ANEEM Aida mahu berkembang dalam bidang solekan.
ANEEM Aida mahu berkembang dalam bidang solekan.
Nurul Husna Mahmud


MESKIPUN baru sahaja mengenali jurusolek sambilan Aneem Aida Abdul Rahim untuk berkongsi tip mengenai solekan, penulis terkesan dengan jiwanya yang besar di sebalik tubuh kerdilnya.

Aneem Aida yang menghidap Achondroplasia Dwarfism menyebabkan pertumbuhannya terbantut dengan ketinggiannya hanya 122 sentimeter (sm) tidak pernah rasa dia berbeza berbanding enam saudara yang lain.

Mengakui didikan orang tua yang melayannya sama rata seperti adik-beradik lain mengajar dia lebih berdikari. Aneem Aida tidak pernah berasa terasing atau berbeza.

Bayangkan ketika kunjungan penulis ke kediaman keluarga jurusolek itu bersama jurufoto Supian Ahmad, dia bersahaja mendendangkan lagu nyanyian artis ternama Celine Dion.

Ahli keluarganya memaklumkan, Aneem Aida sudah biasa menyanyi lagu untuk teman dan ahli keluarga. Malah, sejak zaman sekolah dia antara pelajar yang paling kerap tampil di atas pentas.

Kata Aneem Aida, dia tidak pernah beranggapan memiliki tubuh kerdil itu satu kekurangan, sebaliknya rasa sama sahaja seperti individu lain. Tidak pula berasa takut untuk berjalan di khalayak ramai atau bersosial dengan rakan sekerja apabila berkesempatan.

“Alhamdulillah Aneem boleh nikmati zaman sekolah, universiti dan sekarang ini alam pekerjaan dengan selesa dan positif. Mengenai masalah Achondroplasia Dwarfism dihadapi ini lebih kepada masalah fizikal bahagian bawah, tetapi tidak menjejaskan mental ataupun kapasiti sosial atau emosi lain.

ANEEM Aida mahu beri inspirasi kepada golongan senasib.
ANEEM Aida mahu beri inspirasi kepada golongan senasib.

“Malah, boleh dikatakan nasib Aneem lebih baik daripada rakan senasib yang mungkin menderita dan terlantar. Jadi, itu menjadi dorongan selain sentiasa berfikir mahu lakukan sesuatu kebaikan boleh ditinggalkan apabila sudah tiada nanti,” katanya.

Lebih menarik, gadis yang mempunyai keletah manja dan ceria ini suka membantu orang lain menjadi cantik sebagai satu kepuasan selain kerjaya hakikinya sebagai pereka grafik.

“Pembabitan saya didorong kakak, Amira Atfina yang juga pramugari, setiap hari tengok dia berdandan dan menjaga penampilan sebelum pergi kerja menarik minat ke arah seni solekan.

MAHU buktikan kelainan upaya bukan satu kekurangan.
MAHU buktikan kelainan upaya bukan satu kekurangan.

“Kecenderungan saya ialah seni, saya lihat solekan dan olesan daripada wajah kosong boleh berseri seperti ada ‘magis’ atau satu karya. Cuma medium kalau lukisan mungkin guna kanvas dan cat warna.

“Jika rekaan grafik perlukan perisian dan komputer. Bagi solekan pula alat seperti pembayang, bedak, gincu itu boleh merias daripada muka kusam berubah jelita. Jadi pada saya solekan ini sendiri mempunyai estetika tersendiri seperti bidang seni lain,” katanya.

KELUARGA memberi sokongan penuh.
KELUARGA memberi sokongan penuh.

Namun tidak menolak ada kalanya tidak boleh lari daripada prejudis apabila tubuhnya itu mengundang segelintir individu mempertikaikan kebolehannya.

“Sedangkan golongan seperti saya iaitu dikategorikan sebagai penyakit jarang ditemui ini masih boleh belajar, bekerja mahupun melakukan aktiviti harian seperti individu normal yang lain.

“Atas dasar itu juga saya gunakan kemahiran yang ada untuk ke hadapan. Sebelum ini saya lebih selesa kenakan solekan dalam kalangan keluarga dan teman rapat, kini saya cuba bersikap terbuka dengan mempromosi kepada orang awam.

SENTIASA kekal dengan imej positif.
SENTIASA kekal dengan imej positif.

“Tidak sangka ada pihak di luar menerima saya sebagai jurusolek dalam majlis penting mereka. Tetapi, ada juga yang mempersoalkan dan mempertikaikan kemahiran saya dalam merias wajah meskipun belum mencuba lagi kerana hanya menilai luaran.

“Saya hanya terus kekal positif dan melihat itu sebagai rencah masyarakat yang masih tidak memahami golongan istimewa seperti saya. Kalau ada yang bertanya saya akan cuba fahamkan dan andai ada memandang janggal, saya hanya lontarkan senyum dan menyapa,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Visual dan Seni Reka dari Kolej SEGi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe