KEMBUNG perut boleh menyebabkan bayi merengek panjang.
KEMBUNG perut boleh menyebabkan bayi merengek panjang.
Oleh Nurul Husna Mahmud


RASA kembung seperti ada angin dalam perut bukan sesuatu yang selesa kerana mengundang rasa senak hingga sukar bernafas.

Biasanya ia dikaitkan dengan masalah penghadaman dan pengambilan ubat mahupun makan bahan alami herba.

Bagi orang dewasa, pengalaman kembung perut cukup memeritkan bagaimana situasinya dengan bayi yang rata-ratanya mengalami masalah sama?

Bayi yang berdepan masalah ini biasanya ketika berusia antara dua minggu hingga enam bulan, kadangkala boleh berlarutan sehingga dua tahun atas faktor tertentu.

Reaksi bayi yang mengalami masalah kembung perut biasanya akan menangis atau merengek panjang dan enggan menyusu.

Untuk itu, ibu bapa boleh jalankan saringan untuk mengenal pasti masalah berkenaan dengan memeriksa perut bayi. Cara lain ialah dengan menepuk lembut dan biasanya akan kedengaran seperti bunyi ‘lompong.’

Perlu dipastikan sama ada bayi kembung biasa, jika disusuli dengan demam dan cirit-birit atau najis keras, ia perlu dirujuk terus kepada doktor.

Meskipun masalah ini biasa, ibu bapa perlu memahami bayi masih kecil amat sensitif kerana sistem penghadaman belum matang selain faktor kesan sampingan hormon dalam susu ibu dan pengambilan susu berlebihan atau tidak sesuai.

SUSU tidak sesuai mengundang masalah kembung bayi.
SUSU tidak sesuai mengundang masalah kembung bayi.

Andai ini berlaku, terdapat petua boleh diamalkan untuk membantu bayi anda:

1. Senaman ringan seperti telentangkan bayi dan gerakkan kaki ke depan dan belakang seperti gerakan kaki sedang mengayuh basikal boleh mengurangkan angin. Namun perlu pastikan lutut rapat dengan perut.

2. Tuam perlahan-lahan dengan tuam bayi khas atau gunakan kain dipanaskan pada suhu suam lalu tuamkan di bahagian perut sehingga bahagian ari-ari. Lakukan secara beransur-ansur sehingga kembung berkurangan.

3. Ambil minyak telon atau minyak angin khas untuk bayi dan usap lembut daripada dada menurun ke bawah. Selain urut lembut secara memusing untuk menenangkan bayi.

URUTAN bantu menangani masalah kembung.
URUTAN bantu menangani masalah kembung.

4. Gunakan sirih dengan cara layurkan dua hingga tiga helai disisipkan pada barut untuk dibalut pada perut bayi. Petua ini sesuai untuk bayi enam bulan dan ke atas.

5. Pangku dengan keadaan bayi itu duduk selain kepalanya tegak. Kemudian tepuk lembut pada bahagian belakang sehingga bayi sendawa atau lega.

6. Tiarapkan bayi dengan kedudukan perutnya di atas lutut. Kemudian urut lembut belakang bayi

sehingga dia berasa relaks dan sendawa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:00 AM