KANSER kolorektal pembunuh utama lelaki di Malaysia.
KANSER kolorektal pembunuh utama lelaki di Malaysia.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

[email protected],my

AHMAD, 45, mengalami perubahan pada tabiat buang air besar selain itu dia juga mendapati najisnya berdarah dan terdapat pendarahan daripada dubur.

Dek kerana malu dan segan, Ahmad masih enggan ke klinik atau hospital dan membiarkannya sahaja sehingga ia semakin berlarutan.

Namun, kerana sudah tidak tertahan menanggung kesakitan, pada bulan keempat barulah dia memberanikan diri ke hospital sebelum dirujuk kepada pakar kerana keadaannya semakin melarat.

Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, Hospital KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Nurhashim Haron, jika anda mempunyai salah satu daripada tanda berkenaan, segeralah membuat pemeriksaan awal di hospital kerana ia adalah antara simptom kanser kolorektal.

Kanser kolorektal adalah kanser yang membabitkan kolon dan rektum iaitu usus besar dan bahagian yang menghubungkan antara usus besar dengan dubur.

Kata Dr Nurhashim, meskipun ia berada dalam kumpulan kanser yang tidak popular namun saban tahun berlakunya peningkatan dalam jumlah pesakit mendapatkan rawatan.

Tidak hairanlah jika kanser itu kini direkodkan sebagai pembunuh kedua di negara ini selepas barah payu dara dan menjadi penyebab kematian utama kaum lelaki.

Katanya, pertumbuhan sel badan yang normal akan berubah mengikut kitaran dan sel di usus biasanya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.

“Jika sel itu tidak normal, ia tidak akan hilang dan terus tumbuh menyebabkan dinding usus menjadi tidak dapat berfungsi seperti biasa.

“Ketumbuhan itu jika bersifat terkawal ia hanya berlaku di satu tempat namun jika tidak terkawal, ia boleh merebak ke organ lain,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Nurhashim berkata, jika kanser berlaku di kawasan rektum, pesakit biasanya akan mengalami pendarahan melalui dubur kerana kemungkinan ketumbuhan yang ada sudah bersaiz besar.

Selain itu, pesakit juga akan mengalami perubahan dalam tabiat membuang air besar (tenesmus) dan ada juga yang mengalami lelehan cecair seperti hingus yang keluar dari dubur.

Katanya, jika keadaan itu berlaku kanser berkenaan biasanya sudah mencapai tahap tiga dan perlu dirawat segera.

“Untuk kanser di bahagian kolon kiri pula, pesakit biasanya akan mengalami cirit-birit, najis berdarah dan mengalami perubahan dalam kekerapan membuang air besar.

SEGERA berjumpa doktor sekiranya mengalami simptom yang dinyatakan.
SEGERA berjumpa doktor sekiranya mengalami simptom yang dinyatakan.

“Jika adanya ketumbuhan kanser di usus kanan, pesakit juga mengalami perubahan dalam kekerapan membuang air besar, perut berasa sebu dan lebih teruk, akan kelihatan pucat kerana kehilangan darah akibat pendarahan bercampur dengan najis.

“Biasanya pesakit tidak menyedarinya dan ia juga sukar dikesan kerana kita tidak akan memeriksa najis kita selepas membuang air besar,” katanya.

Menurut Dr Nurhashim lagi, untuk rawatan yang berkesan, doktor biasanya akan mendapatkan sejarah kesihatan keluarga pesakit terlebih dahulu kerana mengikut statistik, dalam setiap 25 orang, seorang daripadanya berkemungkinan akan mempunyai kanser.

Risiko itu kata beliau akan meningkat sekali ganda jika ada dalam ahli keluarga yang mengidap kanser.

“Dari segi jantina, 65 hingga 70 peratus lelaki mengalami kanser kolorektal kerana gaya hidup mereka yang merokok, mengambil banyak daging merah, obesiti serta sejarah kesihatan keluarga manakala kaum wanita pula kurang mengalaminya,” katanya.

Dalam pada itu, untuk rawatan, Dr Nurhashim berkata, pesakit akan menjalani pemeriksaan kolonoskopi iaitu memasukkan kamera melalui dubur namun tidak perlu risau kerana biasanya mereka akan diberi ubat pelali.

Jika doktor mendapati ada ketumbuhan, sampel tisu akan diambil dan keseluruhan prosedur hanya mengambil masa sekitar 30 hingga 45 minit sahaja.

“Begitupun, jika seseorang itu dikesan mempunyai kanser kolorektal, pemeriksaan MRI dan CT Scan perlu dilakukan untuk mengesan adakah sel kanser itu sudah merebak ke bahagian organ lain.

Kata beliau, pada peringkat awal, ketumbuhan yang ada boleh dibuang melalui pembedahan namun jika sudah merebak ke organ lain (tahap tiga), pesakit perlu menjalani rawatan kemoterapi.

Katanya, pesakit yang sudah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan juga perlu dipantau dalam tempoh lima tahun dan jika tiada ketumbuhan lain dikesan, mereka adalah ‘survivor’ dan boleh dikatakan sebagai sudah bebas daripada kanser.

“Jika kanser dapat dikesan awal iaitu pada tahap satu atau dua, peratus untuk kembali sihat adalah antara 70 hingga 90 peratus namun anda sudah melarat ke tahap tiga atau empat, pesakit hanya mempunyai peluang 50 peratus untuk sembuh,” katanya.

Sementara itu, sempena Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal yang disambut pada Mac setiap tahun, Dr Nurhashim berkata, orang ramai perlu peka dengan perubahan diri mereka dan segera mendapatkan nasihat serta rawatan awal di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 6:15 AM
Digital NSTP Subscribe