Oleh Hafiz Ithnin


BUSANA merah milik pereka fesyen, Fyrose Zainuddin yang disarungnya ibarat menceritakan sebahagian kisah peribadinya. Berani dan kental. Dua frasa sesuai untuk wanita yang menjadi penghias muka depan Wanita Metro (WM) ini.

“Ketika berusia enam tahun saya dibesarkan ibu yang pada masa sama bergelar ibu tunggal dan kantin antara tempat saya mengenal dunia,” akui Nordiana Nuzuin Akmar Nordin, 31, ketika memulakan bicara.

Ibu muda kepada dua cahaya mata ini tidak sedikit pun menceritakan sisi buruk susuk tubuh sesiapa. Baginya, kisah perjalanan hidup manusia sudah tertulis. Perlu pandang ke hadapan dan jangan pernah meminta belas.

Tatkala wajah dihias jurumekap, suaminya, Amir Azfar Aznan setia menunggu sambil mengendong anak bongsunya, Ezra Hud yang berusia lapan bulan. Manakala, anak sulungnya, Malique Ali, 5, sudah ke sekolah pagi itu.

Penulis mengenali wanita itu yang senang disapa Awin menerusi seorang rakan sepejabat. Katanya, kisah Nordiana Nuzuin Akmar boleh memberi inspirasi kepada ramai wanita muda yang tidak hidup kerana populariti di atas platform media sosial semata-mata.

NORDIANA Nuzuin Akmar bersama keluarga kecilnya. FOTO Mustaffa Kamal & ihsan Nordiana Nuzuin Akmar Nordin
NORDIANA Nuzuin Akmar bersama keluarga kecilnya. FOTO Mustaffa Kamal & ihsan Nordiana Nuzuin Akmar Nordin

Perjalanan hidupnya dikongsi secara meluas di atas tiga siri buku. Catatan peribadi yang mendapat sambutan peminatnya sejak dia bergelar blogger.

Nordiana Nuzuin Akmar berkata, perwatakan setiap wanita itu dilihat terbentuk mengikut cara dibesarkan. Jika berteman emas sepanjang hidupnya maka mungkin perlu bertiti dahulu di atas batas bendang sebelum memijak lumpur.

Katanya, sejak ibu dan bapanya berpisah dia sudah biasa hidup berdikari. Mencari wang bersama-sama ibu untuk terus hidup sehingga mampu menggenggam segulung ijazah.

Namun, katanya ijazah itu bukan tiket kejayaan semata-mata. Jika tidak, hari ini pasti dia sudah bekerja makan gaji dan mempunyai majikan.

ANTARA sentuhan kreatif yang dihasilkan Nordiana Nuzuin Akmar. FOTO Mustaffa Kamal & ihsan Nordiana Nuzuin Akmar Nordin
ANTARA sentuhan kreatif yang dihasilkan Nordiana Nuzuin Akmar. FOTO Mustaffa Kamal & ihsan Nordiana Nuzuin Akmar Nordin

“Pelbagai kerja saya lakukan antaranya dalam bidang peruncitan, pengurusan acara dan kreatif. Saya juga pernah berkhidmat dengan sebuah syarikat milik kerajaan.

“Sebaik tamat pengajian di universiti saya mula merasa bosan kerana perlu ke pejabat, memakai ‘uniform.’ Perkara paling penting ialah ketika itu saya sudah berkahwin dan mempunyai anak. Pastinya keluarga menjadi keutamaan,” katanya.

Jelas Nordiana Nuzuin Akmar, ketika masih bekerja dia mendapati gaji yang diterima juga tidak berbaloi. Itu antara satu sebab dia meninggalkan kerjaya makan gaji.

“Bukan Amir Azfar tidak mampu menyara kami sekeluarga. Seperti dikatakan, saya sudah biasa hidup dengan bekerja sejak kecil. Mana mungkin hanya duduk di rumah atau menjaga anak semata-mata.

“Apabila bekerja sendiri, saya dapat luangkan masa lebih dengan keluarga. Saya bawa anak ke mana-mana dan beri tumpuan kepada mereka kerana ingin anak-anak membesar dengan ibu dan ayah yang sentiasa ada di sisi mereka,” katanya.

Katanya, sebagai manusia pastinya merasa lebih senang apabila mempunyai pendapatan sendiri dan tidak perlu ‘menempel’ wang suami meskipun tanggungjawab itu sudah tertulis sebaik mereka sah menjadi suami isteri.

CATATAN peribadi yang dibukukan. FOTO Mustaffa Kamal & ihsan Nordiana Nuzuin Akmar Nordin
CATATAN peribadi yang dibukukan. FOTO Mustaffa Kamal & ihsan Nordiana Nuzuin Akmar Nordin

Dia berasa puas dapat bersama-sama suami membesarkan anak-anak. Apatah lagi, Malique Ali yang perlu diberi perhatian kerana mengalami masalah percakapan dan perlu menjalani terapi.

“Kelebihan lain dengan bekerja sendiri selain daripada menguruskan keluarga ialah kita juga dapat belajar untuk berusaha lebih kuat menjana pendapatan kerana jika kita tidak bekerja maka tidak bergaji berbanding orang yang bekerja makan gaji.

“Jika mahukan pendapatan lebih, saya perlu berusaha lebih. Selain itu, perlu bijak mengawal perbelanjaan kerana saya bercita-cita ingin mempunyai kedai sendiri pada masa depan dan ia pasti memerlukan modal yang tinggi,” katanya.

Ditanya mengenai keluarga, Nordiana Nuzuin Akmar kelihatan tegas dengan pendiriannya.

“Saya ingin anak saya merasa mereka ada keluarga. Jangan jadi seperti saya pernah diraba dan diganggu, apabila pulang ke rumah tiada siapa yang boleh membantu.

“Kalau anak-anak ke sekolah mereka boleh bercerita mengenai ibu dan ayah di rumah dan kongsi perasaan yang tidak pernah saya alami,” katanya penuh jujur ketika mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe