TIDAK boleh batuk sebarangan.
TIDAK boleh batuk sebarangan.
Nurul Husna Mahmud


SEORANG teman berkongsi satu klip menyerupai cabaran rutin tarian yang sering dimuatkan dalam aplikasi tik tok baru-baru ini.

Dia yang hanya mahu dikenali Ziha berkata, dua anaknya masing-masing berusia dua dan lima tahun suka menonton serta meniru gelagat sekumpulan individu yang mengenakan pakaian seperti seragam pengamal perubatan.

Malah, buat pertama kali, dia tidak kisah anaknya menuruti setiap langkah dilakukan kumpulan itu dalam klip terbabit kerana padanya aksi itu membantu merangsang perubahan sikap terhadap aktiviti pencegahan menangani Covid-19.

Sebaik diamati, rupanya ia adalah sebahagian cabaran video pendek atau tik tok dari negara jiran Indonesia mengenai kempen etika batuk dalam menangani Covid-19 dalam kalangan masyarakatnya.

Apa yang dipertontonkan mengenai klip kempen menampilkan pelbagai golongan termasuk pekerja perubatan, pegawai awam sehingga kepada sekolah mengambil bahagian dalam cabaran etika batuk.

TUTUP muka dan hidung menggunakan bahagian dalam siku.
TUTUP muka dan hidung menggunakan bahagian dalam siku.

Turutan aksi dapat dilihat dalam segenap video pendek itu adalah seperti berikut;

i. Bermula dengan aksi batuk disusuli tanda silang sebagai tanda larangan untuk individu batuk merata-rata.

ii. Kemudian disusuli menutup bahagian mulut dan hidung dengan bahagian dalam siku.

iii. Seterusnya menggunakan tisu untuk menutup mulut ketika ingin batuk dan dibuang terus.

iv. Mengenakan topeng muka untuk melindungi titisan air daripada mulut dan hidung tersebar kepada orang lain atau objek di persekitaran.

PEMAKAIAN topeng boleh mengekang virus tersebar kepada orang lain.
PEMAKAIAN topeng boleh mengekang virus tersebar kepada orang lain.

Bukan sahaja negara seberang, inisiatif sama turut dilihat pada klip kempen etika batuk oleh Klinik Kesihatan Taman Seri Orkid di Johor apabila menekankan mengenai tindakan perlu dilakukan ketika batuk.

Berdasarkan portal myhealth.gov.my sendiri yang berkongsi satu kajian dianggarkan 3,000 titisan air liur dikeluarkan setiap kali kita batuk.

Ketika bersin pula kita keluarkan lebih banyak titisan air liur iaitu sebanyak 40,000.

Titisan yang lebih berat akan jatuh ke lantai akibat graviti dan yang lebih ringan pula tersebar di udara dan diterbangkan ke pelbagai tempat melalui udara. Justeru penting langkah seperti etika batuk penting dipatuhi dalam membantu mengekang penularan penyakit mudah merebak itu.

Kempen kesedaran yang kreatif boleh sampaikan mesej berkenaan lebih berkesan kepada pelbagai peringkat masyarakat.

Selain perlu mengetahui info terkini, langkah pencegahan seperti etika batuk dan bersin wajar disampaikan supaya membantu mengekang wabak berkenaan.

VIRAL etika batuk menggunakan tik tok.
VIRAL etika batuk menggunakan tik tok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 6:15 AM
Digital NSTP Subscribe