Dr Aisyah menjadikan gimnasium sebagai rumah kedua untuk stamina, bentuk fizikal terbaik. FOTO Rohanis Syukri
Dr Aisyah menjadikan gimnasium sebagai rumah kedua untuk stamina, bentuk fizikal terbaik. FOTO Rohanis Syukri
Hafiz Ithnin


BUKAN sukar mendapatkan gaya terbaik si empunya nama Dr Aisyah Asmadi untuk sesi fotografi bagi ruangan fokus Wanita Metro (WM) kali ini.

Mana tidaknya, mempunyai latar belakang sebagai atlet bina raga antarabangsa cukup mudah untuknya memberikan pelbagai sisi terbaik di hadapan lensa kamera yang dikendalikan jurufoto kami.

Apatah lagi diberi peluang menyarung antara koleksi terbaik pereka fesyen muda terkemuka Wan & Mary dan wajahnya ditata rias jurusolek profesional, Aya Ali dilihat begitu padan dalam konsep yang ingin diketengahkan pagi itu.

Dalam tempoh tiga jam pertama untuk menghasilkan solekan, dandanan dan sesi fotografi tidak sedikit pun doktor perubatan itu menunjukkan sisi bahawa dia adalah bekas pesakit barah payudara.

Hanya wajah ceria dan keberanian diberikan kepada kami. Namun, ketika mula bertemu empat mata dalam sesi temu bual bersama penulis, sedikit demi sedikit kisahnya digali sehingga wajah yang ceria sebentar tadi bertukar sebaliknya.

Bukan ingin mewujudkan suasana hiba tetapi sekurang-kurangnya secara dekat penulis dapat memahami serba sedikit cabaran kehidupannya yang penuh warna warni, bermula sebagai pelajar perubatan, disahkan menghidap barah payu dara pada usia 21 tahun, mencipta nama sebagai atlet bina raga antarabangsa. Kini memberi inspirasi kepada ramai wanita yang menghidap penyakit itu untuk terus bersemangat melawan barah.

KOMITED dalam latihan menjadikan Dr Aisyah sebagai atlet bina raga berjaya. FOTO Ihsan Dr Aisyah Asmadi
KOMITED dalam latihan menjadikan Dr Aisyah sebagai atlet bina raga berjaya. FOTO Ihsan Dr Aisyah Asmadi

Antara yang masih terngiang-ngiang di fikiran penulis ketika artikel ini ditulis adalah ‘orang jangan ingat doktor adalah adiwira. Tidak lut kepada penyakit dan tidak perlu sokongan apabila dia sendiri menjadi pesakit.’

“Kelebihan saya ialah cuma memahami mengenai rawatan dan ubat. Selebihnya saya seperti pesakit barah yang lain, yang mulanya merasakan masa depan masih samar. Namun, ia bukan penamat untuk segalanya!,” katanya lembut tetapi tegas.

Tahun ini Dr Aisyah menginjak usia 36 tahun. Dua kali disahkan menghidap barah payu dara iaitu masing-masing pada 2006 di bahagian kiri ketika dia berusia 21 tahun dan 2011 di bahagian kanan ketika dia berusia 26 tahun.

Selepas disahkan buat kali kedua, dia perlu menjalani rawatan selama setahun dan keadaannya beransur pulih. Bagaimanapun, pada 2013, ketika membuat pemeriksaan seperti biasa, dia dinasihatkan doktor untuk membuang kedua-dua payu dara walaupun ketika itu tiada tanda-tanda barah kembali.

Doktor mengambil keputusan bahawa itu jalan terbaik untuk mengurangkan risiko mendapat semula penyakit berkenaan.

Katanya, enam bulan dia mengambil masa untuk memastikan keputusan yang dibuat itu tepat kerana pembedahan itu bukan tiket sebuah jaminan terselamat daripada menjadi pesakit barah kembali tetapi ia adalah langkah mengurangkan risiko sahaja.

MEMPUNYAI kerjaya sebagai doktor perubatan dan kini melanjutkan pengajian sarjana. FOTO: Ihsan Dr Aisyah Asmadi
MEMPUNYAI kerjaya sebagai doktor perubatan dan kini melanjutkan pengajian sarjana. FOTO: Ihsan Dr Aisyah Asmadi

“Kali pertama disahkan mempunyai barah payudara ketika itu saya masih pelajar yang bertungkus- lumus untuk berdepan dengan peperiksaan. Hanya Tuhan tahu situasi ketika itu.

“Kali kedua didiagnosis barah, saya sudah bekerja sebagai doktor perubatan di Sabah. Saya mengambil masa setahun untuk pulih. Dua tahun berikutnya, dinasihatkan untuk membuang kedua-dua bahagian tisu payudara yang menjadi identiti penting seorang wanita.

“Enam bulan saya berfikir dan akhirnya bersetuju untuk membuang payudara dengan syarat operasi pembedahan itu terus dilanjutkan dengan ‘membuat’ semula payu dara baharu kerana saya tidak mahu ‘bangun’ daripada pembedahan dengan keadaan tidak sempurna sebagai seorang wanita,” katanya.

Anak kedua daripada lima beradik itu yang kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam perubatan sukan di Universiti Malaya sememangnya wanita muda yang tabah apatah lagi, ketika menceritakan kisahnya bergelar atlet dalam bidang bina raga ditaja pelbagai syarikat antaranya Malaysia Airlines.

BERGELAR atlet bina raga membantunya menjalani gaya hidup yang sihat. FOTO Rohanis Syukri
BERGELAR atlet bina raga membantunya menjalani gaya hidup yang sihat. FOTO Rohanis Syukri

Malah anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga mengakui dia tidak pernah mengimpikan untuk menjadi atlet bina raga. Hanya permulaan sebagai pesakit barah yang ingin kembali cergas dengan mengunjungi gimnasium, tidak menyangka bakatnya dihidu jurulatih kecergasannya Zack Ermi Zulkifli.

Dari situ dia mula menjadikan gimnasium sebagai rumah kedua kerana aktiviti bina raga dilihat mampu menjadikannya lebih memahami kehendak tubuh badan yang mencakupi kekuatan mental dan membina stamina untuk menghasilkan bentuk fizikal terbaik.

Katanya, Women Physique and Fitness Men of Steel pada 2015, ia adalah kejohanan pertama disertainya dan tidak menyangka kemenangan itu menjadi permulaannya terus membina nama dalam pelbagai kejohanan di dalam negara dan antarabangsa.

MENDAPAT tajaan daripada Malaysia Airlines. FOTO Ihsan Dr Aisyah Asmadi
MENDAPAT tajaan daripada Malaysia Airlines. FOTO Ihsan Dr Aisyah Asmadi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe