematahkan semangat. Tidak perlu berkira mengenai soal jantina, tetapi kita perlu mengukur kemampuan masing-masing berdasarkan usaha dan bakat.

DALAM tempoh lima tahun Sharifah Nadiah berjaya merangkul pelbagai kejayaan di arena paragliding antarabangsa.

“Saya juga pernah menyertai kejohanan terbuka yang membabitkan bukan sahaja peserta wanita, tetapi lelaki. Seperti saya katakan sukan paragliding adalah membabitkan keupayaan seseorang itu mengawal terjunan secara teknikal. Perkara itu yang menjadikan kita perlu kerap berlatih dan berusaha lebih,” katanya yang kadangkala perlu berada pada ketinggian 3,000 meter di udara.

Meskipun tidak berjaya menghadiahkan sebarang pingat dalam kejohanan sukan Asean 2018 untuk Malaysia akibat kecederaan, Sharifah Nadiah tidak putus semangat, malah terus memastikan tahap fizikal dan mentalnya bersedia untuk sebarang kejohanan pada masa depan.

Tidak sekadar itu, beliau juga kerap menerima undangan pelbagai pihak untuk berkongsi pengalaman sebagai atlet wanita paragliding kepada golongan hawa di dalam dan luar negara.

“Saya juga pernah mendapat jemputan untuk menjadi panel membincangkan topik mengenai memperkasakan wanita di Itali pada 2018 dan mereka agak terkejut kerana Malaysia mempunyai atlet dalam sukan ini.

“Malah, saya juga sentiasa mempromosikan sukan paragliding kepada pelajar wanita di Malaysia supaya mereka minat menyertai aktiviti ini memandangkan kita tidak mempunyai bakat yang ramai berbanding negara jiran yang lain,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:30 AM