MEMAHAMI antara satu sama lain dapat mengeratkan hubungan anak dan ibu bapa.
MEMAHAMI antara satu sama lain dapat mengeratkan hubungan anak dan ibu bapa.
Hafiz Ithnin


SEBAIK sahaja menerima keputusan peperiksaan, pelbagai reaksi boleh dilihat pada riak wajah si anak.

Mungkin ada yang gembira kerana merasakan keputusan cemerlang membolehkan mereka masuk ke bidang yang mereka inginkan di universiti.

Ada juga bagi remaja yang baru mendapat keputusan kurang memberangsangkan, merasakan tekanan kerana melihat peluang untuk menyambung pelajaran atau bidang yang diinginkan bernoktah begitu sahaja.

Namun, sebagai ibu bapa pastinya inginkan yang terbaik untuk anak terutama melihat mereka berjaya dalam bidang pendidikan, persepsi dan menjadi kayu ukur kejayaan pada masa depan.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Pusat Pengajian Psikologi dan Professor Pelawat Management Science University, Prof Madya Khaidzir Ismail berkata, ibu bapa seharusnya memainkan peranan bagi membantu anak mereka mengetahui cara pengurusan diri terutama ketika di alam remaja.

Khaidzir berkata, perkara itu penting bagi membolehkan anak sentiasa bersedia berdepan dengan pelbagai cabaran di dalam kehidupan termasuk sekiranya mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan di dalam akademik.

PROF Madya Khaizir.
PROF Madya Khaizir.

“Jika berlaku keadaan apabila anak mendapat keputusan peperiksaan kurang memberangsangkan, sebagai ibu bapa perlu membetulkan keadaan diri sendiri terlebih dahulu.

“ Ibu bapa seharusnya lebih matang dengan tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana ia boleh menjadikan anak merasakan diri mereka tidak berguna dan tertekan.

“Disebabkan itu, pertama sekali, dalam bidang akademik misalnya, ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan yang luas mengenainya kerana jika anak mereka kurang berminat dalam bidang akademik, mungkin boleh memberi galakan dalam bidang kemahiran,” katanya.

Menurut Khaidzir lagi, remaja pada hari ini dilihat lebih mudah mengikut kata-kata rakan sebaya dan mudah terpengaruh maklumat daripada pelbagai sumber bacaan.

Justeru, ibu bapa perlu menjadi individu yang paling dipercayai oleh anak-anak.

Katanya, kepercayaan anak kepada ibu bapa itu seharusnya dipupuk sejak kecil dengan menjadikan mereka sebagai rakan paling baik dalam memahami masalah yang dihadapi.

“Disebabkan itu, jika anak berdepan dengan masalah mereka agak takut untuk bercakap dengan ibu bapa kerana bagi mereka ibu bapa adalah golongan tidak memahami keadaan mereka disebabkan dari kecil sudah wujud jurang hubungan sebagai seorang ‘sahabat’.

“Jadi mereka lebih memilih untuk bercerita dengan rakan-rakan atau saudara mara yang lebih rapat mengenai masalah yang dihadapi termasuk di dalam bidang akademik sekiranya mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan,” katanya.

Khaidir berkata, sikap membandingkan juga antara elemen yang tidak seharusnya wujud dalam diri ibu bapa kerana perkara itu boleh memberi tekanan kepada remaja dalam bidang akademik.

Jelasnya, perbualan yang menunjukkan rasa perbandingan dengan anak menyebabkan mereka cuba memberikan terbaik dan sekiranya gagal membuktikan kemampuan sudah pasti merasakan diri tidak berguna.

“Ibu bapa perlu sentiasa memupuk sifat percaya kepada diri sendiri dalam diri anak masing-masing dan tidak terikut-ikut dengan acuan orang lain kerana setiap individu ada kelebihan yang dikurniakan Tuhan.

“Jika selalu membandingkan terutama mengenai keputusan peperiksaan, mereka akan merasakan diri mereka tidak baik di mata ibu bapa sendiri.

“ Persepsi ini sekali gus menjadikan hubungan dan kepercayaan itu semakin renggang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:15 AM
Digital NSTP Subscribe