Hafiz Ithnin


KEHADIRANNYA ke Balai Berita, NSTP di Jalan Riong Bangsar, Kuala Lumpur petang itu cukup ringkas. Hanya baju-T polos putih bersama jaket longgar berona hijau tua dipadan celana seakan palazzo.

Tas tangan jingga tergantung sempurna senada dengan gayanya petang itu seakan menjadi titik fokal pandangan bagi penulis yang gemar memerhati gaya bagi setiap wanita yang datang ke pejabat kami untuk sesi fotografi ruangan Wanita Metro (WM). Apatah lagi, jika dia penghias muka depan.

Dr Imelda Idzham yang di dalam dunia perniagaan menyediakan perkhidmatan perubatan bukan asing kerana beliau pemegang jawatan Pengarah Klinik Idzham Sdn Bhd.

Auranya sebagai wanita berkerjaya, isteri dan ibu moden cukup kuat jelas terserlah ketika sesi temu bual dengannya. Kadangkala ada juga soalan diajukan penulis untuk provokasi. Namun beliau cukup tenang dan senyuman tetap meniti di bibir sambil wajahnya ditata rias untuk sesi fotografi.

Antara yang ditanya penulis, ‘Dr anak kepada usahawan kenapa masih mahu bekerja sebagai doktor sedangkan boleh sahaja duduk santai melayan anak-anak sambil mengumpul koleksi tas tangan berjenama?’

“Dari kecil saya melihat bapa, Dr Idzham Ibrahim bekerja penuh komited untuk membuka klinik 24 jam yang kini ada 10 cawangan semuanya. Sebagai anak, saya tidak pernah melihat kejayaan bapa itu tiket untuk saya hidup bermewah-mewah.

SENTIASA menghargai usaha bapanya, Dr Idzham (dua dari kiri). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali & Ihsan Dr Imelda Idzham
SENTIASA menghargai usaha bapanya, Dr Idzham (dua dari kiri). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali & Ihsan Dr Imelda Idzham

“Orang lain mungkin tidak tahu sebenarnya bekerja dengan keluarga ini lebih mencabar kerana kita perlu pertahankan sesuatu yang dibina dan menghargai setiap nilai usaha yang dilakukan ahli keluarga sebelum ini,” kata pakar perubatan keluarga itu.

Pemegang ijazah perubatan dari Universiti Sheffield di England dan Felo di Royal Australian College of General Practitioners, Dr Imelda juga melihat bekerja dengan keluarga menjadikannya lebih berdisiplin kerana dia tidak pernah berasa dirinya ditatang sebagai ‘kakitangan emas’ di dalam syarikat.

“Saya masih perlu datang klinik dan pulang mengikut masa yang ditetapkan, menghadiri mesyuarat bagi memastikan bahagian operasi klinikal yang diterajui saya berjalan lancar dan masih perlu memohon cuti seperti kakitangan lain.

“Tiada istilah anak majikan boleh berbuat sesuka hati kerana kita perlu tahu setiap gerak-geri diperhatikan kakitangan lain dan jika memberikan contoh tidak baik, maka tidak akan ada orang menghormati cara kita bekerja kelak,” kata ibu empat anak itu.

Petang itu di dalam sesi fotografi, kami ‘menyarungkan’ Dr Imelda antara busana terbaru hasil sentuhan pereka fesyen muda tempatan, Nadd Hassan yang diberi nama ‘Down to Earth’ rona tanah dan berkonsepkan mewah sepadan dengan barisan kasut tinggi dan aksesori milik doktor pakar itu.

Ditanya mengenai menerajui kepemimpinan dalam syarikat yang didominasi kebanyakan doktor lelaki, beliau berkata, perkara itu bukan isu kerana di dalam bidang perubatan, kepakaran yang menjadi asas utama.

“Jangan letakkan jantina sebagai tanda aras untuk menilai kerana yang membezakan adalah prestasi kerja. Dalam bidang perubatan kita sentiasa memastikan tahap kepakaran dalam menguruskan pesakit dan perkara membabitkan klinikal itu yang akan ditekankan dan bukan jantina,” katanya.

Meskipun sibuk di dalam syarikat membantu bapanya, Dr Idzham yang masih gigih menerajui pengurusan kliniknya dan dibantu adiknya, Dr Irlanda yang menguruskan bahagian pengurusan syarikat, tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu tidak pernah diketepikan.

Katanya, jika berkesempatan dia akan mengambil dan menghantar anak-anaknya ke sekolah setiap hari kerana bagi Dr Imelda, di dalam kereta adalah waktu terbaik untuk berbual dengan mereka.

MEMPUNYAI rutin kerja yang padat memerlukan Dr Imelda bijak mengatur masa antara kerjaya dan keluarga. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali & Ihsan Dr Imelda Idzham
MEMPUNYAI rutin kerja yang padat memerlukan Dr Imelda bijak mengatur masa antara kerjaya dan keluarga. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali & Ihsan Dr Imelda Idzham

“Selain itu, setiap hari saya juga pastikan terdapat sekurang-kurangnya satu jam di mana semua anak saya perlu fokus untuk kita berbual bersama kerana dari situ saya dan suami, Rahim Raduan dapat mendekatkan diri dengan anak-anak dan berkongsi cerita harian dengan mereka,” katanya yang aktif dengan senaman yoga.

Bercerita mengenai fesyen beliau berkata, busana sentuhan pereka fesyen tempatan terus menjadi perhatiannya kerana dia percaya ketika ini ada ramai bakat tempatan yang setaraf dengan pereka antarabangsa.

“Tidak perlu semua koleksi dalam almari adalah sentuhan jenama antarabangsa kerana bagi saya asal ia berkualiti, cantik dan kena pada harganya mengapa tidak untuk menyokong produk dalam negara?” katanya.

Dr Imelda berkata, beliau turut berharap supaya wanita pada hari ini diberi peluang untuk bekerja dalam waktu kerja yang fleksibel terutama bagi mereka yang berkeluarga.

“Saya lihat wanita pada hari ini mempunyai kerjaya yang baik, tetapi dalam masa sama mereka juga tidak mahu mengetepikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Pastinya mereka tidak mahu meninggalkan impian untuk terus mencipta nama dalam kerjaya dan mampu menjalankan tanggungjawab kepada keluarga. Waktu kerja yang fleksibel amat membantu mereka untuk berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 7:00 AM