DR Imi Sairi menunjukkan statistik kanser.
DR Imi Sairi menunjukkan statistik kanser.
Muhamaad Razis Ismail

BERDASARKAN perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 70 peratus penduduk negara berpendapatan rendah dan sederhana terdedah pada risiko kanser dengan peningkatan 60 peratus dalam tempoh 20 tahun.

Statistik Kementerian Kesihatan mendapati, satu daripada empat penduduk berisiko menghidap kanser pada usia 75 tahun, sekali gus menjadikan kanser punca kedua tertinggi kematian negara ini.

Kanser payudara antara penyakit yang kerap berlaku di negara ini diikuti kanser kolon. Malah, kanser payudara menduduki carta teratas penyebab kematian kanser dalam kalangan wanita.

Di Malaysia, dianggarkan 27 wanita daripada setiap 100,000 penduduk mengalami kanser payudara berbanding 18 wanita daripada setiap 100,000 penduduk mengalami kanser pangkal rahim (penyebab kedua kanser yang sering berlaku dalam kalangan wanita).

PROGRAM kesedaran kanser payudara.
PROGRAM kesedaran kanser payudara.

Lebih mengejutkan Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan Dr Imi Sairi Ab Hadi mendedahkan sebanyak 54 peratus pesakit kanser payudara di negeri ini hanya merujuk hospital ketika berada pada tahap tiga dan empat.

Dr Imi Sairi berkata, wanita di negeri ini takut untuk menjalani ujian saringan dan tidak mengendahkan saranan untuk membuat pemeriksaan awal.

Katanya, antara punca situasi itu berlaku berikutan percaya dengan rawatan alternatif termasuk khidmat bomoh termasuk sanggup ke negara jiran.

“Mereka memilih untuk menjalani rawatan alternatif atau bomoh yang kononnya tidak menyakitkan dan terpengaruh dengan janji manis kononnya dapat merawat sehingga sembuh.

“Situasi ini menyebabkan mereka lambat mendapatkan rawatan di hospital dan hanya selepas keadaan sudah benar-benar teruk baru mereka rujuk ke hospital.

“Apabila sudah berada di peringkat ini, risiko penyakit itu lebih tinggi termasuk kanser sudah merebak dan menjadi lebih serius,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurutnya, kebanyakan pesakit juga cenderung mempercayai mitos tertentu sehingga takut mendapatkan rawatan di hospital.

“Ada dalam kalangan mereka yang takut jalani mamografi yang kononnya agak menyakitkan, takut kehilangan payudara selepas pembedahan dan suami akan lari mencari isteri baru.

“Malah, ada juga yang percaya apabila kanser itu terkena benda tajam, penyakit itu akan merebak dengan lebih teruk dan terpengaruh dengan dakwaan bahawa kemoterapi merosakkan semua sel dalam badan dan menyebabkan kematiannya.

“Pandangan ini kebiasaannya diberikan oleh ahli keluarga dan rakannya sehingga mereka sanggup menahan sakit daripada mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

DR Imi Sairi bertemu pesakit kanser payudara.
DR Imi Sairi bertemu pesakit kanser payudara.

Dr Imi Sairi berkata, tahap kesedaran dalam masyarakat di negeri ini masih rendah terhadap rawatan penyakit kanser.

“Hentikan kepercayaan kepada bomoh atau rawatan alternatif kerana mereka hanya ingin mengaut keuntungan dengan cepat atas kesengsaraan orang lain.

“Malah, ramai juga dalam kalangan ‘bomoh’ itu sendiri yang menghidap penyakit kanser payudara dan datang berjumpa saya bagi mendapatkan rawatan terbaik di hospital,” katanya.

Katanya, pihaknya menganjurkan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran terhadap masyarakat mengenai kanser payudara.

“Kami mengadakan pelbagai kempen kesedaran secara berkala di semua hospital di negeri ini bagi memberi maklumat terkini berkenaan kanser payudara dan rawatan seterusnya.

“Kami juga mengadakan pusat sehenti pusat payudara pada setiap Ahad di mana setiap pesakit disyaki menghidap kanser payudara akan menjalani semua penyiasatan penyakit pada masa sama termasuk sesi konsultasi oleh pakar perunding, ultrasound, mamografi dan pengambilan sample biopsy,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 7:00 AM