PAINAM bersama bunga yang ditanam di halaman rumahnya di Felda Keratong 7, Pahang. FOTO Ihsan Painam Suratman
PAINAM bersama bunga yang ditanam di halaman rumahnya di Felda Keratong 7, Pahang. FOTO Ihsan Painam Suratman
Muhamaad Razis Ismail


PADA 2006, seorang suri rumah dikejutkan dengan berita bahawa dia disahkan menghidap kanser payudara dan hanya Tuhan sahaja tahu bagaimana perasaannya ketika itu.

Painam Suratman, 53, yang juga ibu kepada dua anak diberi tempoh selama tiga bulan sama ada mahu menjalankan pembedahan atau sebaliknya.

Dalam tempoh itu, dia turut dinasihatkan supaya tidak terlalu tertekan dan melakukan perkara yang disukai.

Sehubungan itu, Painam membuat keputusan untuk memberi fokus terhadap minatnya sejak kecil iaitu menanam pokok bunga.

Painam berkata, sebelum disahkan menghidap penyakit itu, dia sudah mula menanam pokok bunga di halaman rumahnya namun tidak secara serius dan hanya mula memberi tumpuan selepas didiagnos penyakit itu.

Katanya, setiap hari dia memperuntukkan sekitar lapan jam berada di halaman rumah untuk menjalankan aktiviti menanam pokok bunga.

PAINAM menjadikan hobinya sebagai terapi. FOTO Ihsan Painam Suratman
PAINAM menjadikan hobinya sebagai terapi. FOTO Ihsan Painam Suratman

“Dalam tempoh tiga bulan itu saya tenangkan diri dan mengelakkan sebarang tekanan selain turut menjalani rawatan alternatif.

“Saya bersyukur sepanjang tempoh itu erana suami Nur Abidin Che Mud dan anak banyak membantu dan memberi sokongan kepada saya.

“Alhamdulillah dengan izin Allah, selepas tiga bulan, doktor maklumkan saya tidak perlu jalani pembedahan apabila sudah pulih sepenuhnya,” katanya.

Siapa sangka kerana minatnya itu, kini rumah Painam di Felda Keratong 7, Pahang menjadi tumpuan apabila bertukar menjadi seperti taman bunga dipenuhi ratusan bunga berwarna-warni seolah-olah berada di Cameron Highlands.

Tidak hairan, setiap hari ada sahaja individu sama ada dikenali atau tidak sanggup ke rumahnya untuk melihat sendiri dan mengambil gambar di taman yang dinamakan sebagai Anum Garden.

Antara bunga yang terdapat di taman ini termasuk lavender, sandpaper, keladi dan zinia.

BUNGA Zinia yang mendapat sambutan ramai. FOTO Ihsan Painam Suratman
BUNGA Zinia yang mendapat sambutan ramai. FOTO Ihsan Painam Suratman

POKOK keladi yang ditanam Painam. FOTO Ihsan Painam Suratman
POKOK keladi yang ditanam Painam. FOTO Ihsan Painam Suratman

Disebabkan terlalu ramai pengunjung yang datang, Painam turut menyediakan kerusi untuk mereka mengabadikan gambar di situ dengan dikelilingi ratusan bunga miliknya.

Kata Painam, dia tidak pernah menghadiri sebarang kursus formal untuk mempelajari teknik menanam pokok bunga sebaliknya hanya belajar sendiri.

“Saya banyak belajar sendiri dan awalnya banyak berdepan cabaran termasuk pokok yang ditanam mati.

“Daripada pengalaman itu saya mula belajar sedikit demi sedikit bagaimana memilih tanah, penggunaan baja, racun serta penjagaan yang sesuai bagi setiap bunga,” katanya.

Menurut Painam, hobinya itu turut menjana pendapatan dan ia secara tidak langsung membantu beban suaminya.

Katanya, ramai pengunjung yang datang pada awalnya hanya untuk melihat sahaja, tetapi kemudian turut membeli pokok yang mereka sukai.

Dalam pada itu, mengulas mengenai aspek penjagaan bunga, Painam berkata, dia akan menyiram pokoknya pada setiap hari bergantung kepada jenis bunga.

“Ada bunga yang tidak boleh banyak air dan jenis yang memerlukan baja mengikut jadual.

“Saya tidak mempunyai sebarang petua, tetapi mengamalkan mengaul tanah dengan racun, menggunakan air basuhan beras dan air kelapa untuk pulihkan daun yang rosak.

“Selain itu, saya juga menyiram pokok selepas hujan untuk elakkan bunga cepat mati,” katanya.

Jelas Painam, dia juga sering memuat naik gambar tamannya itu di laman Facebook dengan tujuan untuk berkongsi ilmu dengan peminat bunga di seluruh negara.

“Bagaimanapun, ada dalam kalangan mereka yang menuduh saya mengedit gambar kerana tidak percaya dengan bunga yang berwarna-warni itu.

“Malah ada dalam kalangan mereka yang sanggup datang dari Johor, Melaka dan Kuala Lumpur semata-mata untuk melihat sendiri bunga yang ditanam,” katanya.

HALAMAN rumah Painam yang dipenuhi ribuan bunga. FOTO Ihsan Painam Suratman
HALAMAN rumah Painam yang dipenuhi ribuan bunga. FOTO Ihsan Painam Suratman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 6:30 AM
Digital NSTP Subscribe