PENYELIDIK Sime Darby (dari kiri) Dr Sukganah, Dr Teh Huey Fang, Julia Ibrahim dan Dr Lim Ching Ming. FOTO Saifullizan Tamadi
Muhamaad Razis Ismail


WANITA juga memainkan peranan yang penting dan turut diberi peluang untuk menyumbang kepada kemajuan sains serta teknologi dengan penghasilan pelbagai inovasi.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), terdapat kira-kira 30 peratus penyelidik di seluruh dunia terdiri daripada wanita.

Di Sime Darby Plantation dianggarkan terdapat 140 saintis di seluruh Malaysia dengan 52 peratus yang terbabit dalam pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) adalah wanita.

Salah seorang daripada mereka adalah Pengurus Makmal Pembiakan Molekular, Dr Sukganah Apparow yang cukup disegani dalam bidang penyelidikan di dalam dan luar negara.

Antara projek besar yang dijalankan adalah berjaya menghasilkan benih sawit Genom Terpilih yang mampu mengeluarkan minyak lebih banyak tanpa perlu meningkatkan keluasan tanah.

Menerusi projek ini, Sime Darby menjadi syarikat pertama di negara ini menerima pingat gangsa dalam Anugerah Edison 2017 di New York, Amerika Syarikat.

SEBAHAGIAN penyelidik Sime Darby sedang menjalankan kajian. FOTO Saifullizan Tamadi

Menceritakan pembabitannya dalam bidang penyelidikan, Dr Sukganah bersyukur kerana ketika sedang menulis tesis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2010, dia menerima tawaran temu duga oleh Sime Darby.

“Selepas tiga bulan, saya mendapat tawaran untuk bekerja dengan Sime Darby sebagai Pengurus Makmal Pembiakan Molekular sehingga kini.

“Antara projek besar yang saya jalankan adalah Genom Terpilih yang mampu menghasilkan 15 peratus minyak lebih banyak daripada pokok kelapa sawit biasa sekali gus mengurangkan penggunaan tanah dan pembukaan hutan untuk penanaman pokok kelapa sawit.

“Selain itu, kita berjaya membuka makmal DNA antara yang tercanggih di Asia pada 2015,” katanya ketika ditemui di Pusat Teknologi Sime Darby Plantation Sdn Bhd di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Menurutnya, untuk menjadi seorang penyelidik wanita yang baik, seseorang itu memerlukan semangat dan kesabaran yang tinggi.

“Perkara ini bukan membabitkan jantina, tidak kira lelaki atau wanita, untuk terbabit dalam bidang penyelidikan memerlukan dua sikap ini bagi membantu mencapai kejayaan dan minat sahaja tidak cukup.

DR Lim Ching Ming (kiri) berada di kilang bersama pekerja. FOTO Saifullizan Tamadi

“Sebab kita perlu faham kerja di makmal ini menuntut kesabaran yang tinggi kerana bukan semua eksperimen yang dijalankan memberikan hasil pada hari sama. Kadangkala memakan masa yang sangat lama.

“Kita juga akan lakukan perkara sama secara berulang-ulang kali sehingga menyebabkan seseorang itu cepat bosan. Tidak pelik apabila ramai dalam kalangan rakan saya beralih arah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan individu terutama wanita yang ingin terbabit dalam bidang ini supaya lebih fokus dengan perkara yang ingin dilakukan.

“Mereka perlu rasai dulu bagaimana kerja di makmal kemudian kalau rasa sesuai saya galakkan teruskan sehingga ijazah Doktor Falsafah (PhD) kerana ia banyak membantu apabila bekerja kelak,” katanya.

Perkara sama diakui Pengurus Bahagian Industri Mikrobiologi, Julia Ibrahim yang bersyukur apabila diberi peluang menjadi sebagai sebahagian pasukan penyelidik di Sime Darby.

“10 tahun dahulu perlu diakui terutama dalam bidang teknologi dan penyelidikan, negara ini kurang peluang pekerjaan. Ramai rakan terpaksa mencari bidang lain untuk bekerja.

DR Lim Ching Ming (kiri) memeriksa sampel. FOTO Saifullizan Tamadi

“Di sini sememangnya syarikat memberi sokongan penuh tanpa mengira perbezaan jantina,” katanya.

Bagi Pengurus Bahagian Industri Kimia Dr Teh Huey Fang, tugasnya turut memerlu

kannya turun ke kilang dan ladang kelapa sawit untuk mengambil sampel.

“Sebagai penyelidik, bukan sepenuh masa kami berada di makmal dan kami perlu turut ke ‘site’ untuk membuat kajian serta mengambil sampel di sana.

“Di sini kepakaran pekerja ladang yang majoritinya terdiri daripada lelaki banyak membantu kerana mereka berpengalaman dalam bidang mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Industri Bioteknologi Dr Lim Chin Ming berpendapat cabaran sebagai wanita dalam bidang ini ialah pembahagian masa antara keluarga dan pekerjaan.

“Tambahan pula, sekarang saya perlu menjaga anak sulung yang menghadapi autisme.

Berdepan kekangan kerja, membuatkan saya perlu bijak membahagikan masa untuk mengelakkan pekerjaan terganggu.

“Saya sangat bersyukur majikan dan rakan sekerja sangat memahami perkara ini selain sentiasa membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:00 AM